RAMADHAN KAREEM

Ramadan dan penghayatan al-Quran

Oleh: Imran al-Malizi

(imran_almalizi@yahoo.com)

Tahun lalu, saya pernah menulis satu bingkisan bertajuk Orang Yaman tidak lekang daripada Al-Quran (Harakah-Fikrah, 12-14 Ramadan 1429H, m/s F14). Ramai yang memberikan respon positif dan melahirkan rasa sukacita sekiranya suasana yang sama boleh dihidupkan di tanah air kita.

Hari pertama Ramadan ini, saya berjalan kaki pulang dari kelas pengajian al-Quran. Seperti yang saya jangkakan, begitu ramai orang yang membaca al-Quran di mana-mana sahaja. Sempat juga saya merakam gambar seorang penjual stoking sedang membaca al-Quran di kaki lima jalan.

Di sini bukan suatu yang pelik jika anda melihat peniaga jalanan, penjaga kedai buku, pengawal keselamatan, doktor, guru sekolah, malah sesiapa sahaja sama ada tua atau muda, kecil atau dewasa, mereka akan membaca al-Quran sepanjang bulan Ramadan lebih hebat berbanding pada bulan-bulan yang lain.

Hal ini secara umumnya, kerana mereka adalah masyarakat yang begitu menghayati agama. Mereka memahami firman Allah Ta’ala (bermaksud): “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil).” (Al-Baqarah: 185)

Setiap kali menyambut bulan Ramadan, mereka diperingatkan dengan begitu banyak riwayat-riwayat yang mengaitkan Ramadan dengan penghayatan al-Quran. Para ulama dan pendakwah akan selalu menyeru dan memberikan galakan agar masyarakat di Yaman memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan yang penuh keberkatan ini.

Menurut satu riwayat daripada Ibnu Abbas r.a, ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w adalah sebaik-baik manusia, baginda menjadi lebih baik pada bulan Ramadan ketika mana Jibril a.s menemuinya. Jibril a.s menemuinya (Nabi s.a.w) pada setiap malam di bulan Ramadan lalu mengajarkannya al-Quran. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Maka Ramadan itu sendiri dikhususkan untuk baginda bertadarus dengan Jibril, di mana baginda memeriksa bacaan serta hafalan di hadapan Jibril a.s. Pada setiap tahun, baginda s.a.w mengulangkaji (muraja’ah) ayat-ayat al-Quran yang telah diturunkan dalam tempoh setahun sebelumnya.

Imam al-Bukhari juga meriwayatkan bahawa pada tahun kewafatan baginda, Rasulullah s.a.w memperdengarkan al-Quran kepada Jibril a.s sebanyak dua kali khatam. Berdasarkan ini juga, para ulama berpendapat bahawa mengkhatamkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan adalah bersesuaian dengan syarak.

Dengan ini adalah sunat bagi setiap muslim untuk membaca al-Quran pada bulan Ramadan dengan sekali khatam atau pun lebih. Menurut riwayat Imam al-Tirmizi dan Ahmad bin Hanbal r.h, adalah sunat mengkhatamkan al-Quran sekali pada setiap bulan. Manakala Imam Malik r.h meriwayatkan dalam al-Muwatta’, bagi sesiapa yang mampu, maka dikhatamkan al-Quran seminggu sekali.

Imam Malik r.h sendiri apabila memasuki bulan Ramadan, beliau meninggalkan bacaan hadis sama ada untuk mengajar atau pun meriwayatkannya. Beliau akan memperbanyakkan bacaan al-Quran. Begitulah juga para ulama dari kalangan salaf as-solihin. Ada di kalangan mereka yang mengkhatamkan al-Quran sekali pada setiap tiga malam. Sehinggakan pada 10 malam akhir Ramadan, mereka mengkhatamkan al-Quran pada setiap malam.

Namun bukanlah semata-mata khatam al-Quran itu yang menjadi keutamaan. Al-Quran itu hendaklah dibaca dengan bertadabbur untuk memahami ajaran yang terkandung di dalamnya dan Allah juga memerintahkan nabi s.a.w agar membacanya secara tartil iaitu dengan bacaan yang tertib dan perlahan-lahan.

Firman Allah Ta’ala (bermaksud): “Ini adalah sebuah Kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan supaya mereka memperhatikan ayat-ayatNya dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran mendapat pelajaran.” (Shad: 29). FirmanNya lagi (bermaksud), “..dan Bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan.” (al-Muzammil: 4)

Seperti yang pernah saya persoalkan, di sebalik semua anjuran dan galakan ini, mengapakah masyarakat di negara kita agak kurang menghayatinya. Seingat saya, amalan bertadarus di masjid-masjid negara kita hanya dilakukan oleh golongan tua. Itu pun dengan penyertaan yang agak terhad. Jika ada pun golongan muda, hanyalah golongan pelajar tahfiz atau imam masjid.

Apabila memerhatikan masyarakat Yaman yang membaca al-Quran daripada segala lapisan umur dan kedudukan, saya dapat simpulkan di antara sebab utama yang membantunya ialah pengajian al-Quran begitu meluas di sini.

Rata-rata orang di sini mampu membaca al-Quran. Guru-guru al-Quran juga ramai dan mereka mengajar secara percuma di masjid-masjid. Kanak-kanak mereka telah dididik dengan al-Quran semenjak kecil. Mereka menghafalnya sekurang-kurangnya 2-3 juzuk.

Secara jujurnya, masyarakat di negara kita sangat kurang yang mampu membaca al-Quran dengan baik. Kerana itu, jika ketiadaan imam di mana-mana masjid atau surau, para jemaah sudah mula gelisah. Sambil meninjau ke kiri dan ke kanan, orang-orang yang berimej ‘lebai’ atau ‘haji’ juga berpeluh jika ditakdirkan mereka harus ke depan.

Apatah lagi jika dikeluarkan statisik golongan buta al-Quran di kalangan para pelajar peringkat sekolah menengah. Maka inilah yang menjadi penyebab utama mengapa suasana Ramadan di negara kita amat sepi daripada bacaan al-Quran. Ini bukan sahaja pada bulan Ramadan, malah pada bulan-bulan yang lain.

Saya suka mengingatkan bahawa apabila satu masyarakat ini jauh daripada al-Quran, maka banyaklah anasir-anasir luar yang akan mempengaruhi pemikiran, ideologi, akhlak dan keperibadian generasi mudanya (dan yang tua juga).

Kerana itu keruntuhan moral dan pelanggaran batas-batas kehidupan banyak berkait dengan hubungan masyarakat itu dengan kitab Allah yang merupakan petunjuk dan pembeza di antara perkara yang hak dan batil.

Bagi melahirkan umat yang membaca dan mentadabbur al-Quran, golongan yang berpendidikan agama perlu memainkan peranan yang bersungguh-sungguh dalam mendidik anak-anak muslimin dengan al-Quran.

Penyakit yang melanda guru-guru al-Quran ialah terlalu berkira soal wang dalam mengajar kitab suci itu. Saya pernah mendengar betapa ramai ustaz dan ustazah yang menetapkan harga tertentu (dan lumayan) untuk mengajar al-Quran. Malah ilmu agama juga sudah boleh dijual beli secara pakej .

Sebenarnya masih ramai yang berminat untuk mempelajari al-Quran akan tetapi hasrat mereka terbantut apabila pengajian al-Quran sudah dikomersialkan sebagaimana pengajian sains dan matematik di kelas-kelas tuisyen dan intensif.

Saya sangat yakin keikhlasan adalah asas dalam dakwah kita untuk menyuburkan jiwa umat ini agar hidup dengan petunjuk Allah Ta'ala.

Perhatikan ayat-ayat al-Quran al-Karim yang menjelaskan kaedah para nabi a.s ketika menyampaikan petunjuk Allah. Firman Allah Ta'ala (bermaksud): "..Katakanlah: "Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (Al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya." (Al-An'am: 90)

Firman Allah Ta'ala lagi (bermaksud): "Ikutlah orang-orang yang tidak meminta kepada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mendapat hidayah petunjuk". (Yaa Siin: 21)


0 comments:

Post a Comment

 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates