RAMADHAN KAREEM

Ramadan dan penghayatan al-Quran

Oleh: Imran al-Malizi

(imran_almalizi@yahoo.com)

Tahun lalu, saya pernah menulis satu bingkisan bertajuk Orang Yaman tidak lekang daripada Al-Quran (Harakah-Fikrah, 12-14 Ramadan 1429H, m/s F14). Ramai yang memberikan respon positif dan melahirkan rasa sukacita sekiranya suasana yang sama boleh dihidupkan di tanah air kita.

Hari pertama Ramadan ini, saya berjalan kaki pulang dari kelas pengajian al-Quran. Seperti yang saya jangkakan, begitu ramai orang yang membaca al-Quran di mana-mana sahaja. Sempat juga saya merakam gambar seorang penjual stoking sedang membaca al-Quran di kaki lima jalan.

Di sini bukan suatu yang pelik jika anda melihat peniaga jalanan, penjaga kedai buku, pengawal keselamatan, doktor, guru sekolah, malah sesiapa sahaja sama ada tua atau muda, kecil atau dewasa, mereka akan membaca al-Quran sepanjang bulan Ramadan lebih hebat berbanding pada bulan-bulan yang lain.

Hal ini secara umumnya, kerana mereka adalah masyarakat yang begitu menghayati agama. Mereka memahami firman Allah Ta’ala (bermaksud): “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil).” (Al-Baqarah: 185)

Setiap kali menyambut bulan Ramadan, mereka diperingatkan dengan begitu banyak riwayat-riwayat yang mengaitkan Ramadan dengan penghayatan al-Quran. Para ulama dan pendakwah akan selalu menyeru dan memberikan galakan agar masyarakat di Yaman memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan yang penuh keberkatan ini.

Menurut satu riwayat daripada Ibnu Abbas r.a, ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w adalah sebaik-baik manusia, baginda menjadi lebih baik pada bulan Ramadan ketika mana Jibril a.s menemuinya. Jibril a.s menemuinya (Nabi s.a.w) pada setiap malam di bulan Ramadan lalu mengajarkannya al-Quran. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Maka Ramadan itu sendiri dikhususkan untuk baginda bertadarus dengan Jibril, di mana baginda memeriksa bacaan serta hafalan di hadapan Jibril a.s. Pada setiap tahun, baginda s.a.w mengulangkaji (muraja’ah) ayat-ayat al-Quran yang telah diturunkan dalam tempoh setahun sebelumnya.

Imam al-Bukhari juga meriwayatkan bahawa pada tahun kewafatan baginda, Rasulullah s.a.w memperdengarkan al-Quran kepada Jibril a.s sebanyak dua kali khatam. Berdasarkan ini juga, para ulama berpendapat bahawa mengkhatamkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan adalah bersesuaian dengan syarak.

Dengan ini adalah sunat bagi setiap muslim untuk membaca al-Quran pada bulan Ramadan dengan sekali khatam atau pun lebih. Menurut riwayat Imam al-Tirmizi dan Ahmad bin Hanbal r.h, adalah sunat mengkhatamkan al-Quran sekali pada setiap bulan. Manakala Imam Malik r.h meriwayatkan dalam al-Muwatta’, bagi sesiapa yang mampu, maka dikhatamkan al-Quran seminggu sekali.

Imam Malik r.h sendiri apabila memasuki bulan Ramadan, beliau meninggalkan bacaan hadis sama ada untuk mengajar atau pun meriwayatkannya. Beliau akan memperbanyakkan bacaan al-Quran. Begitulah juga para ulama dari kalangan salaf as-solihin. Ada di kalangan mereka yang mengkhatamkan al-Quran sekali pada setiap tiga malam. Sehinggakan pada 10 malam akhir Ramadan, mereka mengkhatamkan al-Quran pada setiap malam.

Namun bukanlah semata-mata khatam al-Quran itu yang menjadi keutamaan. Al-Quran itu hendaklah dibaca dengan bertadabbur untuk memahami ajaran yang terkandung di dalamnya dan Allah juga memerintahkan nabi s.a.w agar membacanya secara tartil iaitu dengan bacaan yang tertib dan perlahan-lahan.

Firman Allah Ta’ala (bermaksud): “Ini adalah sebuah Kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan supaya mereka memperhatikan ayat-ayatNya dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran mendapat pelajaran.” (Shad: 29). FirmanNya lagi (bermaksud), “..dan Bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan.” (al-Muzammil: 4)

Seperti yang pernah saya persoalkan, di sebalik semua anjuran dan galakan ini, mengapakah masyarakat di negara kita agak kurang menghayatinya. Seingat saya, amalan bertadarus di masjid-masjid negara kita hanya dilakukan oleh golongan tua. Itu pun dengan penyertaan yang agak terhad. Jika ada pun golongan muda, hanyalah golongan pelajar tahfiz atau imam masjid.

Apabila memerhatikan masyarakat Yaman yang membaca al-Quran daripada segala lapisan umur dan kedudukan, saya dapat simpulkan di antara sebab utama yang membantunya ialah pengajian al-Quran begitu meluas di sini.

Rata-rata orang di sini mampu membaca al-Quran. Guru-guru al-Quran juga ramai dan mereka mengajar secara percuma di masjid-masjid. Kanak-kanak mereka telah dididik dengan al-Quran semenjak kecil. Mereka menghafalnya sekurang-kurangnya 2-3 juzuk.

Secara jujurnya, masyarakat di negara kita sangat kurang yang mampu membaca al-Quran dengan baik. Kerana itu, jika ketiadaan imam di mana-mana masjid atau surau, para jemaah sudah mula gelisah. Sambil meninjau ke kiri dan ke kanan, orang-orang yang berimej ‘lebai’ atau ‘haji’ juga berpeluh jika ditakdirkan mereka harus ke depan.

Apatah lagi jika dikeluarkan statisik golongan buta al-Quran di kalangan para pelajar peringkat sekolah menengah. Maka inilah yang menjadi penyebab utama mengapa suasana Ramadan di negara kita amat sepi daripada bacaan al-Quran. Ini bukan sahaja pada bulan Ramadan, malah pada bulan-bulan yang lain.

Saya suka mengingatkan bahawa apabila satu masyarakat ini jauh daripada al-Quran, maka banyaklah anasir-anasir luar yang akan mempengaruhi pemikiran, ideologi, akhlak dan keperibadian generasi mudanya (dan yang tua juga).

Kerana itu keruntuhan moral dan pelanggaran batas-batas kehidupan banyak berkait dengan hubungan masyarakat itu dengan kitab Allah yang merupakan petunjuk dan pembeza di antara perkara yang hak dan batil.

Bagi melahirkan umat yang membaca dan mentadabbur al-Quran, golongan yang berpendidikan agama perlu memainkan peranan yang bersungguh-sungguh dalam mendidik anak-anak muslimin dengan al-Quran.

Penyakit yang melanda guru-guru al-Quran ialah terlalu berkira soal wang dalam mengajar kitab suci itu. Saya pernah mendengar betapa ramai ustaz dan ustazah yang menetapkan harga tertentu (dan lumayan) untuk mengajar al-Quran. Malah ilmu agama juga sudah boleh dijual beli secara pakej .

Sebenarnya masih ramai yang berminat untuk mempelajari al-Quran akan tetapi hasrat mereka terbantut apabila pengajian al-Quran sudah dikomersialkan sebagaimana pengajian sains dan matematik di kelas-kelas tuisyen dan intensif.

Saya sangat yakin keikhlasan adalah asas dalam dakwah kita untuk menyuburkan jiwa umat ini agar hidup dengan petunjuk Allah Ta'ala.

Perhatikan ayat-ayat al-Quran al-Karim yang menjelaskan kaedah para nabi a.s ketika menyampaikan petunjuk Allah. Firman Allah Ta'ala (bermaksud): "..Katakanlah: "Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (Al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya." (Al-An'am: 90)

Firman Allah Ta'ala lagi (bermaksud): "Ikutlah orang-orang yang tidak meminta kepada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mendapat hidayah petunjuk". (Yaa Siin: 21)


Istimewa Saat Ramadhan



Setiap orang yang mengaku beriman dengan kebesaran Allah pasti akan bergembira apabila tiba bulan Ramadhan Al Mubarak di setiap tahun (Anda bagaimana?). Asbabnya Ramadhan satu-satunya bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan yang tidak terdapat di dalam bulan-bulan yang lain, oleh sebab itu Rasulullah s.a.w. menjelaskan Ramadhan adalah penghulu kepada sebelas bulan yang lain. Hanya orang yang kenal kelebihan Ramadhan sahaja yang akan bersedia bila menjelangnya bulan yang mulia ini.





Betapa besarnya fadilat bulan Ramadhan ini dapat kita fahami dari hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bererti:

Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta diikat semua iblis dan syaitan. Oleh kerana itu apabila seorang melangkah masuk ke bulan Ramadhan bererti mereka memasuki gerbang pertapaan yang penuh dengan ujian dan latihan. Kerana itu sudah sewajarnyalah kita membuat persiapan yang perlu dari segi rohani dan jasmani iaitu.

1. Mengulangi kembali pelajaran-pelajaran yang berkaitan dengan puasa agar kita memasuki dan menjalani amalan puasa ini dengan pengetahuan dan yang dibaharui dengan pedoman-pedoman yang baik serta pengalaman-pengalaman yang baru dan sempurna. Pelajaran-pelajaran itu hendaklah yang berhubung dengan rukun, syarat sah, syarat membatalkan puasa, perkara-perkara sunat, makruh, abad berpuasa dan hikmat yang terkandung serta perlaksanaan ibadat puasa yang merupakan ibadat yang istimewa ini.

2. Membuat persiapan dari segi Rohani rasa hati dan ketenangan jiwa dalam menghadapi bulan puasa sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda.

3. Memperbanyakkan doa moga-moga Allah memberikan kesihatan, tenaga, kelapangan dan kesempatan mengerjakan puasa dan mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayahNya supaya kita dapat menunaikan puasa dengan hati yang jujur, tulus ikhlas dijauhi dari riak, ujub dan dari segala rupa penyakit yang menghilangkan pahala puasa.

4. Menguatkan semangat dan hemat untuk melaksanakan latihan yang akan kita jalani sepanjang bulan ini dengan sempurna agar kita memperolehi kesan yang dimaksudkan iaitu peningkatan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. Bulan puasa itu merupakan bulan latihan berjihad memerangi hawa nafsu yang loba dan tamak.

Bulan puasa adalah bulan bercucuk tanam untuk akhirat, bulan menghasilkan bekalan untuk hari kemudian, bulan membersihkan dan menyuci diri dari berbagai dosa dan noda serta menghiasi diri dengan budi yang tinggi dan pekerti yang luhur. Maka oleh itu hendaklah kita menyediakan diri kita dalam melaksanakan hak puasa dengan perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang baik dengan sepenuh hati, jujur dan ikhlas semata-mata kerana Allah. Kita hendaklah berusaha menyediakan diri untuk menjaga benih-benih amal yang kita tanam di bulan Ramadhan itu kerana seorang yang menanam benih jika tidak membaja, menyiram serta memelihara pasti tidak akan mengeluarkan hasil yang baik apabila datang masa menuai tegasnya semasa berhadapan dengan Allah s.w.t.

Kita hendaklah mengelakkan daripada kebiasan-kebiasan yang memberatkan dan merugikan diri kita seperti berbelanja berlebihan, boros, suka berhibur, membuang masa dan bersembang yang tidak mendatangkan faedah kerana perkara-perkara tersebut adalah bertentangan dengan hikmat berpuasa. Sebaliknya hendaklah kita menyambut bulan puasa dengna cita-cita dan azam yang tinggi membanyakkan ibadah samada siang atau malam hari dengan kemahuan hendak melatih diri serta mensucikan jiwa. Kita hendaklah mengucapkan tahniah di atas kedatangan bulan Ramadhan itu kerana ianya merupakan hak muslim ke atas muslim.

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud: Daripada hak seorang muslim kepada muslim yang lain ialah apabila mereka menerima kebaikan hendaklah kita mengucapkan tahniah.

Rasulullah s.a.w. sentiasa menggembirakan para sahabat di atas kedatangan bulan Ramadhan, bulan yang membawa rahmat serta nikmat yang tidak terhingga kepada mereka yang berpuasa, bulan melebur dosa dan memerdekan hambanya dari azab api neraka. (Riwayat Nasaie dan Ahmad daripada Abu Hurairah)

Rasulullah s.a.w. menggembirakan para sahabatnya dengan sabda baginda: Ertinya: Sesungguhnya akan datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, Allah mewajibkan kamu berpuasa di dalamnya. Pada bulan Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga, dikunci semua pintu neraka, dibelenggu semua syaitan. Di malamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang tidak memperolehi kebajikan pada malam itu berertilah diharamkan baginya segala kebaikan untuk dirinya.

Rasulullah s.a.w. juga mengucapkan kepada para Sahabat ucapan yang bermaksud: Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan Penghulu segala bulan , maka selamat datanglah kamu kepadaNya. Maka telah datang bulan puasa membawa segala macam keberkatan. Oleh yang demikian muliakan tetamu yang datang itu dengan seberapa baik.

Daripada hadis-hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan:-

Bahawasanya bulan Ramadhan adalah bulan istimewa bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat dari Allah s.w.t. Sewajarnyalah setiap muslim mengambil kesempatan daripada ketibaan bulan Ramadhan Al Mubarak ini dengan memperbanyakkan amal-amal soleh samada disiang hari atau dimalamnya. Bulan Ramadhan adalah bulan pendidikan dan latihan maka setiap orang yang menerima kedatangan bulan Ramadhan ini hendaklah membuat persiapan yang sekucupnya samada dari segi jiwa, fizikal dan spiritual.Anggaplah Ramadhan sebagai bulan saringan pelepasan ke padang Masyar!

CHECKLIST AMALAN RAMADHAN

4.00 pagi

1.Bangun berdoa kepada ALLAH dengan doa:

“Segala puji bagi ALLAH yang telah menghidupkan aku setelah DIA mematikan aku dan kepadanyalah aku akan dikembalikan.”

2.Berniatlah untuk melaksanakan sebanyak-banyak kebaikan hari itu.
3.Mandi dan membersihkan diri.
4.Mengambil whudu' dan memakai pakaian yang suci untuk beribadah, berwangi-wangian.


4.20 pagi

1.Solat sunat Taubat
Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, Rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah tangan memohon ampun kepada ALLAH. Menangislah menyesali dosa-dosa.

2.Solat sunat Tahajjud.
Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, Rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah tangan berdoa kepada ALLAH.

3.Solat sunat Hajat
Rakaat pertama baca ayatul Kursi 1 kali Selepas Al-Fatihah Rakaat kedua baca surah Al-Ikhlas 11 kali Ketika sujud terakhir baca 11 kali dan sertakan di dalam hati segala hajat-hajat kita.

4.Solat sunat Witir
Selepas salam, bangun lagi dan sembahyang witir 1 rakaat. Perbanyakkan berdoa kepada ALLAH dengan penuh rasa kehambaan, rendah diri, meminta-minta, merintih-rintih, agar ALLAH ampunkan dosa-dosa kita, terima taubat kita, terima amalan kita, memperkenankan doa dan permintaan kita.


5.00 pagi

1.Makan sahur
2.Mengosok gigi dan membersihkan sisa-sisa makanan di mulut.


5.30 pagi


1.Bersiap menunggu waktu Subuh dengan membaca Al-Quran atau berselawat. Sembahyang sunat Subuh, sembahyang Subuh berjemaah. Selesaikan wirid harian di tikar sembahyang atau baca Al-Quran hingga terbit matahari.

2.Elakkan tidur selepas Subuh, kerana waktu itu adalah waktu paling berkat untuk memulakan pekerjaan.


7.00 pagi

1.Membuat persiapan ke tempat kerja. Melangkah ke tempat kerja dengan membaca Bismillah dan dengan berniat dengan niat yang baik-baik.

2.Mulakan kerja dengan Bismillah dan doa kepada ALLAH agar semua aktiviti kita diberkatiNYA, Sentiasa berselawat kepada Rasulullah SAW samada menyebutnya atau di hati.

3.Banyakkan istighfar/meminta ampun. Melaksanakan kerja dengan bersemangat dan penuh bertanggung jawab. Datangkan rasa bahawa ALLAH sentiasa memerhati kerja-kerja yang dilakukannya dan yakinlah DIA akan membalas segala kebaikan yang kita buat.


10.00 pagi

1.Sembahyang sunat Dhuha, Ia adalah sumber rezeki yang berkat kalau istiqamah diamalkan.

2.Penuhi masa rehat tengahari dengan menambah ilmu atau membaca Al-Quran. Elakkan sungguh-sungguh dari melakukan dosa walaupun kecil dan perkara yang sia-sia.
Contoh dosa-dosa : Mengumpat mengutuk,menyindir yang menyakitkan orang,bergaul bebas tanpa menjaga syariat seperti berbual dengan yang bukan muhrim mengenai perkara yang tiada sangkut paut dengan kerja


12.45 tengah hari

1.Bersiap untuk solat Zohor.
2.Menunggu waktu sembahyang dengan berselawat. Solat Zohor berjemaah.
3.Laksanakan juga solat sunat Rawatib Bersujud syukurlah setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yang memberi kita nikmat besar dapat menyembahNYA.


4.15 petang

1.Bersedia untuk solat Asar.
2.Solat Asar berjemaah. Laksanakan juga solat sunat Qabliyah.
3.Bersujud syukurlah setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yang memberi kita nikmat besar dapat menyembahNYA


5.30 petang

1.Membeli barang-barang keperluan berbuka dan sahur tanpa berlebih-lebih. Ingatlah walaupun Syaitan dirantai tetapi nafsu masih ada dalam diri kita!



6.30 petang

1.Memperbanyakkan doa sebelum berbuka kerana di waktu itu adalah masa yang mustajab doa. Ingatlah sabda Rasulullah SAW : "Ramai orang yang berpuasa, yang mereka dapat hanya lapar dan dahaga", merintihlah kepada ALLAH memohon agar amalan kita diterima.

2.Apabila masuk waktu Maghrib, bacalah doa berbuka :

“Wahai Tuhan, kerana Engkaulah aku berpuasa, kepada Engkaulah aku beriman dan dengan rezki engkaulah aku berbuka.”

3.Berbuka puasa dengan makanan yang manis seperti buah kurma dan jangan makan terlalu banyak.

4.Seeloknya setelah memakan kurma dan meminum air, terus menunaikan solat maghrib berjemaah, setelah itu barulah makan makanan yang berat.


8.00 malam

1.Solat Isya' berjemaah dan diteruskan dengan solat Taraweh
2.Cuba pertahankan solat taraweh walau bagaimana keadaan sekalipun kerana fadhilatnya amat besar. Bacalah Al-Quran dengan penuh tawadhuk, seeloknya baca dengan bertadarus (berkumpulan bergilir-gilir, seorang baca, yang lain menyemaknya), cuba khatamkan membaca Al-Quran paling kurang satu kali sepanjang ramadhan. Kebanyakan imam-imam besar mengkhatamnya dua kali dalam sehari (60 kali sebulan Ramadhan)


11.00 malam

1.Memperbanyakkan istighfar sebelum tidur.
2.Berniatlah untuk puasa esok hari.
3.Tidur awal agar dapat bangun awal untuk beribadah.
4.Bacalah doa tidur :

"Dengan namaMU Ya ALLAH! Aku hidup dan mati. Ingatlah tidur adalah mati yang sementara, kemungkinan kita dipanggil ALLAH ketika tidur."

IBU PARA MUJAHIDEEN


Sabda Sallallahu alaihi wa Sallam: ” Wahai Ummu Saad, terimalah khabar gembira dan sampaikanlah khabar gembira kepada keluarga mereka, bahawa orang-orang yang terbunuh di antara mereka saling berteman di dalam syurga, semuanya dan mereka diberi syafaat untuk keluarganya”


Ibu Para Mujahideen

Inilah dia, Kabsyah bintu Rafi’ bin Muawiyah bin Ubaid bin Al-Abjar Al-Ansyariyah Al-Khudriyah. (Thabaqat Ibn Saad, 8/37; Al-Isti’ab, 4/383; Usdul Ghabah [7230]; Al-Istibshar,hal. 129)
Beliaulah ibu yang Arasy Ar-Rahman pun bergoncang kerana kematian anak-anaknya. Beliaulah ibu yang memutuskan perkara dengan hukum Allah dari atas langit ketujuh. Anak beliau ialah penjaga Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam ketika Perang Badar, yang juga pemegang panji dari golongan Ansar, serta salah seorang ahli majlis syura Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam ketika itu. Anak beliau adalah As-siddiq kedua setelah Abu Bakar Radiallahu Anhu. Anak beliau jugalah wakil Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam di saat Perang Buwath. Kelebihan ini turut diakui oleh Ibn Saad dengan berkata: “ Orang yang pertama berbaiat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam ialah Ummu Saad, Kabsyah bintu Rafi’ bin Ubaid, Ummu Amir bintu Yazid bin As-Sakan serta Hawa’ bintu Yazid bin As-Sakan.”

Peniup Semangat Jihad Anak-anaknya

Di dalam Perang Badar, beliau meniupkan semangat kepada kedua anak beliau, Saad bin Muadz dan Amru bin Muadz Radiallahu Anhuma, agar berangkat dan berjihad kerana Allah dengan sebenar-benar jihad. Di dalam Perang Uhud, Ummu Saad turut terlibat secara langsung bersama beberapa wanita Muslimah lainnya. Berita kekalahan tentera kaum Muslimin dan gugur syahidnya anak beliau, Amru bin Muadz sampai ke pengetahuan beliau. Namun, berita-berita tersebut ternyata kurang penting bagi ibu ini berbanding keselamatan baginda nabi. Beliau lantas bersegera ke medan peperangan dan melihat dengan mata kepala sendiri keadaan dan keselamatan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam. Saat itu juga, beliau memanjatkan puji dan syukur kepada Allah seraya berkata: ”Selagi aku melihat engkau dalam keadaan yang selamat, maka musibah ini (kematian Amru bin Muadz) adalah terasa sangat ringan” .

Di saat Perang Khandaq meletus, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam mengarahkan para wanita muslimat dan kanak-kanak yang turut serta untuk berlindung di dalam benteng Bani Haritsah yang telah siap dibina. Turut sama di kalangan mereka ialah Aisyah Ummul Mukminin Radiallahu Anha dan Ummu Saad. Aisyah menuturkan bahawa Saad bin Muadz berlalu untuk menyertai pasukan perang dengan mengenakan baju besi yang pendek, sehingga seluruh tangannya terdedah. Ummu Saad menasihatkan anaknya agar bersegera supaya tidak ketinggalan walau sesaat pun tanpa bersama-sama Rasulullah. Beliaulah yang tidak henti-henti menasihati dan meniupkan semangat jihad di dalam dada anak-anaknya. Beliau berkata: ”Wahai anakku, cepatlah berangkat kerana demi Allah, engkau sudah terlambat!”

Di dalam peperangan tersebut, Saad terkena anak panah lemparan Hibban Al-Urqah yang memutuskan urat di dekat mata kakinya. Saat itu, Saad sempat berdoa kepada Allah dengan doanya yang sangat masyur, ” Ya Allah, jika Engkau masih menyisakan peperangan melawan Quraisy, maka berikanlah aku sisa umur untuk aku menyertainya. Tidak ada kaum yang lebih aku sukai untuk memeranginya kerana Engkau, selain dari kaum yang telah menyakiti Nabi-Mu, mendustakannya dan mengusirnya. Ya Allah, jika Engkau menjadikan peperangan antara kami dengan mereka, maka jadikanlah mati syahid bagiku dan janganlah Engkau uji aku sehingga aku merasakan senang kerana dapat mengalahkan bani Quraizhah” Tenyata Allah mengabulkan doa Saad bin Muadz. Yahudi Bani Quraizhah melanggar perjanjian yang telah dimeterai bersama Baginda Nabi. Keputusan tentang Bani Quraizhah diserahkan kepada Saad bin Muadz. Beliaulah yang memutuskan agar kaum lelaki Bani Quraizhah dibunuh, manakala kaum wanita dan kanak-kanaknya dijadikan tawanan. Sebaik saja urusan Bani Quraizhah diselesaikan, luka di kaki Saad semakin parah dan akhirnya beliau meninggal dunia. Sekali lagi, Ummu Saad diuji dengan kehilangan anak beliau. Jasad Saad diusung dan dikebumikan di Baqi’. Kesedihan Ummu Saad terpancar jelas di wajahnya. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam menghibur beliau dengan bersabda, ” Adakah air matamu tidak dapat dibendung dan apakah kesedihanmu tidak dapat dihilangkan? Sesungguhnya anakmu adalah orang pertama, Allah tersenyum kepadanya dan Arasy bergoncang kerana kematiannya“ (Siar Alamin-Nubala’, 1/293: Thabaqat Ibn Saad, 3/434; Majma’ Az-Zawa’id, 9/309)

Hatinya lantas gembira dengan perkhabaran Baginda. Beliau hanya mengharapkan pahala kebaikan di sisi Allah dan RasulNya di atas kematian kedua-dua anaknya sebagai syuhada’, apatahlagi setelah mengetahui ketinggian martabat seorang syahid. Beliau mendahulukan kecintaan kepada Allah dan RasulNya di atas segala sesuatu yang di mata manusia lainnya sangat berharga, termasuklah harta dan anak-anak. Di atas sifatnya inilah, maka beliau layak mendapatkan khabar gembira daripada Allah dan RasulNya sebagai penghuni syurga.



Baginya Jaminan Syurga

Ummu Saad menerima khabar gembira sebagai penghuni syurga secara langsung dari Rasulullah sewaktu berakhirnya Perang Uhud.
(Al-Maghazy, 2/315-316; As-sirah Al-Halabiyah, 2/545-546).
Saat Baginda Nabi mengetahui gugurnya Amru bin Muadz selain sebelas orang lagi syuhada’ medan uhud, Baginda lantas bersabda, ” Wahai Ummu Saad, terimalah khabar gembira dan sampaikanlah khabar gembira kepada keluarga mereka, bahawa orang-orang yang terbunuh di antara mereka saling berteman di dalam syurga, semuanya dan mereka diberi syafaat untuk keluarganya”.
Baginda turut mendoakan Ummu Saad dengan doa yang istimewa, ” Ya Allah, singkirkan kesedihan hati mereka, ringankanlah musibah mereka dan berilah pengganti yang baik bagi orang-orang yang mereka tinggalkan”.
Dari Anas bin Malik Radiallahu Anha, beliau berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda, ”Barangsiapa yang sabar dan ikhlas mencari pahala kerana kematian tiga anaknya, maka dia akan masuk syurga” Ada seorang wanita yang berdiri seraya berkata, ” Bagaimana dengan dua orang anak?” Baginda kemudiannya menjawab, ”Begitu pula dua orang anak” [HR Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi, An-Nasaei dan Ahmad].

Semoga keikhlasan dan kesabaran beliau dalam mendidik anak-anaknya sehingga menjadi pendamping utama Rasulullah di medan dakwah dan jihad menjadi teladan yang layak untuk dicontohi oleh ibu kaum muslimin hari ini. Wallahu'alam.

Puasa, Iman dan Taqwa


Kalau solat menjadi tanda aras dan kayu ukur penganut ajaran Tauhid, nescaya hal ini sukar kita bincangkan. Ini kerana, sukar kita melihat penganut agama, selain Islam melakukan solat.

Walaupun sesekali kita pernah terdengar dan membaca bahawa di sana, ada beberapa penganut agama Yahudi misalnya pernah bersolat seperti penganut Islam juga. Tetapi, dalam realiti sekarang, sulit untuk kita perhatikan gerak laku solat penganut agama lain yang mirip kepada Islam.

Al-Qur'an yang merincikan solat penganut agama lain dengan penganut Islam terletak pada surah
Ali Imran ayat 43. "Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan solat) bersama-sama orang-orang yang rukuk."

Ada riwayat yang menyatakan bahawa solat yang mempunyai rukun rukuk di dalam solat ialah solat penganut Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ini kerana solat penganut Nasrani tidak mempunyai rukuk. Wallahu'alam..

Menurut sesetengah pendakwah dan penceramah yang dahulunya Kristian Nasrani, pernah menyatakan bahawa Nabi Isa a.s menunaikan solat; suatu upacara keagamaan, ajaran Tauhid yang berasal daripada Ibrahim a.s.

Bagaimanapun, ciri-cirinya yang asli telah luput ditelan gelombang putaran ganas dan keasliannya rupa parasnya telah pudar dilapah arus masa.

Puasa, lambang amalan agama samawi

Oleh kerana, dialog mengenai agama di negara kita belum mencapai tahap yang baik, maka ada beberapa hal perbincangan yang tidak dapat kita lanjutkan di sini.

Bagaimanapun, tetap sahaja
ada amalan agama Islam yang masih sama dan mirip kepada ibadat penganut Islam, iaitu puasa.

Manakala, amalan-amalan lain seperti solat, zakat dan menunaikan fardhu haji tidak mirip kepada amalan penganut lain.

Seperti yang difirmankan Tuhan di dalam al-Qur'an,
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al-Baqarah: 183)

Pertamanya, dari nas ini umat Islam dapat mengenali agama-agama lain sebagai agama samawi dengan merujuk amalan berpuasa itu. Antara agama-agama yang memiliki ciri persamaan dari sudut amalan ini, iaitu berpuasa ialah Buddha, Hindu, Kristian dan juga Yahudi. Bagaimanapun, cara bagaimana amalan berpuasa dilaksanakan, ada sedikit perbezaan.

Jenis dan martabat berpuasa itu juga berbeza-beza mengikut agama, adat budaya bangsa dan martabat kerohanian seseorang itu.

Lantaran itulah, Tuhan menyatakan di hujung ayat itu, dengan harapan, amalan berpuasa yang kita lakukan itu dapat
meningkatkan martabat kerohanian kita ke darjat ketaqwaan, iaitu darjat yang teragung dan paling tinggi.

Beriman atau bertaqwa?



Disebutkan dalam al-Qur'an, bahawa Tuhan menyeru orang yang beriman agar mencapai darjat ketaqwaan. Ini kerana,
orang yang beriman, belum tentu dapat mencapai darjat ketaqwaan. Tapi, orang yang bertaqwa, sudah pastilah mereka beriman.

"Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya, dan janganlah kamu mati melainkan berada dalam Islam. (Ali Imran: 102)

Juga kepada orang yang beriman itu, Allah s.w.t meminta mereka bertaqwa dengan cara menyatakan perkara yang benar walaupun pahit didengar. Ini kerana, orang yang beriman pun belum tentu dapat menyatakan perkara yang benar.

"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, maka Allah memperbaiki bagi amalan-amalanmu, dan mengampuni bagimu dosa-dosamu.." (Al-Ahzab: 70 - 71)

Maka, hendaklah orang-orang yang beriman itu berjuang mendapatkan tempat di martabat ketaqwaan. Ini kerana, hanya yang mampu menyatakan kebenaran itulah yang layak digelar mencapai darjat ketaqwaan.

Orang-orang yang beriman turut diseru mencapai darjat ketaqwaan dengan
menyediakan amalan sebagai bekalan untuk hari akhirat mereka. Ini kerana, ramai orang beriman, tetapi seperti tidak mengendahkan amalan mereka untuk akhirat.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan segala kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar." (Al-Anfal: 29)

Kita biasa berdepan dengan kebuntuan hidup dalam kehidupan. Seolah-olahnya mereka gagal mengenal mana satu berlian dan permata, yang mana intan dan yang mana kaca. Mana yang betul dan salah.

Dan, kita seperti tidak berupaya mencari penyelesaiannya. Kenapa jadi begitu, walhal kita telah mengaku beriman kepada Tuhan? Mustahil Tuhan akan meninggalkan orang-orang yang beriman itu teraba-raba dalam mencari jawapan terhadap setiap permasalahannya itu.

Maka, jawapannya ialah - orang yang beriman yang ditimpa permasalahan tadi, masih tidak mencapai darjat ketaqwaan. Dan jika orang yang beriman itu bertaqwa, maka
nescaya Tuhan menunaikan janjinya dengan cara memberikannya petunjuk.

Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmanNya,
"Hai orang-orang yang beriman! Jauhi banyak berprasangka. Sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu dosa. Dan jangan kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah antara kamu suka memakan bangkai saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang." (Al Hujuraat: 12)

Perbezaan lain antara orang yang beriman dan bertaqwa itu ialah
insan yang beriman itu masih lagi tidak membebas diri daripada sikap prasangka, mengumpat dan mencela saudara mereka, mencari-cari keaiban orang lain untuk dihebah.

Maka, orang yang beriman dan telah sempurna jiwanya kerana kerohaniannya melompat ke darjat ketaqwaan itu, akan
bersih lidahnya daripada mengumpat dan telinganya dibersihkan daripada mendengar keaiban orang lain.

Ada banyak lagi perbezaan sikap antara orang yang beriman dan bertaqwa ini. Dan, seperti yang termaklum,
amalan puasa itulah antara salah satu daripada amalan yang mampu meletakkan kerohanian seseorang ke darjat ketaqwaan jika diamalkan dengan penuh keikhlasan dan kewaspadaan.

Orang yang berpuasa, digalakkan untuk tidak mencampuri urusan mendengar keaiban orang lain, selalu
menyibukkan dirinya dengan zikrullah dan wirid.

Jika semua ini tercapai, maka lahirlah sikap suka menegakkan kebenaran, menyatakan yang benar di depan pihak berkuasa, kerap muhasabah tentang bekalan akhirat dan lain-lain ciri ketaqwaan yang lain.

Puasa telah menyebabkan anggota kita letih untuk melakukan maksiat dan amalan kerohanian itulah yang akan menguatkan kembali jiwa dan raga kita untuk meneruskan kehidupan.

Amalan berwirid dan berzikir di bulan Ramadhan akan menyebabkan kita kembali kepada fitrah yang suci dan asal, jika dilakukan dengan sempurna dan ikhlas menuju rahmat Allah.

AHLAN YA RAMADHAN

Ramadhan Yang Merdeka

'Allahumma baariklana fi rajaba, wa sya'abana, wa balighna fi Ramadhan'

Alhamdulillah, setinggi -tinggi kesyukuran mari sama-sama kita rafa'kan kepada Sang Pencipta yang sehingga kini masih lagi membuka ruang dan peluang buat kita meniti saat-saat akhir sebelum menjejakkan kaki ke Ramadhan yang Mulia. Ucapan terima kasih sekali lagi kita sembahkan pada Pemilik Agung Alam Semesta yang Maha Kasih pada hamba-hambanya, sehingga saat ini kita dilimpahi dengan pelbagai nikmat yang tidak terhingga.

Ramadhan vs Merdeka

Balai cerap seluruh negara akan menjalankan tugas masing-masing bagi menentukan tarikh 1 Ramadhan 1429. Namun persoalan yang ingin dilontarkan untuk percambahan minda bersama, sejauh mana persiapan ke arah memasuki bulan yang mulia ini telah kita persiapkan pada diri kita. Para sahabat didikan Nabi Muhammad s. a. w. yang tidak lekang dari bibir mereka kalimah zikir pada Allah, tidak melepaskan peluang 6 bulan sebelum Ramadhan dijadikan waktu untuk mensucikan diri dan membersihkan hati dari segala kotoran duniawi sebelum menyambut kehadiran bulan yang lebih baik dari seribu bulan ini.

Mungkin itu persoalan biasa yang dilemparkan kepada kita selaku insan awam yang kerap leka dan lalai untuk mengabdikan diri padaNya. Masalah kedua pula yang timbul adalah kehadiran Ramadhan kali ini bakal disambut secara besar-besaran oleh seluruh pelusuk masyarakat Malaysia yang penduduknya berbilang kaum, agama dan bangsa.

Tidak salah untuk masyarakat beragama lain meraikan kedatangan Ramadhan yang suci ini, tetapi apa yang dibimbangi dan menghantui penulis sehingga kini adalah sambutan secara besar-besaran yang bakal diadakan ini bukanlah untuk Ramadhan tetapi tarikh penting dalam negara iaitu Hari Kemerdekaan.

Saya bukanlah rakyat Malaysia yang anti-nasionalisme, bukan juga mereka yang tidak berjiwa merdeka dan jauh sekali untuk dikatakan sebagai makhluk jumud, malah prinsip dan etika hidup mengajar saya untuk menghayati bagaimana untuk mendalami erti kemerdekaan yang sebenar.

Saban tahun kita saksikan masyarakat Malaysia yang mengisytiharkan diri mereka 'merdeka' menyambut Hari Kemerdekaan dengan pelbagai aktiviti dan program yang telah menodai nilai kemerdekaan yang ada pada tarikh bersejarah itu.

Malam 31 Ogos sering kali menjadi tarikh penting untuk muda mudi berpesta dan bersuka ria berlatarbelakangkan persembahan konsert daripada artis-artis yang berpakej menyimpang dari norma kehidupan sebagai seorang warganegara Malaysia yang merdeka. Penganjuran program sambutan kemerdekaan yang berwajahkan aktiviti yang tidak menghargai penat lelah pejuang-pejuang kemerdekaan sering kali mendapat kutukan dan hamburan sinis dari sesetengah pihak yang ada nilai kesedaran dalam diri mereka, namun teguran dan nasihat sebegini dijadikan bahan gelak tawa mereka bahkan ada yang melabelkan nasihat tersebut sebagai 'musuh negara'.

Terang lagi bersuluh perkara yang sama bakal kita hadapi hanya beberapa hari yang akan mendatang. Sambutan ini bukan hanya mendapat penganjuran besar-besaran diperingkat nasional, malah sehingga peringkat akar umbi termasuk kampus-kampus yang menjadi kilang pemimpin masa depan turut dididik dengan budaya merosak dan menghina nilai kemerdekaan negara.

Selingan doa selamat dan nyanyian patriotik lagu-lagu kebangsaan sudah cukup untuk mengaburi mata rakyat dalam menyatakan pemimpin-pemimpin negara kita pemimpin yang berjiwa merdeka, sedangkan terlalu banyak aktiviti yang dijalankan telah menodai kesucian sebuah kemerdekaan. Inilah dia gambaran sebenar senario politik negara yang menjual maruah negara tanpa kita sedari walhal minda dan akhlak kita sedang dijajah oleh agenda Yahudi laknatullah.

Paling menyentuh hati dan membuatkan iman meronta apabila memikirkan persoalan 'Merdeka' yang bakal diasimilasikan bersama kehangatan sambutan 'Ramadhan'. Mungkin ada dikalangan mereka yang beragama Islam seperti yang tercatat di atas kad pengenalan mereka, sedang sibuk membantu menghiasi suasana untuk menyambut Hari Kemerdekaan yang jatuhnya sehari sebelum kehadiran Ramadhan.

Saya amat pasti dan yakin ada di antara mereka tidak langsung mempersiapkan diri untuk bersama-sama dgn Ramadhan, bahkan boleh dikatakan ada yang tidak sedar pun akan bahang dan kehangatannya merapati kita. Sungguh malang jadi orang Islam. Hal ini terbukti dan jelas berlaku dihadapan saya sendiri apabila seorang insan bergelar 'mahasiswa' terpinga-pinga dan membilang hari apabila saya nyatakan padanya kita akan berpuasa Isnin depan. Malang yang berganda.

Ramadhan Yang Merdeka



Mujur masih ramai di kalangan ummat Islam di Malaysia hari ini diberi sentuhan hidayah dari Allah untuk merasai bayu Ramadhan yang bakal menjelma ini. Mengapa saya tajukkan artikel ini sebagai Ramadhan yang merdeka? Apakah ia membawa erti seperti kupasan saya sebentar tadi- proses mengasimilasikan kehadiran Ramadhan bersama Hari Kemerdekaan??

Jauh panggang dari api. Sebenarnya ada dua pengertian secara pandangan peribadi terhadap ungkapan ini. Kedua-duanya mungkin membawa makna yang berbeza tapi tujuannya tetap sama.

Yang pertama 'Ramadhan Yang Merdeka' ini, suka untuk saya ertikan sebagai suatu platform kepada seluruh umat Islam di atas muka bumi ini untuk sama-sama kita merdekakan diri sendiri dari dibelenggu segala macam kekusutan duniawi sebelum kaki melangkah memasuki rumah Ramadhan yang mendatang. Kalau selama ini kita bergelumang dengan sampah maksiat, ambil peluang yang ada untuk memohon taubat dari Allah mensucikan diri dan hati. Semoga Ramadhan yang bakal kita lalui dapat kita kecapi kemanisannya dengan penuh penghayatan dalam keadaan diri yang telah disucikan.

'Ramadhan Yang Merdeka' ini juga sebenarnya membawa suatu makna tersirat yang signifikan. Pada hemat saya ia menjelaskan pada kita betapa kasihnya Allah pada hambanya dengan menyediakan satu bulan tarbiyyah sebagai medan untuk kita service kembali iman serta menjadikannya ia bekalan taqwa untuk kita tempuhi 11 bulan yang akan datang dalam keadaan diri kita merdeka dan bersih dari segala dosa dan noda. Graduan yang berjaya dengan cemerlang hasil didikan University of Ramadhan ini akan merasakan diri mereka merdeka daripada dibelenggu hasutan syaitan dan hawa nafsu yang sentiasa mencari ruang untuk melalaikan kita.

Kata Akhir

Sebagai menggulung daripada apa yang terlintas di hati untuk dibincangkan bersama ini, marilah sama-sama kita hayati erti kemerdekaan sebenar dalam fasa menyambut tetamu Shahru Ramadhan yang didalamnya memiliki seribu satu nikmat dan rahmat dari Allah bagi mereka yang tahu menilainya. Selaku umat Islam yang bertamadun dan merdeka, seharusnya kita menjuarai persoalan sikap, akhlak dan etika dalam apa jua bidang kerana kita dibekalkan manual kehidupan yang cukup agung iaitu Al-Quranul Karim, Kalamullah.

Justeru jadikan kemerdekaan kali ini sebagai platform awal untuk kita berubah dan merubah ke arah suatu yang lebih synergic untuk membangunkan ummat Islam. Apa salahnya kita jadikan solat hajat dan juga munajat kepada Allah sebagai hiburan kita sempena menyambut Hari Kemerdekaan negara kita dan juga ketibaan Ramadhan. Semoga usaha kita mencegah diri kita dan saudara muslim kita yang lain dari melakukan kemaksiatan kepada Allah diawal-awal Ramadhan ini bakal mendapat ganjaran yang setimpal di akhirat kelak.

RAMADHAN





Ramadhan yang penuh makrifat
Ramadhan ditunggu-tunggu
kembali menjengah hati setiap Muslim
memekarkan keberkatan dan kebesaran
Yang Maha Kuasa

Ramadhan yang menyejukkan hatiku
yang melembutkan kerasku
yang mendamaikan gelodak rasaku
yang menghilangkan amarahku
yang menghadiahkan penghargaanku
buat insan-insan tersayang
yang menambahkan cinta kasihku
pada Yang Satu

Ramadhan
syarul Syiam
berikan aku kekuatan akal, fizikal, hati dan iman
jauhkan aku daripada perkara yang dikeji
yang mengurangkan keberkatan
ya Mutakkabir

Ramadhan
syarul Qiyam
malam-malammu malam terindah dalam hidup
malam-malam yg penuh ibadah
malam-malam yang penuh berkat
lalu,
haruskah aku membiarkan malam-malammu berlalu sepi
tanpa sujud syukurku pada
Ar-Rahman
Ar-Rahim

Ramadhan
syarul Quran
bait-baitmu adalah puisi agung
yang menyuntik penawar terbaik buat hati dan jiwaku
patah perkataanmu adalah keajaiban
adalah mukjizat dengan nikmat yang tertinggi
yang menjadi peganganku
penunjuk arah dalam langkah perjalananku
yang menyalurkan kasih suciku buat Yang Maha Agung

Ramadhan
syarul Tarbiyah
hari-harimu adalah satu didikan buatku
yang menundukkan egoku
yang menghilangkan rasa dendamku
yang menjernihkan segala keruh dihatiku
yang memupuk keinginanku menghayati sifat kekasih Allah
yang mulia disisi-Nya

Ramadhan
syarul Jihad
pada setiap langkahku
setiap degup nafasku
setiap denyut nadiku
setiap detik ingatanku

Islam
adalah matahari bagi hatiku
bulan bagi jiwaku
bintang bagi mataku

Ramadhan
perjuanganku menggapai solehah baru bermula
pertemukan aku pada ketibaan-ketibaanmu yang akan datang
rasa rindu dan kasih ini akan selalu mengiringiku sepanjang waktu
selama mana nafas masih menjadi milikku

YA ALLAH
sesungguhnya Engkau tahu setiap bait puisi hatiku

SOLAT SUNAT DHUHA

Solat sunat Dhuha ini dikerjakan pada ketika sedang naik matahari (anggaran 8.00 pagi hingga 11.00 pagi).

Solat sunat Dhuha ini dilakukan sebanyak 2 rakaat. boleh juga dilakukan sebanyak 4, 6, 8 sehingga 12 rakaat dan setiap dua rakaat satu salam dan boleh juga setiap 4 rakaat satu salam.

Cara melakukan solat Dhuha:

a) Bacaan niat solat sunat Dhuha



Ertinya: " sahaja aku solat sunat Dhuha 2 rakaat kerana Allah Taala".

b) Bacaan rakaat pertama surah Al-Fatihah dan As-Syam

c) Bacaan surah rakaat kedua surah Al-Fatihah dan Ad-Dhuha

d) Setelah selesai salam, lalu membaca doa



maksudnya;

"Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikannya adalah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu. Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, kecantikan. keindahan, kekuatan, kekuasaanMu, limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.

Kelebihan:

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:

" Barangsiapa yang melakukan solat Dhuha membaca rakaat pertama surah Al-Fatihah dan ayat Kursi 10 kali, dan pada rakaat kedua surah Al-Fatihah dan Al-Ikhlas 10 kali, nescaya ia mendapat kerelaan Allah Yang Maha Besar." (HR. Anas B Malik).

" Barangsiapa yang mengerjakan solat Dhuha dengan terus menerus, akan diampuni dosanya oleh Allah, sekalipun dosa itu seluas lautan." (HR Tirmizi)

يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلَامَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنْ الضُّحَى

" Rasullullah S.A.W bersabda: setiap pagi masing-masing persendian/ruas tulang daripada kamu sedekah, dan setiap bertasbih sedekah dan setiap tahmid (ucapan Alhamdulillah) itu sedekah, dan setiap ucapan takbir itu sedekah, dan menyeru dalam kebaikan sedekah, dan melarang dari perbuatan jahat itu sedekah, dan sebagai ganti semua itu, cukuplah dengan mengerjakan solat Dhuha dua rakaat." (HR Ahmad, Muslim dan Daud)

RAHSIA DIWAJIBKAN SOLAT

SOLAT adalah satu perintah yang diwajibkan ke atas orang Islam setiap hari. Umat Islam dituntut melakukan ibadat itu menurut sebagaimana diperintahkan Rasulullah s.a.w, daripada takbir, bacaan, perbuatan hingga ke akhir salamnya dengan penuh takwa. Orang yang mendirikan solat adalah orang yang beriman. Orang yang beriman mesti mendirikan solat.

" Katakanlah kepada hamba-Ku yang beriman, hendaklah mereka itu mendirikan solat." (Ibrahim:31)

Di dalam al-Quran, dilaporkan ada lebih 25 tempat ayat "agama" yang merujuk kepada makna perintah mendirikan solat dan lebih 70 kali perkataan "as-solah" atau solat diulang dan disebut dalam al-Quran. Antaranya, firman yang bermaksud:

" Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.

" Kemudian apabila kamu telah berasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. " (an-Nisa':103)

Setiap individu Muslimin dan Muslimah mesti mengerjakan solat. Malah, bagi ketua keluarga seharusnya memerintahkan ahli keluarganya melakukan solat. Ibu bapa pula wajib mengajar dan membimbing anak melakukan ibadat itu, seawal usia tujuh tahun. Ibadat solat adalah suatu perintah daripada Tuhan kepada hamba-Nya. Banyak kelebihan, keberkatan dan rahsia yang terkandung di dalam solat, malah mengiringi mereka yang mengerjakannya. Solat akan menjadikan seseorang sentiasa mengingati Allah dan menghampirkan diri dengan-Nya, sekali gus menjadikan kehidupan seseorang itu sentiasa berhubungan dengan Tuhannya.

" Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan aku, oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati daku." (Toha:14)

Solat adalah tanda kesyukuran. Muslimin atau Muslimah yang mengerjakan solat adalah mereka yang tahu bersyukur sebenarnya. Mereka bersyukur atas segala nikmat dan rahmat tidak terhingga yang Allah kurniakan dengan melakukan ibadat kepada-Nya. Ibadat solat menghapuskan dosa. Manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa dan solat lima kali sehari dapat menghapuskan dosa yang dilakukan. Sebagaimana satu hadis bermaksud:

" Dari Abi Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar." (Hadis riwayat Muslim)

Solat juga dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar. Ibadat solat yang dikerjakan dengan khusyuk dan menepati segala rukunnya boleh mencegah si pelakunya daripada melakukan maksiat dan kemungkaran.

" Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (al-Ankabut:45)

Solat dapat memberi keberkatan, kejayaan dan kebahagiaan hidup. Kita boleh lihat kehidupan orang yang memelihara solat dan orang yang tidak mengerjakan solat, jauh berbeza bukan!

" Sesungguhnya berbahagia/berjayalah orang-orang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya." (al-Mukminun: 1-2)

Solat dapat menenteramkan jiwa. Orang yang melakukan solat secara sempurna dan penuh khusyuk, jiwanya aman damai, malah dapat mengawal segala tekanan sekaligus menjadikan kehidupannya lebih ceria. Seorang yang taat mengerjakan solat sepanjang hidup, lagi mengerti betapa besar kepentingan solat itu kepadanya serta memahami kelebihan dan rahsia bacaannya, sudah tentu akan tenang jiwanya.

" Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) mengeluh apabila kesusahan menimpa dia dan kikir apabila keuntungan mengenai dia, kecuali orang-orang yang solat, yang berkekalan atas solat mereka." (al-Ma'arij:19-23)

Rasulullah s.a.w ketika berhadapan masalah akan memperbanyakkan solat kerana solat bagi Baginda adalah amalan penyejuk hati. Kelebihan ini sekurang-kurangnya akan menyuntik diri kita umat Islam untuk lebih tekun mengerjakan solat, malah mereka yang selama ini tidak mengenali ibadat itu tertarik untuk turut sama melakukannya.

MENTARBIYAH ANAK-ANAK



Akhir-akhir ini dunia pendidikan seakan-akan menangis melihat keadaan pelajar di sekolah-sekolah yang melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak mencerminkan keperibadian yang baik. Ada bilik darjah yang dibakar, ada murid yang ingin membakar rumah gurunya, ada pula pelajar yang terbabit dengan jenayah. Gejala apakah ini?

Dahulu, dalam sejarah Melayu, sekolah dianggap satu tempat yang mulia di mana pelajar bersungguh-sungguh menuntut ilmu untuk dijadikan bekalan pada masa depan. Guru adalah pengganti orang tua yang terkadang dihormati melebihi hormat seorang anak kepada ayahnya. Tetapi hari ini sekolah yang mulia itu ada yang mula dibakar oleh pelajarnya dan juga guru yang sepatutnya dihormati kini menjadi mangsa kenakalan para pelajar. Hati kecil kita mungkin terdetik persoalan kenapa terjadi perubahan yang besar di kalangan para pelajar kita pada hari ini? Lalu siapakah pula yang boleh dipertanggungjawabkan atas ketempangan masalah sosial yang melanda generasi muda kita? Adakah ibu bapa, guru atau pelajar itu sendiri?

Apa yang menghairankan, masalah sosial ini amat ketara melibatkan pelajar yang berasal daripada kaum Melayu. Di manakah puncanya? Bagi menjawab persoalan-persoalan ini, elok kita cuba merenung dan mendalami bagaimana sistem pendidikan anak-anak menurut kaca mata Islam. Ini merangkumi fasa-fasa tertentu mengikut peningkatan usia seseorang manusia itu.

Sebelum kelahiran:

Dipetik dari peristiwa yang pernah dilalui oleh bapa imam Abu Hanifah:

Pernah di zaman Imam Abu Hanifah (Hanafi An Nu'man), seseorang pernah bertanya kepada bapanya.
"tuan, bagaimana tuan mendidik Hanafi sehingga begini istimewa jadinya?"
jawab bapa Imam Abu Hanifah: "Aku mendidik anakku 40 tahun sebelum beliau dilahirkan"


Peristiwa ini memiliki makna falsafah yang mendalam. Apa maknanya? Pakar kesihatan dan ahli jiwa berpendapat bahawa keadaan orang tuanya mempengaruhi sifat dan perilaku anak-anak yang akan lahir. Ertinya, perbuatan dan sikap orang tua sedikit sebanyak mempengaruhi perkembangan fizikal dan mental bayi yang akan lahir. Di antara pendapat pakar itu dengan peristiwa diatas sebenarnya memiliki kesesuaian dan sealiran. Ini kerana makna hakikat mendidik anak ‘40 tahun sebelum kelahirannya’ adalah dengan cara mendidik diri setiap orang tua itu sendiri terlebih dahulu dengan melakukan aktiviti-aktiviti kebajikan dan meninggalkan semua bentuk maksiat.

Mungkin inilah yang dikatakan orang Arab dalam satu syair: “ Kaifama takun yakun abna’aka ” yang bermakna bagaimana kamu hari ini,begitu pulalah anak-anakmu pada masa hadapan.





Seorang ayah dan ibu kadang-kadang lupa dan leka dengan menganggap perbuatan dan sikap mereka ketika ini tidak memiliki hubung kait dengan masa depan anak-anak mereka. Padahal setiap orang tua sebenarnya bukan hanya mewariskan harta kepada anak mereka tetapi juga akan mewariskan sikap dan pandangan hidup.

Setelah kelahiran:

Rasulullah s.a.w membahagikan pendidikan anak selepas kelahiran ini kepada empat tingkatan,iaitu:

Pertama:
Umur 1-7 tahun. Pada masa ini,Rasulullah s.a.w menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih yang tidak bertepi dan sayang yang tidak terbatas. Biarkan anak-anak pada masa ini bermandikan kasih sayang.

Kedua:
Umur 7 – 14 tahun. Pada masa ini Rasulullah s.a.w menyuruh kita untuk mula menanamkan disiplin kepada anak-anak dengan mengajar dan menyuruh mereka untuk mengerjakan solat. Bahkan apabila umurnya sudah sepuluh tahun, seorang ayah boleh memukul anaknya apabila enggan mengerjakan solat.

Berdasarkan kajian pakar-pakar jiwa anak, sememangnyalah pada umur 7-14 tahun ini masa terbaik untuk menanamkan disiplin dan pembentukan sahsiah seorang anak. Pada saat ini pula seorang ayah akan menjadikan anak itu seorang muslim atau Yahudi, Nasrani dan Majusi seperti yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadisnya bahawa setiap anak yang lahir dalam keadaan suci. Maka, ayah dan ibulah yang akan mencorakkannya.

Ketiga:
Umur 14-21 tahun. Pada masa ini orang tua sudah menukar penanaman disiplin dengan cara yang agak keras kepada yang rasional. Orang tua sudah semestinya mendidik anak dengan cara menjadikannya sahabat dalam berdiskusi, mengajaknya ikut dalam membincangkan masalah keluarga dan diberikan satu-satu tanggungjawab dalam hal-hal tertentu di rumah. Hal ini penting agar anak berasa dirinya punyai tanggungjawab mengambil berat hal-hal dalam keluarga.

Keempat:
Umur lebih 21 tahun. Pada masa ini , orang tua sudah boleh melepaskan anaknya untuk belajar menempuh hidup akan tetapi tetap melihat perkembangannya dan memberikan nasihat serta peringatan-peringatan apabila anak tersalah atau terlupa. Dalam kehidupan kita sebagai muslim,kadang-kadang pendidikan yang diajar oleh Rasul itu tidak benar-benar diamalkan, bahkan ramai yang tidak mengamalkannya sama sekali.

Ada orang tua yang terlalu memanjakan anak sehingga umur 14 tahun dan baru mula mengajar dan menyuruhnya solat pada tahun 15 tahun sehingga mereka bukan sahaja enggan melakukannya, bahkan marah kepada ibu bapanya apabila disuruh sembahyang. Apabila seorang anak enggan melaksanakan kewajipannya yang tertinggi, iaitu solat, maka perintah siapa yang akan dia dengar dan lakukan? Padahal hakikat solat mampu mencegah seseorang untuk tidak melakukan perbuatan keji dan mungkar.

Dengan kata lain, dapat disimpulkan bahawa perbuatan samseng yang dilakukan oleh pelajar muslim di sekolah mereka, sebenarnya terjadi kerana rapuhnya pendidikan iman dan tidak berperanannya hikmah solat dalam diri mereka yang berpunca daripada cara mendidik yang salah. Sebahagian orang tua ada yang menanamkan pendidikan disiplin kepada anak secara membuta-tuli tanpa melihat umur dan perkembangan kedewasaan anak sehingga anak berasa dizalimi oleh orang tua dari segi hak-hak tertentu.

Natijah daripada sikap seperti ini akan menjadikan anak-anak jauh daripada orang tua dan menganggap rumah sebagai penjara, lalu mereka terdorong untuk mencari ketenangan diluar rumah. Dalam Islam persekitaran memiliki peranan yang penting dalam pendidikan anak sehingga wajarlah apabila kita dianjurkan untuk melihat jiran di kawasan yang akan diduduki. Sebab jiran yang baik lebih mulia daripada saudara yang jauh. Anak-anak sangat mudah dipengaruhi oleh persekitarannya. Oleh sebab itu, tinggal di suatu tempat dengan persekitaran yang baik adalah modal penting membentuk sahsiah anak untuk menjadi generasi yang baik.

Kesimpulannya, pendidikan anak mestilah dimulakan daripada pendidikan orang tua itu sendiri dan ia bermula di rumah. Kedua, kita perlulah menghayati peringkat yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w dalam pendidikan anak-anak dan ketiga pilihlah persekitaran yang baik untuk anak-anak. Persekitaran yang baik ini bermakna bukan hanya baik daripada keadaan fizikal tapi baik juga daripada segi mental dan kehidupan beragama.

KEPIMPINAN DALAM ISLAM



I. Definisi Kepimpinan

Kepimpinan merupakan satu ’seni’ yang mengarah kepada suatu proses untuk menggerakkan sekumpulan manusia menuju ke suatu tujuan yang telah ditetapkan dengan mendorong mereka bertindak dengan cara yang tidak memaksa yakni kerana mereka mahu melakukannya. Kepimpinan yang baik menggerakkan manusia ke arah jangka panjang, yang betul-betul merupakan kepentingan mereka yang terbaik. Arah tersebut boleh bersifat umum, seperti penyebaran Islam ke seluruh dunia, atau khusus seperti mengadakan conference atau persidangan mengenai isu tertentu. Walaubagaimanapun, cara dan hasilnya haruslah memenuhi kepentingan terbaik orang-orang yang terlibat dalam pengertian jangka panjang yang nyata. Kepimpinan adalah suatu peranan dan juga merupakan suatu proses untuk mempengaruhi orang lain. Pemimpin adalah anggota dari suatu perkumpulan yang diberi kedudukan tertentu dan diharapkan dapat bertindak sesuai dengan kedudukannya. Seorang pemimpin adalah juga seseorang dalam suatu kumpulan yang diharapkan menggunakan pengaruhnya dalam mewujudkan dan mencapai tujuan kelompok. Pemimpin yang jujur ialah seorang yang memimpin dan bukan seorang yang menggunakan kedudukannya untuk memimpin. Fenomena kepimpinan dapat dijelaskan melalui konsep-konsep dasar berikut:

  1. Kepimpinan adalah suatu daya yang mengalir dengan cara yang tidak diketahui antara pemimpin dengan pengikutnya, mendorong para pengikut supaya mengerahkan tenaga secara teratur menuju sasaran yang dirumuskan dan disepakati bersama. Bekerja menuju sasaran dan pencapaiannya memberikan kepuasan bagi pemimpin dan pengikutnya.
  2. Kepimpinan juga mewarnai dan diwarnai oleh media, lingkungan, pengaruh dan iklim di mana dia berfungsi. Kepimpinan tidak bekerja dalam ruangan yang hampa, tetapi suasana yang diciptakan oleh pelbagai unsur.
  3. Kepimpinan sentiasa aktif, namun boleh berubah-ubah darjatnya, kepentingannya dan keluasan tujuannya. Kepimpinan itu bersifat dinamik.
  4. Kepimpinan bekerja menurut prinsip, methodologi dan matlamat yang pasti dan tetap.

II. Kepimpinan yang Efektif


A. Apakah kepimpinan yang efektif?

Kepimpinan yang efektif ialah suatu proses untuk menciptakan wawasan, mengembangkan suatu strategi, membangun kerjasama dan mendorong tindakan. Pemimpin yang efektif:

  1. Menciptakan wawasan untuk masa depan dengan mempertimbangkan kepentingan jangka panjang kelompok yang terlibat.
  2. Mengembangkan strategi yang rasional untuk menuju ke arah wawasan tersebut.
  3. Memperoleh dukungan dari pusat kekuasaan yang bekerjasama, persetujuan, kerelaan atau kelompok kerjanya diperlukan untuk menghasilkan pergerakan itu.
  4. Memberi motivasi yang kuat kepada kelompok inti yang tindakannya merupakan penentu untuk melaksanakan strategi.

Suatu kombinasi dari proses biologi, sosial dan psikologi yang kompleks menentukan potensi kepimpinan seorang individu. Potensi ini harus dibina dengan baik supaya efektif. Bukan sesuatu yang pelik sekiranya seseorang itu memiliki sifat kepimpinan namun tidak memanfaatkannya. Dalam kehidupan manusia yang berbeza-beza, sifat ini mungkin diwujudkan dalam suatu situasi yang bervariasi dan muncul pada tahap yang berlainan. Pelaksanaan kepimpinan dipengaruhi oleh lingkungan dan peluang serta keadaan yang terbatas.

B. Pemimpin, Pengurus dan Pengikut

Pemimpin mengendalikan bawahannya untuk mencapai tujuan dengan motivasi dan teladan peribadi. Pengurus memperoleh tingkah laku yang diinginkan dengan menggunakan kedudukan rasmi mereka yang lebih tinggi dalam struktur organisasi. Pemimpin yang baik menyedari bahawa mereka juga harus menjadi pengikut yang baik. Boleh dikatakan, pemimpin juga harus melapor kepada seseorang atau kelompok. Oleh sebab itu mereka juga harus mampu menjadi pengikut yang baik. Pengikut yang baik harus menghindari persaingan dengan pemimpin, bertindak dengan setia dan memahami serta menunjung baik idea, nilai dan tingkah laku pemimpin secara konstruktif. Pengikut atau pemimpin terikat dalam suatu hubungan yang terarah. Oleh itu, pemimpin harus sentiasa memberi perhatian pada kesejahteraan anak buahnya. Pengikut pula harus mendukung pemimpin selagi pemimpin berada di landasan yang benar dan lurus.


III. Ciri-Ciri Pemimpin Islam

Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa pemimpin suatu kelompok adalah pelayan kelompok tersebut. Oleh kerana itu, pemimpin hendaklah melayani dan menolong orang lain untuk maju. Beberapa ciri penting yang menggambarkan kepimpinan Islam adalah seperti berikut:

  1. Setia Pemimpin dan orang yang dipimpin terikat kesetiaan kepada Allah.
  2. Tujuan Pemimpin melihat tujuan organisasi bukan saja berdasarkan kepentingan kelompok tetapi juga dalam ruang lingkup tujuan Islam yang lebih luas.
  3. Berpegang pada Syariat dan Akhlak Islam. Pemimpin terikat dengan peraturan Islam, boleh menjadi pemimpin selama ia berpegang pada perintah syariat. Ketika mengendalikan urusannya ia harus patuh kepada adab-adab Islam, khususnya ketika berurusan dengan golongan oposisi atau orang-orang yang tidak sehaluan dengannya.
  4. Pembawa Amanah. Pemimpin menerima kekuasaan sebagai amanah dari Allah yang disertai dengan tanggungjawab yang besar. Al-Qur’an memerintahkan pemimpin melaksanakan tugasnya untuk Allah dan menunjukkan sikap baik kepada pengikutnya sebagaimana Firman Allah SWT:
“iaitu orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mencegah perbuatan yang mungkar, dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (Surah Al-Hajj, ayat 41).






IV. Prinsip-prinsip Dasar Pelaksanaan

Kepimpinan Islam ada tiga prinsip dasar yang mengatur pelaksanaan kepemimpinan Islam: Syura dan Musyawarah, Keadilan, serta Kebebasan Berfikir dan Memberi Pendapat.

A. Syura dan Musyawarah

Musyawarah adalah prinsip pertama dalam kepemimpinan Islam. Al-Qur’an menyatakan dengan jelas bahwa pemimpin Islam wajib mengadakan musyawarah dengan orang yang mempunyai pengetahuan atau dengan orang yang dapat memberikan pandangan yang baik.

“Dan orang-orang yang menerima seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedangkan urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka; dan mereka menafkahkan sebagian rezeki yang kami berikan kepadanya”. (Surah Asy-Syura, ayat 38).


Rasulullah SAW juga diperintahkan oleh Allah supaya melakukan musyawarah dengan sahabat-sahabat beliau:

“Maka rahmat Allah-lah yang telah menyebabkan kamu berlemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Oleh kerana itu maafkanlah mereka, mohonlah ampunan bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan tersebut. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakal kepadaNya” (Surah ‘Ali Imran, ayat 159).


Pelaksanaan musyawarah memungkinkan anggota organisasi Islam turut serta dalam proses membuat keputusan. Pada saat yang sama musyawarah berfungsi sebagai tempat mengawasi tingkah laku pemimpin jika menyimpang dari tujuan umum kelompok. Tentu saja pemimpin tidak wajib melakukan musyawarah dalam setiap masalah. Masalah rutin hendaknya diselesaikan dengan pendekatan berbeza dengan masalah yang berkaitan perbuatan kebijaksanaan. Apa yang rutin dan apa yang tidak harus diputuskan dan dirumuskan oleh setiap kelompok berdasarkan dan bersesuaian dengan ukuran, keperluan, sumber daya manusia, suasana dan lingkungan yang ada. Apa yang pasti, pemimpin harus mengikuti dan melaksanakan keputusan yang telah diputuskan dalam musyawarah. Dia harus menghindari dirinya dari memanipulasi bermain kata-kata untuk menonjolkan pendapatnya atau mengungguli keputusan yang dibuat dalam musyawarah. Secara umum petunjuk berikut dapat membantu untuk menjelaskan ruang lingkup musyawarah:

  1. Urusan-urusan pentadbiran dan eksekutif diserahkan kepada pemimpin.
  2. Persoalan yang memerlukan keputusan segera harus ditangani pemimpin dan dibentangkan kepada kelompok untuk ditinjau dalam pertemuan berikutnya atau langsung melalui telefon.
  3. Anggota kelompok atau wakil mereka harus mampu membuat pemeriksaan semula dan menanyakan tindakan pemimpin secara bebas tanpa rasa segan dan malu.
  4. Kebijaksanaan yang harus diambil, sasaran jangka panjang yang direncanakan dan keputusan penting yang harus diambil para wakil terpilih diputuskan dengan cara musyawarah. Masalah ini tidak boleh diputuskan oleh pemimpin seorang diri.

B. Keadilan dan Pemimpin yang Adil

Pemimpin seharusnya memperlakukan manusia secara adil dan tidak berat sebelah tanpa mengira suku bangsa, warna kulit, keturunan dan lain-lain. Al-Qur’an memerintahkan agar kaum Muslimin berlaku adil bahkan ketika berurusan dengan para penentang mereka.

“Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu berlaku adil.” (Surah An-Nisa’, ayat 58).


“Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil lebih dekat kepada taqwa.” (Surah Al-Ma’idah, ayat 8.)


“Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah walaupun terhadap dirimu sendiri, ibu-bapa, dan kaum kerabatmu, sama ada ia kaya atau miskin, kerana Allah akan melindungi. (Surah An-Nisa’, ayat 135).


Selain memenuhi prinsip keadilan yang menjadi asas tertegaknya masyarakat Islam, pemimpin organisasi Islam juga mesti mendirikan badan peradilan internal atau lembaga hukum untuk menyelesaikan pelbagai perbezaan atau pengaduan dalam kelompok itu. Anggota-anggota lembaga tersebut harus dipilih dari orang-orang yang berpengetahuan, arif dan bijaksana.

C. Kebebasan Berfikir dan Memberi Pendapat

Pemimpin Islam hendaklah memberikan ruang dan mengundang anggota kelompok untuk mengemukakan kritikannya secara konstruktif. Mereka dapat mengeluarkan pandangan atau masalah-masalah mereka dengan bebas, serta mendapat jawapan dari segala persoalan yang mereka ajukan. Al-Khulafa’ al-Rasyidin memandang persoalan ini sebagai unsur penting bagi kepimpinan mereka. Ketika seorang wanita tua berdiri untuk memperbetul Saidina Umar ibn al-Khattab sewaktu beliau berpidato di sebuah masjid, beliau dengan rela mengakui kesalahannya dan bersyukur kepada Allah SWT, kerana masih ada orang yang mahu membetulkan kesalahannya. Pada suatu hari Saidina Umar pernah pula bertanya kepada umat Islam mengenai apa yang dilakukan oleh mereka jika beliau melanggar prinsip-prinsip Islam. Seorang lelaki menyebut bahawa mereka akan meluruskan dengan sebilah pedang. Lantar Saidina Umar bersyukur kepada Allah kerana masih ada orang di dalam lingkungan umat yang akan memperbetulkan kesalahannya. Pemimpin hendaklah berjuang menciptakan suasana kebebasan berfikir dan pertukaran gagasan yang sihat dan bebas, saling kritik dan saling menasihati antara satu sama lain, sehingga para pengikutnya merasa senang membincangkan masalah atau persoalan yang menjadi kepentingan bersama. Seorang Muslim disarankan memberi nasihat yang ikhlas apabila diperlukan. Tamim bin Aws meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Agama adalah nasihat”, Kami berkata: “Kepada siapa?” Beliau menjawab: “Kepada Allah, Kitab-kitab-Nya, Rasul- Nya, pemimpin umat Islam dan kepada masyarakat kamu seluruhnya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim).


Secara ringkas kepimpinan Islam bukanlah kepimpinan tirani dan tanpa koordinasi. Pemimpin Islam, setelah mendasari dirinya dengan prinsip-prinsip Islam, bermusyawarah dengan sahabat-sahabat secara objektif dan dengan penuh rasa hormat, maka selepas itu menjadi tanggungjawabnya untuk membuat keputusan dan tindakan dengan seadil-adilnya. Perlu difahami dan dingatkan bahawa pemimpin bertanggungjawab bukan hanya kepada para pengikutnya malah apa yang lebih penting ialah dia bertanggungjawab kepada Allah SWT di Akhirat nanti! Sebagai kesimpulannya, di dalam pencarian model pemimpin dan kepimpinan Islam, empat elemen iaitu intelek, rohani, jasmani dan emosi hendaklah diperkukuhkan dan dimantapkan. Keempat-empat elemen ini perlu saling lengkap-melengkapi di dalam pembentukan karakter dan jati diri pemimpin yang unggul. Pastinya ilmu, iman, berhemah tinggi dan hikmah merupakan transformer penganjak yang mesti diaktifkan dan dipastikan terus mengaliri urat nadi kepimpinan umat masa kini dan generasi harapan pimpinan masa depan secara keseluruhannya. Ingatlah bahawa sesungguhnya generasi hari ini penentu kemandirian generasi mendatang. Kitalah rijal dan nisa’ penentu serta pembina hala tuju untuk masa depan agama, bangsa dan negara yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang! Wallahu a’la wa a’lam.

Senyuman Rasulullah Banyak Bantu Misi Dakwah www.iluvislam.com



BUKAN sukar untuk menghadiahkan senyuman tetapi kita sendiri menyukarkan senyuman itu terpamer di wajah. Hati mana tidak tenang apabila sedang dalam kekusutan, masih lagi boleh tersenyum kepada rakan. Senyuman itu adalah ciptaan indah Allah SWT, malah senyuman juga adalah kuntuman indah yang sentiasa dipersembahkan Rasulullah SAW, manusia sempurna yang patut diteladani segala sifat, sikap dan tingkah lakunya.

Ada beberapa hal menarik pada diri Baginda SAW yang jarang diungkapkan ramai iaitu mengenai senyumnya. Sepintas lalu, hal itu mungkin nampak kecil dan tidak bererti tetapi apabila dikaji, sebenarnya senyuman Rasulullah SAW memberi impak positif yang sungguh luar biasa. Hikmahnya, banyak kejayaan Rasulullah SAW dalam misinya sebagai penyebar risalah tauhid disebabkan oleh senyuman dan keramahan Baginda.

Disebabkan itu, Rasulullah SAW dapat mempengaruhi orang ramai sehinggakan Baginda dicintai dan disegani kawan, juga lawan. Sahabat adalah saksi kehidupan Rasulullah SAW yang penuh dengan senyuman. Antara sahabat besar yang pernah menceritakan betapa indahnya senyuman Rasulullah SAW ialah Saidina Umar. Kata Saidina Umar,

“Rasulullah SAW tersenyum dan Baginda adalah orang yang paling bagus giginya.”
(Hadis diriwayatkan Ibnu Hibban)

Seorang lagi sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Al-Harist menyatakan,

“Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW."
(Hadis riwayat At-Tirmizi)

Cucu kesayangan Baginda SAW, Saidina Husein juga ada menggambarkan bagaimana sikap Rasulullah mana direkodkan oleh Imam At-Tirmizi, beliau berkata,

“Aku bertanya kepada ayahku (Saidina Ali) mengenai adab dan etika Rasulullah SAW terhadap orang yang bergaul dengan Baginda. Ayahku mengatakan: Baginda senantiasa tersenyum, budi pekerti lagi rendah hati, Baginda bukanlah seorang yang kasar, tidak suka berteriak-teriak, bukan tukang cela, tidak suka mencela makanan yang tidak disukainya. Siapa saja mengharapkan pasti tidak akan kecewa dan siapa saja yang memenuhi undangannya pasti akan sentiasa puas.”

Rasulullah SAW walaupun dalam keadaan marah, tetap mempamerkan senyumannya hatta kepada orang yang tidak disukai. Perkara itu pernah direkodkan Imam Bukhari disebutkan bahawa Saiditina Aisyah berkata:

“Ada seorang lelaki yang meminta izin untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Ketika Baginda melihat orang itu dari jauh, maka Baginda bersabda: Dia adalah seburuk-buruk saudara dan anak dalam kerabat. Namun ketika orang (Uyainah) itu sudah duduk, Baginda memberikan senyuman di wajah dan menerima dengan baik hati kedatangan orang itu. Ketika orang itu sudah pergi, Aisyah berkata kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, ketika kau melihat orang itu tadi dari jauh engkau berkata begini dan begitu. Tapi kemudian engkau berwajah ceria setelah berada di hadapannya dan menerima kedatangannya dengan baik hati. Kemudian Rasulullah bersabda: Wahai Aisyah, bilakah engkau melihatku berbuat tidak baik?”

Imam al-Khataby ketika mensyarahkan hadis itu berkata, “Hadis ini dilihat dari sudut adab dan ilmu". Ucapan Rasulullah SAW mengenai diri Uyainah sesuatu gambaran yang tidak disukainya secara jelas disebut Ghibah. Ghibah berlaku di antara sebahagian orang dari umat Islam terhadap sebahagian yang lain. Namun, perlakuan Baginda adalah menjelaskan dan mengungkapkannya dalam bentuk nasihat dan kasih sayang terhadap umatnya.

Kerana Baginda sudah dianugerahi sifat kemurahan hati dan akhlak yang baik, maka Baginda memperlihatkan wajah berseri dan tidak menghadapi kesukaran berhadapan orang tidak disukainya. Baginda bertindak sebegitu supaya umat Islam meniru perbuatan Baginda, supaya dapat dihindari keburukan yang boleh menimpa umatnya dan mereka boleh selamat daripada kejahatan dan tipu daya.

Begitu indah akhlak Rasulullah SAW, walaupun seseorang itu tidak disukai, Baginda tetap mempamerkan senyuman dan menyambut kedatangan Uyainah dengan ceria. Sebagai umatnya yang mengaku bahawa Baginda adalah sebaik-baik manusia dan seorang nabi dan rasul, tidakkah kita malu kerana tidak mengikut perbuatan Baginda yang sentiasa menghadiahkan senyuman kepada orang ramai.

Sesungguhnya beruntunglah mereka yang mengikuti perbuatan Rasulullah kerana harga senyuman tidak ternilai dengan wang ringgit. Ketegasan Baginda juga dapat dilihat dalam hadis diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim mengenai wanita dari kabilah Makhzumiyah yang mencuri. Kaum Quraisy bingung dengan permasalahan itu kerana mereka tahu hukuman pencuri mengikut undang-undang Islam ialah dipotong tangan (mengikut syarat ditetapkan).

Mereka bertanyakan kepada sesiapa yang berani berjumpa Rasulullah SAW memohon melepaskan wanita itu. Usamah disarankan bertemu Rasulullah SAW kerana Rasulullah menyayangi Usamah. Maka Usamah pergi dan berbicara kepada Rasulullah SAW untuk minta pembelaan atas wanita itu. Kemudian Rasulullah SAW bersabda:

“Jadi kamu ingin memohon syafaat (pembelaan) terhadap salah satu dari hukum Allah?"

Setelah mengucapkan ayat itu, Baginda berdiri dan berkhutbah:

“Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat sebelum kalian ialah apabila mereka mendapati ada orang mulia yang mencuri, mereka membiarkannya. Tetapi apabila mereka mendapati orang lemah di antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman kepadanya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya”.

Oleh itu, marilah kita menjadikan senyuman dan ketegasan Rasulullah SAW sebagai panduan dan pada masa sama menilai hikmah di sebaliknya. Senyumlah, kerana senyuman tidak pernah mengurangkan rezeki sesiapa, malah dengan senyuman hati berasa tenang dan sentiasa disenangi orang lain. Sementara bertegaslah dalam keadaan perlu supaya agama tidak diperkotak-katikkan.
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates