Regim Yahudi cerobohi Masjid al-Aqsa


(Harakah-Fikrah, Edisi Jumaat, 12-14 Mac 2010)

Oleh: Imran al-Malizi
imran_almalizi@yahoo.com)

Pasukan polis Israel telah melakukan tindakan menceroboh Masjid al-Aqsa dan menyerang orang awam dalam tindak balas akibat perbuatan 300 penunjuk perasaan yang membaling batu ke arah pegawai polis Israel selepas solat Jumaat (5 Mac 2010) baru-baru ini.

Khutbah Jumaat pada hari tersebut menegaskan kewajipan umat Islam untuk mempertahankan Masjid al-Aqsa daripada pencerobohan Zionis. Tindakan membaling batu tersebut juga dipercayai mempunyai kaitan dengan tindakan pihak polis yang menghalang sebahagian penduduk tempatan daripada memasuki Masjid al-Aqsa untuk menunaikan solat Jumaat.

Para penduduk yang tidak berpuas hati telah melakukan demonstrasi membantah tindakan pencerobohan tersebut. Pasukan polis Israel telah melepaskan tembakan peluru dan gas pemedih mata ke arah warga Palestin dan aktivis luar yang melakukan demonstrasi di beberapa wilayah di Tebing Barat.

Mereka memprotes pencerobohan Zionis terhadap tempat suci umat Islam dan penganiayaan terhadap penduduk Palestin di al-Quds (Baitulmaqdis) dan Hebron. Agensi Reuters melaporkan 30 orang telah tercedera dalam pertempuran golongan awam dengan pasukan polis Israel.

Di wilayah Bait Ummar, pada hari Sabtu (6 Mac 2010) pasukan pertahanan Zionis sekali lagi bertindak kasar terhadap peserta demonstrasi yang terus membantah tindakan pencerobohan tersebut.

Turut serta dalam demonstrasi tersebut adalah penduduk tempatan yang mula bergerak dari pasar Khudar pusat dan menuju ke jalan raya antara Al-Quds dan Hebron dalam rangka untuk mengecam serangan pasukan tentera Israel terhadap tempat suci umat Islam.

Di perkampungan Irak Burin, sekurang-kurangnya lima warga Palestin terluka, sementara puluhan yang lain mengalami kesesakan nafas akibat terkena tembakan gas pemedih mata. Kesemuanya dikejarkan ke hospital di Nablus.

Di kawasan Jep Al-Dzeib, sebelah timur Baitlehem, seorang petani Palestin dan sukarelawan asing mengalami kecederaan akibat kezaliman tentera Zionis dalam serangan yang dilancarkan ke kawasan pertanian di wilayah tersebut. Petani tersebut, pukulan yang diterimanya. Manakala seorang wanita Jerman, Sabita telah berulang kali ditahan dan diperiksa tentera Zionis.

Dalam perkembangan ini, warga Palestin dan sukarelawan asing melakukan bantahannya lalu dihalang para pendatang Zionis di Nekodom, tempat di mana menteri luar Israel, Evigdor Liberman menginap. Pasukan tentera Zionis juga turut mengancam para petani di perkampungan Job Deeb termasuk para aktivis luar yang membantu kerja-kerja pertanian di situ.

Sementara itu di Kaherah, Mursyid al-Am Ikhwan Muslimin, Dr. Mohammad Badi' telah mengeluarkan kenyataan mengecam sikap berdiam diri para pemimpin Arab terhadap tindakan-tindakan Zionis terhadap Masjid al-Aqsa dan 'penyahudian' tempat-tempat suci.

Dr. Badi' mempersoalkan, "Di manakah suara pemimpin Arab yang membela hak-hak bangsa Arab? Apa yang mesti dilakukan adalah mengadakan persidangan, seperti perhatian Amerika Syarikat dengan mengadakan perbincangan sekitar hubungannya dengan Timur Tengah, atau tentang masa depan politik Islam, ataukah kita rela menjadi penonton sahaja?!"

Beliau menegaskan bahawa harapan untuk membangunkan kembali umat Islam berada di tangan bangsa-bangsa yang mempunyai keinginan dan kehendak dan bersiap sedia untuk berkorban. Dengan demikian mereka mampu untuk menewaskan perancangan jahat orang-orang yang licik dan mengalahkan muslihat orang-orang yang melakukan tipu daya.

Dalam kenyataan rasminya, Dr. Badi' mengatakan bahawa, "Sunnatullah dalam pertentangan ini akan mencatat perancangan orang-orang yang licik dan jahat dan amalan orang-orang yang beriman. Selama orang-orang yang beriman menepati janjinya dengan Allah dan syarat-syarat kemenangan, maka Allah akan memberikan kemenangan dan membantu mereka dengan bantuanNya."

Beliau menambahkan, "Ini mengharuskan kita sebagai permulaannya meletakkan kepercayaan pada diri sendiri, kemudian berpegang teguh pada keislaman kita, istiqamah dan konsisten pada jalan yang lurus, jalan yang kita yakini dan kita berusaha untuk merealisasikannya.

Kemudian kita bekerja secara terus menerus, secara tulus ikhlas kepada Allah Yang Maha Kuasa, apa pun pengorbanan yang harus diberikan dan kesulitan yang bakal kita hadapi."

Dalam masa yang sama, Presiden Kesatuan Ulama Palestin, Syeikh Hamid Baitawi, menegaskan bahawa isu Palestin, al-Quds dan Masjid al-Aqsa adalah amanah yang dibebankan di bahu semua orang Arab dan Muslim, sama ada pemerintah mahu pun rakyatnya.

Hal ini menuntut semua kaum muslimin untuk mempertahankannya, berusaha untuk melindunginya dan menyelamatkannya dari proses 'meyahudikannya'.

Baitawi mengatakan bahawa serangan terus menerus yang dilakukan Zionis Israel terhadap al-Quds (Jerusalem) merupakan usaha meyahudikan kota tersebut, menuntut langkah-langkah konkrit dari rakyat dan pemerintah untuk menentang usaha jahat ini. Semua pihak harus memikul tanggung jawab.

Seperti disabdakan oleh Nabi s.a.w: "Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggung jawab atas rakyat yang dipimpinnya."

Beliau meminta supaya terdapat tindak balas yang bersungguh-sungguh atas serangan-serangan ini dan kesatuan di peringkat antarabangsa bagi menyokong tindakan anti penjajahan.

Bukan dengan pertemuan atau perundingan sia-sia yang dilakukan antara penjajah Zionis Israel dengan wakil pemerintah Ramallah (pimpinan Mahmoud Abbas). Beliau juga menyeru Ramallah agar menghentikan rancangan keamanan dengan penjajah Israel.
Beliau menambah lagi dalam kenyataannya bahawa pasukan keselamatan Arab dan ketenteraan Abbas tidak mengizinkan rakyat untuk meluahkan kemarahan mereka dalam bentuk apa pun, bahkan dalam bentuk demontrasi damai.

Beliau menyeru agar semua rakyat negara-negara umat Islam dan para pemimpin mereka untuk menghentikan semua bentuk hubungan dengan penjajah Israel dan mengusir para duta besar Israel dari negara-negara mereka."

Syeikh Baitawi menegaskan bahawa, "Sesiapa saja yang menghalang rakyat untuk membela Masjid al-Aqsa adalah berdosa. Selain itu, tindakan mereka merupakan suatu bentuk kesetiaan dan ketaatan kepada musuh, baik itu dari pemerintah Ramallah atau dari para penguasa Arab."

0 comments:

Post a Comment

 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates