Nakbah 1948: Malapetaka kepada umat (Bhg.2)

(Harakah-Fikrah, Edisi Jumaat, 21-23 Mei 2010, ms F14)

Oleh: Imran al-Malizi (imran_almalizi@yahoo.com)

Khilafah Uthmaniyyah telah diruntuhkan dengan perancangan rapi Pertubuhan Zionis Antarabangsa sebagaimana yang telah kita sebutkan pada minggu lalu.

Kita juga telah mengetahui setelah tamat Perang Dunia Pertama, negara-negara di bawah naungan khilafah telah berpecah. Sebelum itu pihak British telah mengadakan perundingan rahsia dengan Perancis dan Russia dan sebagai natijahnya melalui Perjanjian Sykes-Picot.

Pihak British menguasai sebahagian besar negara Iraq, timur Jordan dan wilayah Haifa di Palestin. Manakala Syria dan Lubnan dikuasai oleh Perancis.

Pada 2 November 1917, British melalui setiausaha luar, Arthur Balfour telah mengeluarkan surat pengisytiharan yang dikenali sebagai Deklarasi Balfour yang memberi jaminan untuk mewujudkan sebuah negara khusus untuk bangsa Yahudi di Palestin.

Sungguh ganjil, bagaimana kerajaan British dengan mudah menyerahkan sebuah negara kepada pertubuhan Zionis tanpa mempertimbangkan hak-hak penduduk asal bumi Palestin?

Pada bulan Disember 1917, British telah berjaya sepenuhnya menduduki bahagian selatan dan tengah Palestin, termasuklah Jerusalem, yang berjaya diduduki secara rasmi pada 9hb. Disember 1917.

Pada 24hb. Julai 1922, British telah menggesa Liga Bangsa-bangsa untuk mengiktiraf Deklarasi Balfour. Dengan taktik ini, British telah berusaha keras ke arah penubuhan sebuah 'tanahair' untuk bangsa Yahudi di Palestin.

Semenjak itu, bangsa yahudi telah berhijrah beramai-ramai ke bumi Palestin dan mengukuhkan banyak kepentingan sosio-ekonomi dan institusi pendidikan. Sebagai contoh Histadrut (kesatuan pekerja), Universiti Hebrew di Jerusalem pada 1925, dan Agensi Yahudi pada 1929 yang mana telah menjadi perwakilan rasmi bagi badan yahudi di Palestin.

Tanpa diragui lagi, kesemua organisasi ini memberikan infrustruktur yang kukuh untuk kemunculan negara Yahudi.

Penentangan Rakyat Palestin

Pada awal tahun 1930-an, menyaksikan pertambahan aktiviti politik dan penentangan bersenjata rakyat Palestin dengan pihak berkuasa British. Pada 1935, tertubuhnya Parti Arab Palestin yang mendapat sokongan mufti bandar al-Quds, Al-Hajj Amin al-Husaini untuk menentang dasar-dasar British menakluki tanahair mereka.

Di samping itu juga terdapat golongan muda yang menyertai gerakan rahsia al-Jihadiyyah dan al-Jihad al-Muqaddas yang dipimpin oleh Syeikh Izzuddin al-Qassam dan Abdul Qadir al-Husaini.

Rakyat Palestin mula putus asa untuk mendapatkan hak mereka kembali dengan cara damai kerana mereka jelas telah ditindas dan hak mereka ke atas bumi Palestin telah dicabuli. Hanya tinggal satu jalan untuk mereka mempertahankan maruah mereka.

Ini jelas melalui ucapan Al-Hajj Amin al-Husaini, “..sehingga ke tahun 1932, kita hanya memiliki sekilas harapan akan tetapi ianya akan lenyap. Semua kesengsaraan dan kesakitan yang kita alami telah dirancang dengan teliti. Kita tiada harapan lagi melainkan untuk mati syahid.”

Gerakan al-Jihadiyyah terkenal dengan slogan perjuangan “Inilah jihad! Sama ada kemenangan atau syahid!”. Diasaskan penubuhannya oleh Syeikh Izzuddin al-Qassam.
Pergerakan ini sangat dikenali di wilayah utara Palestin dan mendapat sokongan para pekerja dan petani. Memiliki 200 para pejuang mujahidin dan 800 orang penyokong setia.

Pergerakan ini telah melancarkan beberapa siri serangan terhadap pendudukan Yahudi pada awal 1930-an. Syeikh Izzuddin al-Qassam telah menemui syahid bersama dua orang sahabatnya dalam pergelutan dengan pihak polis pada 20 November 1935.

Penentangan masih diteruskan. Akan tetapi, dengan kelemahan sokongan bangsa Arab dan fahaman-fahaman perkauman yang meresap ke dalam pemikiran umat Arab telah menjadikan perjuangan ini bersifat nasionalisme.

Penubuhan negara Israel satu malapetaka

Peperangan telah meletus pada tahun 1948, pasukan tentera pengganas Yahudi Zionis yang telah bertindak mengusir lebih daripada 60 % rakyat Palestin (lebih kurang 800 000 orang daripada sejumlah 1.39 juta rakyat) ke luar negara manakala 30 ribu yang lain telah diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.

Daripada jumlah 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 buah kampung serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Antara yang paling kejam ialah tragedi Deir Yassin pada 9hb April 1948 yang melibatkan pembunuhan seramai 254 orang termasuk orang-orang tua, wanita dan 52 orang kanak-kanak.

Dalam peristiwa itu, rumah-rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak. Manakala, wanita-wanita yang hamil telah dibelah perutnya dan dikeluarkan janin dari rahim ibunya. 52 orang kanak-kanak pula telah disiksa di depan ibu bapa mereka, lalu mereka dibunuh dan dipenggal kepalanya.

Yahudi Zionis telah mengumumkan Negara “Israel” pada petang 14hb Mei 1948. Manakala pihak British mengundurkan tentera dan pemerintahannya ke atas Palestin apabila Negara Israel yang merdeka diiystiharkan secara rasminya pada 15hb Mei 1948.

Pada tahun tersebut populasi penduduk yahudi ialah 646,000 iaitu kira-kira 31.7 % daripada 2, 036, 000 penduduk. Peperangan 1948 telah memusnahkan kehidupan rakyat Palestin yang telah hidup di bumi bertuah ini sejak ribuan tahun lamanya.

Sudah tentu umat Islam tidak hanya berdiam diri. Sebahagian kecil pertubuhan sukarela Arab dan muslim ditubuhkan dengan beberapa gelaran, di antaranya Jaysh al-Inqaz dan tentera Palestin Al-Jihad al-Muqadas.

Bagaimanapun dengan kemampuan persenjataan yang lemah, yang dibekalkan oleh negara-negara Arab tidak dapat mengatasi peperangan berat sebelah ini.

Pada Oktober 1948, pertubuhan Al-Ikhwan Al-Muslimun telah memasuki medan jihad dengan menghantar 10,000 para mujahid sukarelawan dan mereka berjuang dengan berani.

Kerajaan Mesir telah mengharamkan Al-Ikhwan Al-Muslimun manakala Mursyid al-Am pertubuhan itu, al-Imam Hassan Al-Banna telah dibunuh oleh perisikan mereka pada 12 Februari 1949.

Penentangan masih lagi berterusan, bagaimanapun perpecahan di kalangan bangsa Arab dan umat Islam telah menyukarkan usaha untuk menyelamatkan bumi Palestin. Isu Palestin telah menjadi isu khusus untuk bangsa Arab kerana semangat perkauman Arab yang sangat kuat mencengkam benak para pemimpin mereka.

Manakala Organisasi Zionis Antarabangsa semakin mara ke hadapan melebarkan kuasanya di bumi Palestin dan peluang untuk memperhambakan umat Islam sudah pun terbentang luas.

Sedang pada itu, umat Islam terus tidur dengan nyenyak. Masing-masing sudah cukup selesa dengan perjuangan menuntut kemerdekaan di negara masing-masing di atas nasionalisme dan kebanyakan pemimpin mereka sudah memiliki akidah baru yang bernama ‘sekularisme’ didikan penjajah.

Nakbah 1948: Malapetaka kepada umat (Bhg.1)

(Harakah-Fikrah, Edisi Jumaat, 14-16 Mei 2010, ms F14)

Oleh: Imran al-Malizi (imran_almalizi@yahoo.com)

Kita berada pada pertengahan bulan Mei 2010. Kali ini, saya ingin menyorot sejarah penting yang telah dilupakan oleh umat. Tanggal 15 Mei 1948 adalah tarikh memperingati peristiwa Nakbah.

Apakah itu Nakbah? Sekiranya seseorang tidak memahami atau tidak pernah mendengar istilah ini, mungkin ia tidak memberi apa-apa makna.
Namun bagi penduduk Palestin yang dizalimi semenjak lebih 62 tahun, perkataan ini cukup besar pengertiannya. Nakbah dalam bahasa Arab bermaksud ‘malapetaka’, ‘bencana’ atau ‘kemalangan’.

Manakala dari segi istilah sejarah, Nakbah merujuk kepada peristiwa pengusiran penduduk Palestin secara beramai-ramai dari kampung halaman dan tanahair mereka akibat daripada penubuhan negara haram Israel pada 15 Mei 1948.

Dalam peristiwa tersebut, bukan sahaja sebahagian besar penduduk asal bumi Palestin telah diusir keluar dari tanahair mereka, malah banyak nyawa telah terkorban dalam kejadian serangan dan pembunuhan beramai-ramai yang dilancarkan oleh para pengganas Yahudi Zionis.

Sebuah negara haram yang kemudiannya didirikan di atas darah dan airmata bangsa yang tidak berdosa. Peristiwa hitam ini tidak berlaku sekelip mata, malah perancangan untuk menubuhkan sebuah negara bagi bangsa Yahudi telah bermula lebih kurang 50 tahun sebelum itu.

Organisasi Zionis Sedunia

Pada tahun 1896, seorang wartawan berbangsa Yahudi dari Hungari bernama Theodore Herzl (1860-1904), telah mengasaskan satu gagasan untuk menubuhkan sebuah negara bagi bangsa Yahudi dalam bukunya Die Judem Stat.

Beliau juga merupakan pengasas kepada World Zionist Organization. Pertubuhan ini telah mengadakan persidangan yang pertama di Basle, Switzerland pada 27-29 Ogos 1897 ini bagi merintis jalan dan kempen politik secara sistematik untuk menubuhkan negara yahudi "Israel".

Bumi Palestin menjadi sasaran mereka. Ini kerana mengikut keyakinan orang-orang Yahudi, bumi itu telah dijanjikan Tuhan untuk Bani Israil selaku bangsa yang terpilih.

Sejarah mencatatkan Herzl telah menawarkan harga lumayan kepada Khalifah Uthmaniyyah, Sultan Abdul Hamid (1842-1918) supaya baginda menjual bumi Palestin kepada bangsa Yahudi.

Tawaran ini telah ditolak mentah-mentah, kerana khalifah dapat menghidu tujuan sebenar mereka. Tanah yang diimpikan supaya mereka dapat mendirikan negara Yahudi, yang kononnya akan berada di bawah empayar Uthmaniyyah menghadapi tentangan terus-menerus dari khalifah.

Sungguhpun jumlah tawaran itu begitu besar untuk ditolak. Sultan Abdul Hamid telah mengungkapkan kata-kata bersejarah yang ditujukan kepada Herzl melalui utusan yang dihantar untuk perundingan tersebut:

"Saya menganjurkan supaya dia (Hezrl) tidak meneruskan perkara ini (usaha mendapatkan tanah Palestin). Saya tidak dapat menjualkan walaupun satu kaki persegi daripada tanah ini kerana ianya bukan milik saya, tetapi milik rakyat saya. Rakyat saya telah membentuk serta mengekalkan Empayar ini dengan pengorbanan dan darah, dan kami akan mempertahankannya dengan darah kami sebelum membiarkannya jatuh kepada sesiapapun.

Biarlah orang-orang Yahudi itu menyimpan sahaja wang mereka yang berbilion-bilion itu untuk diri mereka.Jika sekiranya Empayar ini berpecah, mereka boleh mengambil Palestin secara percuma. Tetapi mestilah dilangkah mayat kami dahulu, dan saya tidak akan membenarkan ianya berlaku atas sebab apapun.."

Menghapuskan Khilafah Uthmaniyyah

Akhirnya pada tahun 1909, gerakan Committee of Union and Progress (CUP) yang didalangi oleh yahudi zionis telah melakukan pemberontakan "Revolusi Turki Muda" menentang khalifah.

Di antara pemimpinnya ialah Emanuel Carasso, seorang yahudi berbangsa Itali. Beliau adalah utusan yang dihantar oleh Herzl untuk menemui Sultan Abdul Hamid sebelum itu.
Pada 26hb. April 1909, telah diadakan Jawatankuasa Kebangsaan yang bertindak memecat Sultan Abdul Hamid daripada jawatan khalifah dan sistem perlembagaan dilaksanakan semula.

Dengan ini sistem pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah telah berkubur dan digantikan dengan sistem perlembagaan dan parlimen ‘ala barat’. Jawatan khalifah hanyalah satu gelaran kepada seorang ketua negara.

Perang Dunia Pertama telah meletus pada tahun 1914, dan Khilafah Uthmaniyah telah terbabit dalam Perang Dunia ini. Pihak British telah menyusup masuk ke dalam pengaruh ketenteraan Turki dan menaburkan pandangan-pandangan demi kepentingan British.

Setelah Perang Dunia Pertama tamat, pihak Tentera Bersekutu memperolehi kemenangan besar, begitu juga Khilafah Uthmaniyyah telah berpecah dan berkecai-kecai kepada negara-negara kecil. Pemerintahan mereka hanya kekal di negara Turki sahaja.
Pada 29hb. Oktober 1923, Mustafa Kamal seorang pemimpin gerakan nasionalisme yang juga merupakan anak didikan British telah dipilih menjadi Presiden Republik Turki yang pertama.

Beliau telah mengisytiharkan untuk mengubah negara Islam menjadi negara republik dengan mengadakan persidangan Jawatankuasa Kebangsaan bagi mengumumkan penghapusan khilafah dan memisahkan Islam dari negara.

Pada 3hb. Mac 1924, runtuhlah Khilafah Uthmaniyyah dan khalifah telah dihalau keluar dari Turki dengan penuh kehinaan. Maka telah tercapailah impian musuh-musuh untuk menghancurkan kekuatan Islam secara halus dan keji.

Demikianlah berakhirnya satu empayar yang kira-kira 27 tahun sebelum itu telah menolak untuk menjualkan bumi Palestin kepada golongan Yahudi. Satu tempoh yang singkat untuk satu projek yang besar.

Dengan kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah, jalan untuk Zionis Yahudi telah pun terbuka untuk mereka mendapatkan bumi yang diimpikan. Satu malapetaka besar (Nakbah) sedang menanti umat Islam yang sudah jatuh ditimpa tangga.
-bersambung minggu depan
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates