Bagaimana Memotivasikan Murid Untuk Rajin Bersolat?
Bermula persekolahan tahun ini saya mengajar pelajar darjah 4 (berumur 10 tahun). Pertama sekali yang saya tanyakan kepada mereka, "siapa di sini solat cukup lima waktu?". Kebetulan pula pada waktu itu subjek Ibadah yang menyentuh tentang kepentingan solat.
Seperti biasalah, yang mengangkat tangan dua, tiga orang dari kelas yang berjumlah 38 orang...
Memang begitulah, kadang-kadang cikgu di sekolah sudah bertungkus lumus mengajar anak muridnya tatacara solat, cukup dengan rukun qolbi, qauli dan fe'li. Bermula dari darjah satu lagi diperkenalkan perbuatan di dalam solat, niatnya, takbir, rukuk dan sujudnya sehinggalah memberi salam.
Bersabarlah Dalam Mengajar
Dalam mengajar anak murid kena banyak bersabar, jangan putus asa. Maklumlah untuk menjadikan mereka 'manusia' banyak yang perlu dibentuk. Dan antara perkara yang penting adalah hal ehwal solatnya, kerana persoalan pertama yang ditanya ALlah adalah tentang solat jua.
Pesan RasuluLLah yang bererti : "Yang mula-mula dicabut daripada manusia ialah amanah dan yang terakhir tinggal daripada agama mereka ialah solat. Ramai orang yang solat, tetapi tidak ada nilai di sisi ALLah.." (Riwayat al Hakim)
ALlahu.. Allah... Ada orang Islam tetapi tidak solat, ada yang sengaja, yang jahil, yang terlupa, ada juga yang tahu tetapi amalan solatnya dilemparkan ke muka...
Tiadalah cara lain melainkan saya perlu berbuat sesuatu untuk menimbulkan keinginan dan suka mereka untuk solat. Agar bila sudah dewasa nanti tidak perlu disuruh, diherdik, dimarahi baru bergerak hendak solat.
Kepada anak muridku, ALlah telah mengajar kita bahawa sesungguhnya solat dapat menghalang keburukan dan kemungkaran (surah al Ankabut : 45). Di setiap suara bilal yang memanggil kita untuk menghadapNya, bilal menyeru "Marilah tunaikan Solattt!, Marilah Menuju Kejayaan!".
Murid saya disuruh untuk mengambil satu buku 'kosong' dan buat jadual seperti di bawah :
Setiap hari dan masa solat mereka perlu mengisikan jadual ini, tarikh dan waktu solat. Jika solat sudah disempurnakan pada waktu tersebut maka ia hendaklah diisikan dengan = 1 manakala jika tidak dibuat walau dengan apa jua alasan maka ia ditulis= 0.
Dan '0' itu bermakna akan dimasukkan ke neraka Saqar. Ini menurut amaran ALlah dalam surah al Muddathir ayat 42-43 yang bererti : "Apakah yang menjerumuskan kamu ke dalam Neraka Saqar? Mereka berkata : kami tidak menunaikan solat".
Pada setiap hari Jumaat saya meminta mereka menunjukkan Jadual Solat tersebut. Dan sekiranya ada 'telur' = O, maka hukuman rotan akan diberikan sekali di telapak tangan. Di rumah, ibu dan ayah mereka mendidik, tetapi jika di sekolah, sayalah ibu dan ayah mereka.
Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud berkata RasuluLlah yang bererti: “Perintahkanlah anak-anakmu mengerjakan solat di kala mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka kerana mereka tidak mengerjakannya di kala mereka berumur tahun pisahkanlah tempat tidurnya”
Ya, positive punishment saya perlu berikan kepada mereka untuk mendidik, dan apabila mereka berjaya menyempurnakan solat pada hari tersebut dan berikutnya, saya ucapkan tahniah.
0 comments:
Post a Comment