HINDARI POLITIKING DALAM JAMAAH

PAS adalah Gerakan IslaM Bukan semata - mata Parti Politik

1. Parti Islam se Malaysia [ PAS ] adalah sebuah Gerakan Islam yang melaksanakan aktiviti Amal Islami ke arah mencapai cita - cita perjuangan Islam iaitu meninggikan kalimah Allah swt sehingga ia mengatasi ideologi ciptaan manusia .

2. Penyertaan PAS dalam medan siasah [ politik ] adalah sebahagian dari tanggungjawab perjuangannya untuk mendaulatkan syariat Allah swt di atas muka bumi ini .

3. Siasah [ politik ] PAS adalah siasah Islamiyyah yang kaya dengan adab , akhlak dan prinsip Islami yang dipandu oleh wahyu dan sunnah . Semua pemimpin dan anggotanya terikat dengan tatacara yang telah dimaktubkan . Pelanggarannya dianggap satu kesalahan yang tidak wajar dilakukan oleh pemimpin dan anggota PAS .

4. Tugas dan tanggungjawab PAS jauh lebih besar dari hanya sekadar berpolitik . Tanpa mengabaikan tanggungjawab politik yang dilunas mengikut prinsip amal Islami , PAS juga mempunyai tanggungjawab besar untuk turun berdakwah dan memimpin fikrah [ pemikiran ] , syakhsiyyah [ peribadi ] dan ruuhiyyah [ spiritual ] masyarakat .

5. Justeru itu , kurangkanlah politiking sesama sendiri yang hanya mengheret kita bersengketa dan membuang masa dalam perkara yang tidak mendatangkan keuntungan kepada perjuangan sebaliknya menjadikan kita retak dan pecah .

6. Berikan tumpuan kepada usaha pengukuhan gerakkerja dan mempelbagaikan aktiviti ke arah memahamkan masyarakat terhadap Islam yang kita perjuangkan . Tidak hanya menumpukan isu - isu politik sehingga memperlahankan tempo dalam gerakkerja dan aktiviti Amal Islami yang lain seperti pemantapan Aqidah dan Fikrah .

7. Jangan biarkan sebarang kemelut melintasi ruang jamaah kita sehingga ia merosakkan penumpuan dan keikhlasan kita terhadap amanah perjuangan . Keasyikan berpolitik dan keghairahan bersaing di dunia politik kini kelihatan banyak melahirkan pemimpin dan anggota parti yang tidak lagi menumpukan tanggungjawab asas sebagai seorang pejuang Islam .

8. Telah ramai pemimpin dan anggota jamaah yang telah mengabaikan solat berjamaah , menjauhkan diri dari majlis - majlis ilmu , tidak lagi melazimi usrah . Ucapannya pula tiada lagi hikmah sebaliknya kasar dan keras . Tindakannya gelojoh , egonya tinggi dan hanya merasa diri sahaja yang bijak dan pandai . Gemar bertelingkah dan suka memfitnah . Melakukan dosa tanpa sedar ianya berdepan murka dan kutukan Allah swt . Sebagai contoh mudah , apabila jamaah dan anggotanya dilanda badai dan kemelut , tiada lagi usaha untuk bermunajat dan solat hajat agar keadaan tenang dan terkawal . Sebaliknya berlumba - lumba nak menyalakan lagi isu yang sedia membara .

9. Saban ketika dan waktu hanya merancang bagaimana nak jatuhkan si anu dan si anu [ saingan politiknya ] kerana ia tidak sependapat dengan aku [ atau mereka memurnikan sedikit alasannya yang berbunyi " demi kebaikan jamaah ...." @ " demi masa depan jamaah ..." dan lainnya sebagai melindungi perkataan sebenar " demi kebaikan aku ..." @ " demi masa depan politik aku ......." ]

10. Segalanya kerana pengaruh politik tanpa agama dan akhlak . Hitungan seharian dalam dunia politik ialah bagaimana nak menang ! bagaimana nak dapatkan undi melayu dan non malay ! tetapi malang , sebahagiannya tidak memasukkan dalam hitungan mereka , bagaimana nak pertahankan Islam dan memenangkan Islam ! Malah ada yang berani mengatakan jangan bercakap Islam kerana nanti kita kurang popular dan non muslim akan menjauhi kita .

11. Sebagai anggota Gerakan Islam , kita tidak seharusnya prejudis terhadap Islam . Perjuangkan Islam nescaya Islam akan menambat hati nurani semua ummat , justeru Islam adalah agama wahyu untuk seluruh manusia . Keadilan Islam dan akhlaknya akan meruntun hati manusia walau pada mulanya mereka membenci Islam . Pentingnya kita mesti tegas bersama Islam .

12. Jangan hanya kita berbangga dengan ilmu dan akhlak pemimpin kita seperti Tuan Guru Hj. Abdul Hadi dan Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz sedang kita tidak berusaha untuk jadi seperti mereka atau lebih baik dari mereka . Bangga meriwayatkan kesederhanaan 2 tokoh pemimpin kita tetapi kita hidup tenggelam dalam kemewahan yang keterlaluan . Bangga dengan tawadhu' dan wara'nya mereka tetapi kita gopoh , liar dan tidak cermat . Bangga dengan karisma dan wibawa mereka sementara kita sering culas dan nakal .

13. Binalah jamaah ini sebagaimana kedua Tok Guru kita membinanya . Pagarilah jamaah ini sebagaimana kedua Tok Guru kita memagarinya . Kalau kita tidak mampu menjadi seperti mereka berdua , ambillah contoh dan ikutlah qudwah mereka bukan menjatuh dan melemahkan mereka serta melaga - lagakan mereka . Kerana itu perbuatan insan yang nakal lagi liar .

14. Berjuang biarlah dapat pahala , jangan berjuang untuk menambah dosa . Berjuang biarlah ramai sahabat , jangan berjuang meramaikan musuh . Berjuang biarlah tenang , jangan berjuang menambah serabut . Berjuang biarlah damai , jangan berjuang untuk bergaduh . Berjuang lah jangan tidak berjuang ....

15. Kita berjamaah untuk Islam bahkan kita menyertai PAS adalah untuk mendaulatkan Islam . Bukan membina empayar individu jauh sekali memburu kekayaan material . Lantaran itu , tidak sukar untuk kita memahami apa yang saya bangkitkan di sini . jangan tukar PAS sebagai Gerakan Islam kepada PAS hanya sebuah Parti Politik .

UST.NASARUDDIN TANTAWI

0 comments:

Post a Comment

 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates