Perlu ada golongan menegur pemerintah yang zalim - Dr.Yusuf al-Qaradhawi

(Harakah-Fikrah, Edisi Jumaat, 8-10 Muharram1431H/25-27 Dis 2009, m/s F8)


duniaKu duniaMu

Oleh: Imran al-Malizi

(imran_almalizi@yahoo.com)


Pagi Sabtu (2 Muharram 1431H/19 Dis 2009), saya bergegas dari K.Lumpur ke Putrajaya walaupun baru sahaja tiba dari K.Terengganu. Ini semua kerana tidak mahu melepaskan syarahan perdana yang akan disampaikan oleh Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, al-'Allamah al-Syeikh Dr. Yusuf Abdullah al-Qaradhawi yang dijadualkan bermula jam 9 pagi pada hari itu.

Keilmuan dan sumbangan beliau dalam dunia Islam tidak diragukan lagi sehingga beliau ditabalkan oleh kerajaan Malaysia sebagai tokoh Maal Hijrah 1431H pada tahun ini.

Kami masyarakat pelajar di Timur Tengah dan seantero dunia sangat banyak mengambil manfaat dari kitab-kitab karangan beliau yang melebihi 100 judul dalam pelbagai disiplin ilmu-ilmu Islam.

Kunjungannya beberapa kali ke negara Yaman dan negara-negara lain juga turut memberikan sumbangan yang besar dalam membentuk pemikiran para pelajar dan golongan ulama.

Majlis ceramah perdana itu berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Dr. Yusuf Al-Qaradhawi telah menyampaikan ceramah bertajuk Fiqhul-Jihad.

Saya meneliti satu persatu isi kandungan ucapan beliau selama lebih 1 jam itu. Secara ringkasnya, beliau memperjelaskan konsep jihad yang menyeluruh setelah membahagikan tiga golongan yang menanggapi pengertian jihad dalam Islam.

Golongan pertama ialah mereka yang berfahaman ekstremis dan melampau dalam kefahaman jihad. Mereka ini telah melakukan banyak kerosakan dan menyebabkan berlakunya salah faham terhadap Islam.

Manakala golongan kedua pula bersikap terlalu mengambil mudah lalu meninggalkan tuntutan jihad. Mereka ini mahu mematikan ruh jihad daripada umat Islam agar tiada lagi semangat mempertahankan agama dan tanahair umat Islam, tiada usaha untuk berjihad membebaskan Masjid al-Aqsa.

Maka golongan yang terbaik ialah yang moderat (tidak melampau atau cuai) dalam melaksanakan tuntutan jihad yang sebenar dalam Islam. Menurut beliau, inilah golongan yang kita berharap agar sama-sama tergolong di dalamnya.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah memperjelaskan 13 peringkat jihad menurut Imam Ibnu Qayyim r.h. Di antaranya ialah Jihad al-Nafs iaitu jihad melawan hawa nafsu. Ini memerlukan seseorang muslim itu bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, beramal dengan ilmu dan mengajarkan kepada orang lain ilmu-ilmu Islam. Dalam melaksanakan jihad ini hendaklah ianya dilakukan dengan kesabaran.

Kemudian beliau menyebut berkenaan jihad melawan syaitan. Ini bermaksud kita menentang hasutan syaitan agar kita menurut kemahuan syahawat terhadap kaum wanita. Juga beliau menjelaskan bahawa syaitan senantiasa menaruh syak dan keraguan ke dalam pemikiran insan. Maka itu, kita berjihad menentang syubhat ini dengan akidah yang yakin dan teguh akan kebenaran Islam.

Yang paling menarik perhatian saya apabila Dr. Yusuf al-Qaradhawi menekankan tentang jihad dalam masyarakat Islam dengan melaksanakan amar maaruf dan mencegah kemungkaran.

Secara jelas beliau memaksudkan betapa perlunya wujud satu golongan yang bangkit dalam negara umat Islam untuk menentang kefasikan, kezaliman dan kerosakan. Ini merupakan peranan yang perlu dilaksanakan oleh para ulama dan golongan pro-Islam.

Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w: "Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangan (kekuasaan)nya, jika tidak mampu maka diubah dengan lidahnya, jika tidak mampu maka diubah dengan hatinya (ingkar). Maka itulah selemah-lemah iman." (Sahih Muslim)

Menurut beliau lagi, jika berlaku kezaliman dalam sesebuah negara, perlu ada golongan yang berani menegur pemerintah. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w: "Jihad yang paling utama ialah kalimah yang benar di hadapan pemerintah yang zalim (menyeleweng dari kebenaran)." (Sunan Abi Daud)

Maka itu, perlu wujud golongan yang menentang kejahatan dan kemungkaran dari dalam (negara umat Islam), sama ada dengan tangan (kekuasaan), atau lidah (memberi nasihat), atau dengan hati (tidak reda dengan kemungkaran tersebut).

Kemudian beliau menyentuh kewajipan jihad menentang golongan kuffar yang memusuhi Islam. Iaitu jihad mempertahankan tanah air umat Islam agar musuh-musuh merasa gerun untuk melakukan pencerobohan.

Beliau juga menjelaskan, cara terbaik dalam menghadapi orang-orang kafir pada ketika ini ialah dengan mengajak mereka kepada agama Islam. Beliau juga tidak menolak jihad dengan mengangkat senjata bagi membebaskan Masjid al-Aqsa (untuk lebih lanjut sila rujuk kitab terbarunya Fiqhul-Jihad).

Pada keesokan harinya (Ahad, 20 Dis 2009), saya berpeluang mengikuti ucapan Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam majlis tertutup di Pejabat Agung PAS. Pertemuan ini dihadiri oleh Presiden PAS, Dato Seri Y.B. Tuan Guru Hj. Abdul Hadi bin Awang, Timb. Presiden, Y.B. Ust. Nasharudin Mat Isa dan AJK PAS Pusat.

Saya difahamkan, Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah meletakkan syarat awal untuk hadir menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1431H ke negara ini supaya beliau dapat bertemu dengan sahabat-sahabatnya dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Ucapan beliau yang disampaikan selama hampir dua jam itu telah diterjemahkan oleh Ust. Hj.Abdul Ghani Samsudin.

Kali ini Dr. al-Qaradhawi lebih banyak berbicara tentang manhaj al-wasathiyyah (moderate) dalam amal Islami. Kata beliau, "Manhaj al-wasathiyyah tidak berlaku melainkan dengan dua perkara. Iaitu al-Tajdid (pembaharuan) dan al-Taysir (memudahkan). Sesetengah golongan memilih untuk mengambil pendirian paling berhati-hati (al-Ahwat) dalam masalah hukum. Saya lebih suka mengambil hukum yang paling mudah (al-Aysar)."

Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.anha, bahawa baginda s.a.w tidak memilih di antara dua perkara, melainkan yang paling mudah antara keduanya selagimana tidak menjadi dosa. (Sahih al-Bukhari)

Firman Allah Ta'ala: "..Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat lemah." (al-Nisa': 28). Firman Allah Ta'ala lagi, "..Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu." (al-Baqarah: 185)

Maka itu PAS perlu mengemukakan wajah agama yang moderat bagi mendekatkan masyarakat negara ini kepada Islam. Beliau juga menyatakan keperluan untuk para ulama di negara ini agar melakukan ijtihad baru dalam suasana hidup yang cukup mencabar pada hari ini.

Menurutnya lagi, Imam al-Syafie r.h juga telah mengubah pandangannya sebanyak dua kali (qaul al-qadim dan al-jadid) dalam usia hidupnya selama 54 tahun. Sedangkan tuntutan hidup ketika itu sangat berbeza.

Inikan pula pada zaman ini kehidupan berlalu sangat pantas. Kita hidup dalam kepesatan teknologi dan industri yang menuntut para ilmuwan mengeluarkan pandangan baru tanpa perlu terikat dengan pandangan lama.

Satu perkara yang saya tertarik apabila Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyarankan agar PAS mempersiapkan pelapis ulama dari kalangan ahli-ahlinya yang menuntut ilmu di negara-negara Arab dengan menguasai pelbagai cabang ilmu-ilmu Islam seperti Usul-Fiqh dan lain-lain.

Ini sangat penting bagi survival sebuah parti Islam untuk meneruskan perjuangannya pada masa hadapan. Lebih lagi, ketika mana PAS kini dilihat sedang mendepani perubahan politik di negara ini.

Tidak kurang pentingnya, Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengingatkan agar PAS memperkukuhkan aspek tarbiah dan kerohanian dalam parti ini. Ini penting agar para pejuang dan penggerak parti Islam ini menjadi golongan rabbani dan ahli al-quran yang berpegang teguh dengan Islam. Manakala para ulamanya pula menjadi golongan fuqaha mujaddid.

Di akhir ucapannya beliau mendoakan parti Islam (PAS) yang penuh keberkatan ini agar terus maju ke hadapan demi menegakkan cita-cita Islam di Malaysia.

0 comments:

Post a Comment

 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates