Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 21 April: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) menegaskan PAS tidak mengubah pemimpin termasuk presiden hanya kerana kekalahan dalam pilihan raya termasuk ekoran kegagalan memperoleh kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak minggu lalu. Katanya, PAS mempunyai cara tersendiri menilai kepimpinan dan faktor kalah pilihan raya bukan satu alasan tepat untuk mengubah kepimpinan. Selain itu, kegagalan PAS memperoleh sebarang kerusi pada Pilihan Raya Sarawak lalu juga adalah berpunca dari kelemahan Presiden PAS. |
" fastaqim kama umirta "
HIKMAH ULAMAK
DARI BLOG MASANYA MEMILIH JALAN YG LURUS
Salam Palestin,
Saya terlewat dua hari. Baru sekejap tadi jengok Malaysian Insider cari berita pasal Prof Dr Abdul Aziz Bari kritik Yang Berhormat Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang untuk ke sekian kalinya.
Tapi dah ada tiga berita rupanya. Kelmari dulu beliau kritik lalu semalam dikritik pula oleh para pemimpin PAS dan hari ini beliau datang lagi mempertahankan kritikannya itu. Ini saya tulis ini kira himpun yang tiga-tiga tu jadi satu.
Terima kasih Prof Aziz kerana kritik. Tahniah Dewan Pemuda PAS Wilayah kerana ‘mengamuk’ dan terima kasih sekali lagi kepada Prof Aziz kerana melarang mereka yang muda-muda itu daripada mengamuk. Antara pantang larang orang-orang akademik ialah tidak boleh mengamuk. Mengamuk tanda tidak akademik dan ilmuan. Nasib baik mereka dah habis belajar di universiti. Jika tidak Prof Aziz akan anggap mereka mahasiswa yang tidak akademik dan berilmu.
Di universiti sekarang, yang terlebih mengamuk ialah kumpulan pro pembangkang. Adapun mahasiswa yang pro kerajaan mereka tidak buat perangai mengamuk. Mereka pada sisi pandang Prof Aziz Bari adalah lebih akademik dan ilmuan. Inilah masalah pembangkang, asyik melahirkan penyokong yang mudah mengamuk. Tak puas hati sikit mengamuk. Dikritik sikit, mengamuk. Mengkritik pun mengamuk.
Tapi saya pula ucap tahniah pada rakan-rakan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Bukan hanya kerana mempertahankan balik presiden mereka, tapi kerana mereka dianggap pengamuk oleh Prof Aziz. Saya tak fikir mereka rasa mereka sedang mengamuk semasa tindakan mempertahan itu berlaku. Hanya apabila Prof Aziz kata jangan mengamuk, baru mereka sedar tindakan mereka adalah amukan kepada Prof Aziz di mata Prof Aziz sendiri.
Jadi tindakan mereka cukup berkesan sehingga dianggap satu amukan oleh seorang bertaraf ilmuan dan akademik. Itu bukan calang-calang. Jadi saya fikir kena ucap tahniah kepada rakan-rakan saya itu. Saya sendiri memang tak boleh mengamuk dah. Dah dua hari terlewat. Mengamuk bukan boleh buat-buat, apatah main tangguh-tangguh.
Untuk pengetahuan, baru- baru ini saya tengok di TV ramai orang mengamuk di Mesir dan Tunisia. Hasilnya tumbanglah kedua-dua kerajaan yang sedia ada. Dengar kata, kerajaan tersebut sebelum itu tak suka rakyatnya mengamuk, malah menyekatnya. Nampaknya, mengamuk ini tidak disukai oleh orang-orang akademik seperti Prof Aziz Bari dan kerajaan yang zalim seperti Husni Mubarak.
Tetapi di sisi orang-orang berilmu di medan kehidupan dan perjuangan, oleh kerana sifat amuk itu berakar semulajadi dan tabie sifatnya, apatah di kalangan orang-orang Melayu mengikut kata orang putih, mereka telah menjadikannya satu aset penting memacu perjuangan dan kejayaan. Di Mesir tadi contohnya, amukan rakyat marhaen dan anak-anak muda itu telah disusun dan ditarsyidkan dengan sempurna oleh orang-orang berilmu yang berbakti di medan kehidupan dan perjuangan. Dikatakan, para ulama banyak memainkan peranan besar mengurus kerja-kerja tarsyid terhadap amukan rakyat tersebut sehingga membuahkan hasil yang diinginkan oleh semua termasuk Prof Aziz sendiri, iaitu kemenangan menumbangkan kezaliman. Para ulama tersebut walau bagaimanapun, sepertilah tuan guru presiden, biasanya dianggap lembap, kurang strategi dan terlalu ukhrawi dan kurang duniawi.
Mungkin kerana itulah saya gembira dengan ‘amukan’ pemuda Wilayah itu. Ini kerana mereka mengamuk mempertahankan ulama. Oleh kerana ulama ini kerja besarnya adalah tarsyid dan mengurus kebangkitan umat, maka saya yakin pemuda Wilayah, bahkan seluruh pemuda PAS akan sentiasalah amukan mereka itu terurus dengan baik kerana sentiasa diurus para ulama yang dipertanggung jawab oleh Allah untuk mengurus umat Islam sampai bila-bila selagi tak kiamat.
Tapi, Prof Aziz Bari tak boleh mengamuk. Pertama beliau tak suka orang mengamuk, maka mana boleh dia memgamuk? Kedua, jika beliau mengamuk tak ada ulama atau sesiapa pun boleh uruskan dia. Lihat saja dua tahun lepas, beliau telah mengamuk dan amukannya tak henti-henti sehingga datang mursyidul am PAS mengarahkan sebuah muktamar tergempar parti PAS untuk ‘menyelesaikan’ amukan Prof Aziz itu. Susah habis segala orang bila amukan tiada tarsyid berlaku.
Mungkin Prof Aziz Bari tak merasa pun dia mengamuk pada masa itu, tetapi saya dan ramai melihat dia telah mengamuk. Samalah seperti Prof Aziz anggap pemuda PAS Wilayah mengamuk hari ini sedangkan mereka tak rasa pun mereka sedang mengamuk.
Untuk pengetahuan, orang mengamuk secara umumnya memang tak sedar dia mengamuk. Kita hanya boleh melarang orang mengamuk selama mana kita sendiri tidak dalam dunia amukan.
Kemudian, Prof Aziz Bari nampaknya begitu bersyukur PAS kalah di Beting Maro, Sarawak dalam pilihan raya negeri itu baru-baru ini. Agak lama beliau tidak memiliki peluru buat membedil tuan guru presiden. Bayangkan jika PAS menang, peluru itu pasti bertukar menjadi peluru plastik. Prof Aziz akan bungkam atau jika dia mahu menembak juga dia akan berkata, sepatutnya PAS menang di dua atau tiga kerusi yang ditandinginya atau PAS sepatutnya bertanding di seluruh DUN majoriti Islam! Ha, keplastikan sangat peluru itukan. Maka mari bersyukur PAS kalah di Beting Maro..
Kemudian, Prof nampaknya terus mengagumi dan meratapi pemergian almarhum Dato Fadhil Nor. Seolah-olah beliau berkata, oh, kalaulah almarhum masih hidup, bla bla..
Saya pula lain. Bagi saya nasib baik beliau telah pergi menemui kekasihnya yang hakiki itu. Kerana ‘jikalah’ beliau hidup, siapa pula akan memimpin Pakatan Rakyat? Fadhil Nor atau Anwar? Saya naik bimbang pula bahawa Prof Aziz pada masa itu akan menghentam Anwar pula semacam RPK lakukan atau mencincang lumat almarhum Dato Fadhil Nor sambil berkata, “Kamu ni menyusahkan, sepatutnya kamu telah mati 10 tahun lepas lagi.” Bahasa orang mengamuk mana boleh agak?
Jadi, bagi saya, ketiadaan almarhum yang telah dipilih awal oleh Allah itu adalah kebaikan untuk semua. DSAI selesa memimpin PR dan Prof Aziz pula selesa melibas sana sini, wassana wassini.
Akhirnya, bagi saya, presiden PAS adalah liabiti jika;
Pertama, jika beliaulah yang telah mengumumkan Baru Bian sebagai bakal Ketua Menteri Sarawak dalam PRN Sarawak baru-baru ini yang telah menyebabkab PBB memperolehi undi swing Melayu Melanau Islam di sana dengan mudah dan percuma yang menyebabkan PAS apatah PKR sendiri kehilangan banyak undi.
Kedua, jika beliaulah yang mendesak MB Kelantan agar mengekalkan
larangan premis jualan untuk judi loteri yang mencetuskan kemarahan DAP, MCA, kaki judi dan sebahagian non muslim lelaki (wanita mana suka suami berjudi?).
Ketiga, jika beliau tidak suka Prof Aziz Bari mengkritiknya.
Jika tidak, maka tidaklah. Jadi, nasihat saya, teruslah mengkritik dan teruslah mengamuk. Kedua-duanya adalah bukan liabiliti buat PAS dan para ulama rabbani.
TAKBIR...ORANG SEKARANG TAK NAMPAK AS-SYAHID IBRAHIM LIBYA TELAH BERMANDIKAN DARAH.
AKHLAK KETIKA MENDEPANI KESALAHAN ULAMAK
Dr. Talaat Afifi di dalam karyanya al-Ulama baina al-Tauqir wa al-Tatawul telah mengariskan beberapa adab ketika berhadapan dengan kesilapan para ulama. Kesimpulannya saya ingin nyatakan seperti mana berikut:
1. Tidak gopoh menyalahkan ulama.
Kita perlulah menyelidik terlebih dahulu kenapakah seseorang ulama itu mengeluarkan pendapatnya sedemikian rupa. Selepas diteliti, mungkin terdapat alasan-alasan tertentu yang menyebabkan ulama itu mengatakan sebegitu. Keadaan ini bagi memelihara sikap buruk sangka terhadap ulama sehingga boleh menimbulkan fitnah. Kadang-kala wujud segelintir golongan yang tidak memahami dengan jelas pendapat serta hujah ulama itu, maka mereka terus menyalahkan ulama tersebut, walaupun hakikatnya mereka yang melakukan kesalahan dalam memahami sesuatu perkara itu.
2. Membataskan kesilapan ulama.
Jika benar ulama telah melakukan kesilapan, maka kita perlulah membataskan kesilapan ulama itu setakat apa yang menjadi kesilapan itu sahaja dan bukan berlebih-lebihan dalam mengkritiknya. Nukilkan dengan ikhlas kesilapan itu dan menjelaskannya dengan dalil-dalil serta pandangan ulama lain. Pandangan ulama lain perlu diketengahkan memandangkan mereka yang lebih memahami tentang kesilapan seseorang ulama itu.
Kita perlu sedar bahawa kesilapan ijtihad ulama beroleh satu pahala dan jika berbetulan pula memperolehi dua pahala. Oleh itu, elakkan sikap yang melampau ketika berhadapan dengan kesilapan itu. Kadang-kala jika seseorang terlalu membenci seseorang ulama itu, maka dia menganggap tiada langsung kebenaran yang boleh diambil oleh ulama tersebut. Kesilapan ulama dalam ijtihadnya tidak sedikit pun mengurangkan penghormatan terhadapnya.
3. Memberi pertimbangan antara positif dan negatif.
Jika berhadapan dengan kesilapan ulama, kita perlu bertanya diri sendiri, manakah yang lebih baik antara menyebarkan kebaikkan positif atau keburukan negatif? Sesungguhnya terlalu banyak kebenaran dan jasa para ulama jika dibandingkan dengan kesilapan yang mereka tidak sengaja lakukan. Bagaimana pula dengan diri kita yang tidak memberi apa-apa sumbangan terhadap Islam? Bagi mereka yang beriman sudah tentu akan mengambil jalan untuk menyebarkan kebaikkan para ulama dari melaga-lagakan khilaf antara ulama sehingga timbul perpecahan di kalangan umat Islam.
4. Bukan untuk menandingi ulama.
Sebilangan golongan mungkin sengaja mencari-cari kesilapan ulama semata-mata untuk menaikkan imej peribadinya di mata masyarakat. Mungkin anggapannya para ulama sebenarnya tidaklah sehebat mana jika dibandingkan dengan dirinya yang boleh menyanggah pendapat para ulama itu.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Barangsiapa mencari ilmu untuk menandingi para ulama atau mengalahkan orang-orang jahil atau untuk memusatkan perhatian manusia kepadanya maka orang itu akan dimasukkan Allah ke dalam api neraka. (Riwayat al-Tirmizi).
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Barangsiapa mencari ilmu untuk berbangga dengannya akan para ulama atau untuk berdebat dengannya akan orang-orang jahil atau untuk memusatkan perhatian manusia kepadanya maka orang itu di dalam api neraka. (Riwayat Ibn Majah).
depa kata : ulama ni kolot tak ikut perkembangan semasa dan jumud....
aku kata : orang nak mentadbir atau memerintah bukan guna serban dan jubahnya semata-mata tapi guna akal yang dihiasi dengan ilmu yang diwarisi oleh para Nabi dan ulama-ulama islam yang muktabar....
Menyabitkan kesalahan zina dan liwat
Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS
Kesalahan zina dan liwat sabit dengan iqrar [pengakuan] atau melalui saksi-saksi yang memenuhi syarat syaratnya.
Iqrar [Pengakuan]
Hadis riwayat Abu Hurairah r.a. (al-Bukhari, kitab al-Hudud):
“Seorang lelaki datang mengadap Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Lelaki itu berkata: “Wahai Rasulullah! Saya telah melakukan zina.”
Rasulullah s.a.w. berpaling ke arah lain [yakni seperti tidak melayannya], lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali.
Setelah lelaki itu membuat pengakuan sebanyak empat kali, akhirnya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adakah engkau gila?”
Dia menjawab: “Tidak.” Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: “Adakah engkau telah berkahwin?”
Dia menjawab: “Ya.” Lalu Rasulullah s.a.w. memerintahkan (para sahabatnya): “Bawalah lelaki ini pergi dan rejamlah dia.”
Mengikut riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adakah engkau bercumbu-cumbu sahaja.”
Dia menjawab: “Tidak. Sebenarnya saya telah berzina.”
Mengikut riwayat yang lain: “Setelah selesai sembahyang, dia (lelaki itu) datang lagi, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidakkah awak telah berwuduk dan telah bersembahyang? Dengannya Allah mengampunkan dosa.” Tetapi lelaki itu terus mengaku berzina dan mahu supaya disucikan dirinya dengan hukuman.
Hadis riwayat Sulaiman bin Buraidah, daripada bapanya (riwayat Muslim, Kitab al-Hudud):
“Kemudian seorang perempuan dari qabilah al-Ghamidiyah datang mengadap Rasulullah s.a.w. Wanita itu berkata: “Wahai Rasulullah! Sucikanlah diri saya.”
Sabda Rasulullah s.a.w. : “Baliklah, beristighfarlah engkau dan bertaubatlah.”
Wanita itu berkata lagi: “Adakah engkau mahu melakukan kepada saya seperti yang engkau lakukan kepada Ma’iz bin Malik?”
Rasulullah s.a.w. bertanya: “Apakah masalah engkau?”
Wanita itu memberitahu bahawa dia sedang mengandung hasil perbuatan zina.
Rasulullah s.a.w. bertanya: “Apakah benar?”
Wanita itu menjawab: “Ya.”
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bersalinlah dahulu.”
Wanita itu dijaga oleh seorang lelaki dari kalangan Ansar sehingga bersalin. Kemudian lelaki itu datang menemui Rasulullah s.a.w. memberitahu bahawa wanita itu telah bersalin. Baginda bersabda: “Kita tidak akan merejamnya dan membiarkan anaknya tidak dapat menyusu.” Lalu bangun seorang lelaki dari kalangan Ansar dan berkata: “Biar saya uruskan urusan penyusuannya, wahai Nabi Allah.” Lalu Rasulullah s.a.w. merejam wanita itu.”
Kedua-dua hadis di atas diriwayatkan oelh para ulama hadis dengan riwayat yang sahih dan menjadi dalil dalam kes iqrar [mengaku] berzina. Para ulama telah menyimpulkan daripadanya hukum-hukum yang berkaitan dengan iqrar melakukan kesalahan zina dan liwat.
Syarat-syarat iqrar
* Orang yang membuat pengakuan itu hendaklah seorang yang baligh dan berakal. Tidak sah pengakuan orang gila, mabuk dan sebagainya, kerana sabda Rasulullah s.a.w. [Abu Daud: Kitab al-Hudud] “Diangkat qalam daripada menulis amalan kanak-kanak sehingga dia baligh, daripada orang tidur sehingga dia terjaga, dan daripada orang gila sehingga dia sedar.”
* Pengakuan hendaklah dilakukan dengan pilihan sendiri, tanpa dipaksa, sepeti dipukul, dibelasah, diberi bahan yang menghilangkan ingatan seperti dadah dan sebagainya. Maka tidak sah pengakuan orang yang dipaksa, kerana sabda Rasulullah s.a.w. [Ibn Majah: Kitab al-Talaq] : “Allah mengangkat (memaafkan) kesalahan umatku yang melakukan sesuatu kerana tersalah, terlupa dan dipaksa.”
* Iqrar [pengakuan] dilakukan secara lisan. Tidak diterima pengakuan dalam bentuk tulisan, pita rakaman dan sebagainya dalam perkara hudud.
* Iqrar hendaklah dilakukan berulangkali dalam perkara zina dan liwat, iaitu sebanyak empat kali, dalam majlis yang berasingan, seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap Ma’iz bin Malik.
* Iqrar itu dilakukan di hadapan hakim dan hakim pula menunjukkan sikap tidak senang dan berusahan supaya orang yang beriqrar itu tidak mengulangi iqrarnya, kerana bertaubat lebih baik daripada menyerah diri secara iqrar di hadapan pihak yang berkenaan, kerana inilah cara yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.
Menarik Balik Pengakuan
Seseorang yang mengaku melakukan zina dan liwat hendaklah diterima penarikan balik pengakuannya, walaupun sudah memenuhi syarat-syarat yang tersebut di atas, kerana Rasulullah s.a.w. menegur para sahabat baginda dengan keras kerana meneruskan hukuman terhadap Ma’iz bin Malik setelah dia melarikan diri ketika hukuman dijalankan.
Apabila seseorang lelaki mengaku zina dengan seseorang perempuan dan perempuan itu tidak mengaku salah, maka si lelaki sahaja yang dihukum, kerana inilah keputusan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud.
Saksi
Firman Allah [an-Nisa’: 15] yang bermaksud: “Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka.”
Firman Allah lagi [an-Nur:4] yang bermaksud: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi…”
Firman Allah lagi [an-Nur:13] yang bermaksud: “Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Jika mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.”
Orang yang menjadi saksi hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:
1. Baligh lagi berakal. Oleh itu tidak boleh diterima tuduhan yang dilakukan oleh orang gila, kerana cakapnya tidak boleh diterima.
2. Islam, sekiranya tuduhan dilakukan terhadap orang Islam, kerana kesedarannya terhadap perhitungan dosa pahala dan sebagainya. Di samping itu, perkara zina dan liwat ini termasuk dalam hukum hudud Islam yang dinaskan.
3. Mempunyai pancaindera yang sihat. Tidak diterima saksi yang tidak jelas penglihatan, tuli dan bisu.
4. Adil, yakni seseorang yang diketahui tidak melakukan mana-mana dosa besar, dosa kecil secara berterusan dan perkara-perkara yang menjatuhkan maruah, walau pun tidak berdosa.
5. Lelaki, yakni dalam perkara hudud dan qisas. Oleh kerana zina dan liwat termasuk dalam perkara hudud, maka saksi wanita tidak diterima dalam perkara ini.
6. Tiada tohmahan (kekeliruan yang menarik manfaat atau menolak mudarat), berkepentingan dan prejudis seperti menjadi saksi kepada bapa, anak atau majikannya, atau orang yang diketahui bermusuh dengan orang yang dituduh yang akan memburukkannya sahaja. Maka tidak boleh menerima penyaksian saksi yang ada kaitan dengan konspirasi politik dan sebagainya.
7. Bilangan yang cukup. Pada tuduhan zina dan liwat, memerlukan empat orang saksi.
8. Keempat-empat saksi melihat (perbuatan zina dan liwat itu) bersama-sama.
9. Memberi keterangan dalam majlis (persidangan) yang sama.
Saksi dalam tuduhan zina dan liwat bukan sahaja wajib memenuhi syarat-syarat tersebut tetapi juga hendaklah melihat kesalahan itu berlaku mengikut takrifnya secara jelas, yakni melihat anggota kemaluan yang melakukannya secara jelas. Para ulama bersepakat mengatakan bahawa keterangan melalui kesan air mani, pita video dan gambar tidak boleh mensabitkan kesalahan zina dan liwat. Keterangan saksi yang berlapis yang hanya menerima berita dari orang lain [hearsay] juga tidak boleh diterima.
Kesemua perkara tersebut menunjukkan bahawa tuduhan zina dan liwat, tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya.
Keterangan-Keterangan Yang Tidak Nyata
Penggunaan kepakaran untuk menganalisa darah dan air mani [atau ujian DNA] bagi mensabitkan kesalahan jenayah huduh seperti zina dan liwat tidak dibenarkan oleh Islam, kerana ada syubhat [kekeliruan]. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Hudud hendaklah ditolak (tidak dilaksanakan) dengan adanya syubhat [kekeliruan].”
Ketepatan analisa DNA boleh dipertikaikan kerana banyak kemungkinan-kemungkinan yang boleh menimbulkan keraguan. Sesetengah ulama membenarkan analisa ini untuk menafikan tuduhan sahaja, bukan untuk mengisbatkannya (mensabitkan kesalahan). Para ulama Islam telah menyebut perkara ini di dalam kitab-kitab fiqh, di antaranya Ibn al-Qayyim di dalam kitanya al-Turuq al-Hukmiyyah.
Begitu juga tuduhan tidak boleh disabitkan dengan gambar, pita video, kaset dan sebagainya yang bukan merupakan keterangan secara langsung.
Bersumpah
Tidak diharuskan bersumpah bagi mensabitkan jenayah hudud yang berkaitan dengan hak Allah, seperti zina dan liwat. Bahkan jenayah hudud dan qisas dalam perkara hak manusia juga tidak dibenarkan bersumpah menurut jumhur (kebanyakan) ulama kerana perkara hudud dan qisas yang berhubung dengan hak manusia juga dianggap menyerupai hak Allah.
Yang dimaksudkan dengan bersumpah di sini adalah sumpah mengikut hukum Islam dengan lafaznya yang ditetapkan, bukan seperti yang difahami oleh orang jahil yang mencadangkan supaya sumpah dilakukan secara menjunjung al-Quran, yang menyerupai sumpah yang dilakukan oleh penganut agama Kristian.
Syarat orang yang melakukan zina dan liwat
Orang yang melakukan kesalahan zina dan liwat itu pula hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:
1. Baligh, yakni cukup umur mukallaf
2. Berakal
3. Secara pilihan dengan tidak dipaksa
4. Mengetahui pengharaman zina dan liwat
5. Tiada syubhah (seperti terkeliru atau tersilap kerana disangka isterinya)
6. Berzina atau berliwat dengan manusia
7. Melakukan perbuatan yang ditakrifkan sebagai zina atau liwat
Qazaf
Perkataan qazaf dalam bahasa Arab bermakna melemparkan sesuatu benda umpama batu dan sebagainya. Seterusnya perkataan itu dikhususkan kepada melemparkan sesuatu yang buruk termasuk menggunakan perkataan yang keji terhadap seseorang.
Menurut istilah hukum syarak, qazaf ialah menuduh zina terhadap seseorang tanpa saksi yang adil. Termasuk juga menuduh liwat, mengikut pendapat jumhur para ulama, di antaranya Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali. Mazhab Hanafi pula hanya mengkhususkannya kepada tuduhan zina sahaja, manakala tuduhan liwat di sisi mereka termasuk dalam perkara takzir.
Qazaf termasuk dalam hukum hudud yang dinaskan di dalam al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. Perkara yang telah dinaskan, berada di luar bidang ijtihad para ulama, kerana haram meminda nas daripada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, tidak boleh dinamakan hudud PAS atau hudud sesiapa. Sesiapa yang membuat kenyataan itu maka hukumnya berdosa kerana kenyataan yang dibuatnya itu berdasarkan kepada kejahilannya.
Perkara tersebut menjadi perkara yang wajib diketahui oleh orang-orang Islam, kerana fardhu ain itu, bukan sahaja terdapat pada perkara yang wajib ditunaikan, tetapi termasuk juga pada perkara yang diharamkan kita melakukannya agar kita menjauhinya, meninggalkannya dan mencegahnya, Manakala mendalaminya secara detail hukumnya adalah fardhu kifayah.
Di kalangan ulama ada yang membahagikan tuduhan itu kepada dua cara:
1. Secara sorih [berterus terang] dengan menujukan tuduhan zina atau liwat kepada orang yang tertentu. Sekiranya tuduhan itu diakui oleh orang yang dituduh secara sukarela dan memenuhi syarat-syarat pengakuannya, maka hukuman hudud boleh dijatuhkan oleh hakim ke atas orang berkenaan.
2. Secara sindiran. Seperti menafikan nasab daripada ayahnya mengatakan ‘awak bukan anak kepada si anu’ yang diketahui sebagai bapanya yang sebenar, atau ‘awak anak daripada hasil zina’ dan lain-lain tuduhan yang boleh difahamkan sebagai tuduhan zina atau liwat.
Hikmah Pengharaman Qazaf
Tujuan pengharaman qazaf adalah bagi memelihara maruah manusia, yang menjadi satu daripada perkara yang sangat penting bagi manusia sama ada bagi diri, keluarga atau masyarakatnya. Maruah sangat bernilai dalam hidup dan mati seseorang, membezakan manusia dengan binatang dan menjadi sebahagian daripada harga diri sehingga tidak boleh dinilai dengan harta benda yang paling mahal. Islam telah menegaskan kewajipan mempertahankan maruah dengan meletakkan maruah mengatasi harta yang juga wajib dipertahankan.
Demi menjaga maruah itulah, maka diwajibkan hukuman qazaf secara hudud yang ditetap oleh Allah dan Rasul-Nya s.a.w. supaya seseorang itu atau kumpulannya tidak boleh melemparkan tuduhan zina dan liwat ke atas seseorang yang lain secara sewenang-wenangnya.
Syarat-syarat Qazaf
Tidaklah mudah menentukan bahawa seseorang itu telah melakukan qazaf, kerana Islam mewajibkan syarat-syarat tertentu bagi orang yang melakukannya, orang menjadi mangsa dan tuduhan itu sendiri.
Syarat-syarat bagi orang yang melakukan tuduhan itu adalah:
1. Berakal. Tidak boleh diterima tuduhan yang dilakukan oleh orang gila, kerana cakapnya tidak boleh dipakai.
2. Baligh, yakni sampai umur mukallaf yang boleh dipertanggungjawabkan perintah-perintah agama ke atasnya. Kanak-kanak yang belum baligh, tidak boleh dikategorikan tuduhannya sebagai qazaf.
3. Tidak dipaksa. Tidak boleh menerima tuduhan yang dilakukan oleh orang yang dipaksa supaya melakukan tuduhan itu.
4. Tidak dapat mengadakan empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat saksi mengikut hukum Islam
Orang yang dituduh juga hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:
1. Berakal. Maka tidak sah menuduh orang yang tidak berakal. Oleh itu orang yang menuduh tidak boleh diambil tindakan qazaf
2. Baligh. Maka orang yang menuduh terhadap orang yang tidak baligh, tidak boleh dikenakan hukuman had qazaf. Dia hanya dikenakan hukuman ta’zir.
3. Islam, mengikut jumhur para ulama.
4. ‘Iffah atau ihsan, yakni orang yang dituduh itu seorang yang diketahui kebaikan akhlaknya dan tidak pernah disabitkan melakukan zina.
5. Orang yang ditentukan tidak berlaku qazaf dengan menuduh seseorang yang tidak ditentukan secara khusus.
Syarat tuduhan pula hendaklah tuduhan dalam perkara zina, menurut ijmak para ulama dan tuduhan dalam perkara liwat, mengikut pendapat jumhur para ulama. Sekiranya tuduhan itu dalam perkara yang lain seperti berjudi, minum arak, rasuah dan sebagainya, maka tidak dinamakan qazaf yang mewajibkan hukuman hudud, tetapi berpindah kepada hukum takzir yang terserah kepada budibicara pihak yang berkenaan untuk menentukan hukumannya.
Mensabitkan Jenayah Qazaf
Kesalahan qazaf yang dijatuhkan hukuman had ialah apabila terbukti melalui dua cara:
1. Iqrar daripada orang yang melakukan qazaf.
2. Dua orang saksi yang memenuhi syarat-syarat saksi.
Hukum Hudud yang berkait dengan Qazaf
Terdapat kekhilafan di kalangan para ulama, adakah hukum qazaf berkait dengan hak Allah atau hak manusia?
Mazhab Hanafi menegaskan bahawa qazaf termasuk di dalam kategori hak Allah terhadap hamba-Nya kerana ia berkait dengan maruah seseorang. Hukum hudud yang ditetapkan ke atas jenayah qazaf berkait dengan maslahah umum, iaitu untuk memelihara kepentingan hamba-hamba Allah [manusia] dan maruah mereka, serta menghindarkan perkara kefasadan di kalangan manusia.
Apabila ia menjadi aspek umum maka ia termasuk dalam hak Allah terhadap hamba-hamba-Nya.
Mazhab Syafie dan Hanbali berpendapat bahawa qazaf termasuk dalam kategori hak hamba [manusia], kerana maruah secara langsung diberikan kepada manusia. Apabila maruahnya dijatuhkan melalui qazaf, ia bermakna seperti melakukan sesuatu ke atas batang tubuh orang yang tertentu, maka ia menjadi hak bagi diri orang itu.
Manakala ulama dalam mazhab Maliki berselisih pendapat. Ada di kalangan mereka yang bersetuju dengan mendapat Mazhab Hanafi, ada yang bersetuju dengan pendapat Mazhab Syafie dan Hambali. Di antara mereka adalah Ibnu Rusyd, dan ada yang berpendapat bahawa di dalam perkara qazaf ada kedua-dua hak tersebut.
Mereka yang berpegang kepada pendapat bahawa qazaf itu adalah hak Allah, bermakna setelah perkara itu dibawa kepada pihak yang berkenaan [berwajib] maka ia tidak boleh dimaafkan lagi, yakni mangsa tuduhan tidak boleh memberikan pengampunan.
Pengampunan hanya boleh diberi sebelum kes tersebut dibawa kepada pihak yang berkenaan. Manakala mereka yang menyatakan bahawa qazaf itu adalah hak manusia, maka mangsa tuduhan diberi hak untuk memberikan pengampunan kepada orang yang dijatuhkan hukuman kerana kesalahan melakukan qazaf.
Hak Tuduhan Qazaf
Mereka yang berpendapat bahawa qazaf termasuk dalam kategori hak manusia, mengatakan bahawa orang yang menjadi mangsa mempunyai hak pengampunan ke atas orang yang melakukan jenayah qazaf.
Sekiranya orang yang menjadi mangsa qazaf masih hidup, maka hak membuat pendakwaan terserah kepadanya sendiri. Sekiranya ia telah meninggal dunia, maka hak tersebut berpindah kepada keluarganya yang terdekat, iaitu bermula daripada ayah hingga ke atas, kemudian berpindah kepada anak hingga ke bawah. Ia tidak berpindah kepada saudaranya yang lain, kerana perkara qazaf sangat berkait dengan maruah zuriat secara langsung.
Hukuman ke Atas Orang Yang Melakukan Qazaf [Menuduh Zina atau Liwat]
Nas dan ijtihad para ulama yang berlandaskan roh syariat Allah yang maha adil, menunjukkan bahawa tuduhan yang menjatuhkan maruah seseorang seperti tuduhan zina dan liwat tidak harus dipermudah-mudahkan.
Untuk membuat tuduhan itu, wajiblah mempunyai alasan dan hujah yang kukuh. Perkara-perkara yang diwajibkan ke atas pihak yang berkenaan supaya dilaksanakan ketika melakukan sesuatu tuduhan, membuktikan bahawa kewajipan memelihara maruah juga menjadi tanggungjawab kerajaan setelah ditegaskan bahawa ianya adalah kewajipan individu.
Kesalahan tuduhan zina dan liwat amat besar, sehingga ia dimasukkan ke dalam jenayah yang dikenakan hukuman keras dan ditetapkan sendiri hukumannya oleh Allah SWT secara nas di dalam Al-Quran. Di akhirat pula ia dikira sebagai dosa besar yang disediakan azab yang pedih kepada pelakunya, sekiranya dia tidak bertaubat dan meminta maaf daripada mangsa tuduhan atau tidak menerima tindakan undang-undang Islam oleh pihak yang berkenaan.
Hukuman di dunia
Hukuman di dunia yang wajib dijatuhkan ke atas penjenayah qazaf oleh kerajaan Islam ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran.
Firman Allah [an-Nur: 4] yang bermaksud: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.”
Hukuman terhadap penjenayah qazaf di dunia ialah:
1. Disebat sebanyak 80 kali sebatan mengikut cara Islam. Bukannya sebatan seperti yang diamalkan sekarang. Iaitu dengan alat yang sederhana dan cara pukulan yang sederhana. Tidak dibenarkan mengangkat alat sebatan lebih tinggi daripada kepala dan sebatan itu tidak boleh menyebabkan kulit dan daging terkoyak. Orang yang disebat pula hendaklah berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan memakai pakaian yang bersopan serta disaksikan oleh orang ramai.
2. Dihukum menjadi fasik dengan tidak diterima penyaksiannya dalam segala urusan, sama ada di mahkamah, ketika berjual beli, perkahwinan, melihat anak bulan Ramadan, Syawal dan lain-lain.
Hukuman di Akhirat:
Firman Allah [an-Nur: 23-24] yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan (dan lelaki-lelaki) yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar. Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.”
Hukuman pada hari kiamat nanti lebih adil dan bijaksana. Allah Yang Maha Mengetahui tidak menghukum dengan sifat mengetahui-Nya sahaja, tetapi perbicaraan akan di ulang semula di mahkamah-Nya dengan bukti-bukti yang lebih terperinci. Ketika itu, anggota badan manusia, tangan dan kaki mereka akan menjadi saksi. Di samping itu terdapat catatan para malaikat, iaitu makhluk Allah yang paling baik dan suci, yang nalurikan dengan sifat sentiasa taatkan perintah Allah dan tidak sekali kali menderhakai-Nya.
Mereka akan dikerah untuk menjadi saksi sehingga mulut para pembohong dan pendakwa yang pandai mengubah kata dan meminda catatan tidak mampu lagi untuk memutarbelitkan kenyataan yang sebenar.
Berbahagialah Sang Ghuraba'
Oleh: Nasrudin Tantawi
1. Perjuangan Islam bermula dalam keadaan asing atau dagang [gharib ]. Berdepan dengan manusia jahiliah yang rendah upaya untuk membezakan antara haq dan bathil. Sistem nilai yang kabur diselaputi fahaman syirik dan kebendaan. Mereka merajakan nafsu dan mempertuhankan aqal. Rasuulul ummah saw. sebagai utusan Allah swt. difitnah, dinista dan dicerca. Risalahnya ditertawa dan menjadi bahan lelucon ummat jahiliah.
2. Islam dibawa untuk menyelamatkan ummah. Risalahnya disasarkan kepada semua kecuali mereka yang tekun dan konsisten memerangi Islam. Slogan yang dibawa oleh Pendakwah Agong saw. ialah [Aslim Taslam ] Terima Islam Engkau Selamat. Serendah - serendah pangkat manusia seperti lelaki gasar di padang pasir sehinggalah setinggi - tinggi pangkat manusia seperti raja di istana menjadi sasaran risalah Islam.
3. Islam didokong dan diperjuangkan dengan gigih tanpa peduli pahit getir. Islam digalas dan dipertahankan dengan tabah tanpa peduli susah sukar. Gurun sahara diredah dan lautan luas diharungi demi menyemarakan kebangkitan Islam dan mendaulatkan syariatnya. Sabar membelah masa dan merempuh waktu menanti detik janji Allah ditunaikan. Tidak mengenal erti putus asa dan kecewa.
4. Akhirnya Islam tegak berdaulat dengan bertiangkan aqidah, berdindingkan syariat, berbumbungkan jihad dan berlantaikan akhlak. Bumi diimarahkan dengan peraturan dan manhaj rabbani. Keadilan merata kepada semua tanpa membezakan latar belakang agama, bangsa, kaum dan bahasa lidah. Keamanan dan kesejahteraan dinikmati, bukan sahaja oleh manusia bahkan binatang dan tumbuhan.
5. Namun Nabi saw telah menegaskan yang bermaksud:
"Telah bermula Islam dalam keadaan asing , kelak ia akan kembali menjadi asing sebagaimana ia bermula. Maka berbahagialah mereka yang asing [tetap bersama Islam]."
6. Hari ini Islam kembali ditertawa. Syariat dan syiar Islam dipersenda. Kerja dakwah menjadi bahan lelucon. Dunia kembali menganggap pelik cara kita berjuang dan mengajak ummat manusia kembali kepada Islam dan perjuangannya. Menyeru dan mengajak orang menyertai perjuangan Islam dianggap kerja bodoh sebagaimana tanggapan ummat jahiliah. Firman Allah swt yang bermaksud:
"dan apabila diseru kepada mereka , Berimanlah sebagaimana berimannya manusia yang lain. Mereka menjawab : Apakah kami akan beriman sebagaimana berimannya orang - orang yang bodoh. Ketahuilah sesungguhnya merekalah orang - orang yang bodoh akan tetapi mereka tidak mengerti." - Surah al Baqarah : Ayat 13
7. Sungguhpun Islam kembali menjadi asing dan pejuangnya ditertawa dan diperbodohkan, ianya adalah sunnah yang telah dijanjikan kebahagiaannya oleh Rasulullah saw kepada mereka yang tetap gigih berjuang, berjihad dan berdakwah. Biarpun Nabi saw telah sekian lama meninggalkan ummah, namun kesediaan para pejuang menggalas tugas besar untuk menyelamatkan manusia dari neraka Allah adalah tugas berat yang penuh dengan kemuliaan. Istiqamah dan iltizam bersama kerja - kerja amal Islami biarpun disinis dan disindir tajam, ia adalah ghuraba' yang dijanjikan kebahagiaan oleh Rasulullah saw.
8. PAS adalah Gerakan Islam yang membawa pakej perjuangan yang menarik, mengulangi pakej asal yang diperjuangkan oleh Rasulullah saw. Pakej yang dimaksudkan ialah tarbiyah, dakwah dan siasah. Melalui pakej ini, PAS bergerak ke tengah medan lantas mengadun gerakkerja amal Islaminya secara seimbang berasas ramuan 3 elemen dari pakej tersebut.
9. Adunan 3 elemen dari pakej itulah tercetusnya pelbagai slogan seperti :
* Pemuda PAS adalah Duta Penyelamat dan Kasih sayang. Bermaksud Pemimpin dan anggota pemuda PAS turun ke medan, menyantuni masyarakat dengan penuh kasih sayang biarpun mungkin suatu masa dahulu, mereka adalah musuh kita. Mereka menentang kita dengan kejahilan dan hasad dendam yang menyelubungi jiwa mereka. Namun mereka mesti diselamatkan dari terus menjadi hamba nafsu dan syaithan yang menguasai diri mereka untuk memusuhi Islam. Pemuda PAS adalah penyelamat, lalu selamatkan seramai mungkin manusia dari api dosa yang sedang membakar mereka.
* Orang Muda Geng Kite . Adalah slogan lanjutan untuk menterjemah "Duta Penyelamat dan Kasih sayang" bagi mendekati golongan muda dari pelbagai lapisan dan latar belakang. Dari anak muda professional sehinggalah kepada anak muda yang bergelandangan. Mereka didekati oleh pemuda PAS dengan pelbagai cara dan kaedah. Tertubuhnya Alternative Riding Club [ARC] dan wujudnya aktiviti seperti Alternative Futsal Club, Alternative Band Club dan sebagainya adalah untuk melengkapkan usaha mendekati anak muda.
* Jom Sertai PAS . Juga antara slogan popular PAS untuk mendekati semua golongan masyarakat agar mereka menyertai PAS. Menyertai PAS hanya semudah mengisi borang, membayar yuran tahunan dan bersedia mematuhi perlembagaan PAS atau undang - undang tubuh PAS. Penyertaan mereka akan diperkasa dari masa ke semasa melalui proses pentarbiyahan yang wujud di dalam PAS sehinggalah akhirnya mereka menjadi seorang ahli PAS yang soleh dan berjuang. Melalui slogan ini, telah ramai tokoh - tokoh yang suatu masa dahulu sangat memusuhi PAS namun kini berjuang bersama saf perjuangan PAS. Laksana tokoh - tokoh yang menentang Nabi saw kemudiannya menerima Islam lalu gigih berjuang disamping Nabi saw. Kepada mereka Nabi saw menyebut :
"yang terpilih [hebat] di zaman jahiliah jua terpilih [hebat] di zaman Islam asal sahaja mereka memahami Islam."
* PAS For All atau PAS Untuk Semua. Sebahagian dari slogan PAS yang berjaya meletakkan PAS dihati mereka. Bukan sahaja ummat Islam mahu menyertai PAS lalu menjadi ahli yang baik, malah non muslim turut melahirkan hasrat mahu bersama perjuangan Islam lalu tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS [DHPP]. "PAS Untuk Semua" membawa maksud perjuangan PAS adalah untuk semua tanpa mengira latar belakang bangsa dan bahasa malah juga bermaksud semua boleh menyertai PAS asal sahaja mereka bersedia untuk mematuhi dasar dan manhaj perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.
10. Alhamdulillah, melalui gerakkerja amal Islami bersandarkan slogan - slogan di atas, kini menjadikan keluarga PAS kian besar sehingga mencecah angka sejuta. Pada tahun 1985 saya menjadi ahli PAS yang ke 274,589. Kini angka keahlian tentunya telah mencecah 9 angka. Kita menyedari, ada yang menyertai PAS kemudian gugur ditengah jalan kerana gagal bertahan dengan ujian atau tribulasi perjuangan ini justeru itulah sunnatullah, namun kita jangan kecewa dan putus asa untuk terus berdakwah, menyeru dan mengajak masyarakat ummat Islam menyertai PAS dan non muslim menyertai DHPP.
Biarpun seribu manusia sedang mentertawakan gerakkerja Amal Islami yang dilakukan oleh saudara, lalu menganggap dakwah saudara sebagai suatu lelucon dan kebodohan politik, yakin lah saudara sedang menjadi manusia dagang dan asing dengan Islam yang diperjuangkan. Sedang Rasulullah saw pernah menegaskan : Berbahagialah Sang Ghuraba'
Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
RENUNGAN
Masa
Kalendar Hijrah
AMANAH PRESIDEN
Kepimpinan Ulamak
TOK GURUKU
Hiwar
LEADERSHIP
PAUTAN GOMBAK
-
-
JAMBORI NISA' SELANGOR 201014 years ago
-
-
Planet7Oz On line casino1 year ago
-
Pertandingan PS2 sempena Euro 201212 years ago
-
UNITY
Pas For All
PAUTAN PAS GOMBAK
- http://pemudagombak.com
PAUTAN PAS
Blog Archive
Labels
- bulan islam (1)
- isu semasa (1)
- renungan (2)
- tokoh islam (1)