AKHLAK DAN DISIPLIN DI DALAM HARAKAH ISLAMIAH



Oleh: Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Terbitan: Lajnah Tarbiyah dan Latihan Perkaderan PAS Pusat

Muqaddimah

Kemantapan sebuah Harakah Islamiah berhubung erat dengan keteguhan aqidah atau prinsip perjuangannya dan keteguhan pegangan ahlinya di semua peringkat terhadap aqidah dan prinsip itu sehingga membuahkan wala’ dan melengkapkan diri dengan akhlak dan disiplinnya.
Perlu difahami bahawa tidak memadai sekadar hanya berdiri di atas dasar dan prinsip yang sebenarnya tanpa membina peribadi dengan akhlak berjamaah, oleh itu di bawah ini dikemukakan beberapa perkara yang menjadi sifat-sifat yang mesti dipunyai oleh pejuang-pejuang Islam untuk dijadikan perbincangan dan muhasabah kepada diri kita sendiri.

Akhlak Berjamaah

Supaya perjuangan kita diterima, direstui oleh Allah SWT dan mendapat pertolongan daripada-Nya, maka kita mestilah melengkapkan diri dengan sifat-sifat berikut:

1. Ikhlas
Pejuang Islam mestilah ikhlas dengan mempunyai niat yang sebenar kerana Allah, menuntut keredhaan-Nya dengan menegakkan agama-Nya sehingga didaulatkan.
Abu Musa Al Ashaari r.a menceritakan: Seorang Arab Badwi datang menemui Rasullah, dia berkata:
“Orang yang berperang kerana mahukan harta rampasan, orang berperang kerana mahu disebut orang, berperang kerana riya’, maka siapakah yang dikira berperang pada jalan Allah? Sabda Rasulullah:
من قاتل لتكون كلمة الله هي العليا فهو في سبيل الله
"Sesiapa yang berperang supaya ‘kalimatullah’ itu menjadi tinggi, maka dialah yang berperang di jalan Allah.”

Ini bermaksud perjuangan menegakkan Islam menurut situasi dan keadaan samada melalui pilihan raya sehinggalah berperang di negeri, tidak ada cara lain daripada mestilah dengan niat yang ikhlas. Firman Allah:
وما أمروا إلا ليعبدوا الله مخلصين له الدين
“Dan tidaklah diperintah kepada mereka melainkan mereka mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan perintah agama dengan lurus.” (al Bayyinah : 5)

Apabila mengikhlas niat kerana Allah semata-mata maka mestilah membersihkan hati dari sifat-sifat yang menrosakkan niat seperti riya’, ujub dan sum’ah.

Istiqamah

Mestilah berterusan di atas prinsip perjuangan dan beramal dengan segala tuntutannya dengan tidak berpaling dan cenderung ke arah yang lain, hanyut bersama arus, jauh sekali daripada melompat dan menyeleweng daripada perjuangan. Allah berfirman kepada Musa dan Harun yang menghadapi Firaun dalam menegakkan Islam di zamannya:

فَاسْتَقِيمَا وَلاَ تَتَّبِعَانِ سَبِيلَ الَّذِينَ لاَ يَعْلَمُونَ
“Maka kamu mestilah istiqamah dan janganlah kamu mengikut orang-orang yang tidak tahu”. (Yunus : 189)
Apabila Abu Sufian bin Abdullah berkata kepada Rasulullah saw:
“Katakan kepada saya dengan kata-kata yang jelas sehingga saya tidak perlu lagi bertanya seseorang yang lain darimu. Sabda Rasulullah:

قل آمنتُ بالله ثمّ استقِمْ
"Katakanlah aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah beristiqamah.”

Para rasul dan sahabat adalah orang yang paling istiqamah, tetapi mereka diperintah juga supaya beristiqamah. Ini menunjukkan bahawa sifat istiqamah sangat penting dan mestilah berterusan, kerana ia adalah tonggak dan cara untuk mendapat pertolongan Allah, bahkan orang yang tidak istiqamah amalannya sia-sia.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tiga perkara yang tidak memberi manfaat olehnya bersama sebarang amalan, iaitu menyekutukan Allah, menderhaka kepada kedua ibu bapa dan lari dari medan perjuangan.”

Taat

Ketaatan lahir daripada sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut, apabila pemimpin mempunyai keikhlasan dan menyatakan perngorbanan yang sebenar dan memberi perhatian kepada perjuangan dan pengilut-pengikutnya. Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, di masa senang dan susah, di masa lapang dan susah, di masa lapang dan sempit dalam perkara yang tidak maksiat. Firman Allah, maksudnya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنْكُمْ
“Hai orang-orang yang beriman, taatlah kamu akan Allah, taatlah kamu akan Rasul dan Ulil Amri (pemimpin di kalangan kamu)”. (an-Nisa : 59)

Rasulullah telah meneguhkan sifat ketaatan kepada para sahabatnya dengan melakukan bai’ah di antara Baitul ‘Aqabah yang terkenal sebelum melakukan hijrah.

Di dalam Bai’ah itu Rasulullah bersabda:

على السمع والطاعة في النشاط والكسل ، وعلى النفقة في العسر واليسر ،
وعلى الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر ،
وأن تقوموا في الله ولا تأخذكم لومة لائم ، وأن تنصروني إذا قدمت إليكم ،
وأن تمنعوني كما تمنعون أنفسكم وأزواجكم أولادكم ولكم الجنة
“Berbai’ahlah kepadaku di atas kewajipan taat di masa cergas dan di masa malas, sanggup berbelanja (infaq) di masa susah dan senang, menjalankan kewajipan menyuruh yang baik dan mencegah dari kemungkaran, bangun menyatakan agama Allah tanpa terjejas walaupun dicela, sanggup menolong aku apabila aku tiba kepada kamu dan sanggup mempertahankan aku sebagaimana kamu mempertahankan diri-diri kamu, isteri-isteri kamu, anak-anak kamu dan bagi kamu syurga.”

Ketaatan Yang Dituntut


a) Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan sehingga menjadi kelam-kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam jamaah atau parti yang mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa perpecahan dan wujudnya kumpulan atau jamaah dalam parti.

b) Ketaatan itu membawa kepada penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota dan sayap parti atau jamaah dan melaksanakan amal jamaie yang tidak boleh dijelaskan oleh pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera masing-masing sehingga jentera parti bercelaru dan tidak selaras antara satu sama lain.

c) Ketaatan juga dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai di dalam parti, kerana ada orang yang terlalu ke depan (advance), ada orang yang terlalu lambat dan ada yang sederhana.

Wala’

Kita melihat betapa kumpulan yang tidak Islam mengalami kelemahan dan kepupusan termasuk yang pernah memerintah negara besar, begitu juga dengan pertubuhan yang meletakkan nama Islam tetapi tidak mengambil Islam secara menyeluruh.

Oleh itu maka penekanan yang perlu diberi perhatian ialah peningkatan wala’ dan disiplin dalam jamaah yang dapat memelihara ketaatan dan perjalanan secara istiqamah. Firman Allah:

إِنَّمَا وَلِيُّكُمْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ
“Sesungguhnya wali kamu ialah Allah, rasulNya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka itu sentiasa ruku’”
(al Maidah : 55)

Wala’ dan hubungannya dengan Harakah Islamiah (PAS)

Dalam aspek ini perlu dibahagikan wala’ itu kepada beberapa aspek yang perlu diberikan penekanan.

a) Wala’ terhadap aqidah perjuangan
Sesungguhnya wali kamu ialah Allah dan Rasul-Nya. Wala’ dalam aspek ini berkait erat dengan ketaatan secara mutlak kepada Allah dan RasulNya, wajiblah beriman bahawa tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah dengan segala sifat ketuhanan yang Maha Suci dan juga beriman kepada rasul yang wajib dengan sifat-sifat kerasulannya.
Terkandung di dalam mafhum ketaatan dan wala’ kepada Allah dan rasul secara mutlak kepada Al Quran dan Al Hadith yang menjadi rukun dan hukum tertinggi bagi Harakah Islamiah, dan dalam konteks kita di Malaysia ini ialah Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

b) Wala’ kepada Jamaah
Menurut rukun dan hukum haram berjamaah haram kepada ahli yang telah memberi bai’ah kepada jamaah tiba-tiba memberi wala’ kepada kumpulan lain samada yang jelas menentang Islam atau kumpulan yang bernama Islam. Ini bercanggah dengan akhlak berjamaah dan merosakkan perpaduan jamaah, strategi dan jenteranya.
Adapun wala’ kepada jamaah itu bergantung kepada wala’ jamaah terhadap aqidah perjuangan yang sebenar dan menjadi kewajipan kepada ahli mempertahankannya daripada menyeleweng.

c) Wala’ kepada pemimpin
Kepimpinan di semua peringkat merupakan salah satu daripada tonggak yang penting kepada jentera dan perjalanan jamaah. Oleh yang demikian wala’ kepada pemimpin dalan pengertian kasih dan taat mestilah diberi dengan penuh tanggungjawab. Wala’ ini mesti diberi di semua peringkat pimpinan. Ia juga bergantung kepada perinsip perjuangan parti atau jamaah.

Disiplin


Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaran kamu dan tetap bersedia dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu berjaya.” (Ali Imran : 200)

Perkara yang ditakrifkan dengan disiplin ialah sebagaiman berikut:

1. Tatatertib dan kelakuan diri
2. Peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik
3. Kepatuhan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan
4. Hukuman atau denda kerana melanggar peraturan
5. Harakah Islamiah (PAS) telah menetapkan perkara-perkara ini secara menetapkannya di dalam perlembagaan parti secara tegas. Di antaranya ialah menetapkan perkara yang dinamakan tatatertib:

1. Taat kepada hukum-hukum dan ajaran Islam yang menjadi dasar jamaah
2. Patuh kepada perlembagaan parti serta aturan dan peraturannya
3. Taat kepada arahan dan perintah jamaah
4. Melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditugaskan oleh jamaah sedaya upaya yang boleh.
5. Menjaga dengan cermat segala rahsia jamaah
6. Beramal dengan akhlak Islam
7. Mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau
merugikan jamaah

Penutup

Akhlak dan disiplin penting bagi setiap ahli demi kebaikan jamaah. Setiap ahli mesti berdisiplin dan melengkapkan diri dengan akhlak Islam bagi meningkatkan kejayaannya kepada sasaran dakwah dan matlamat kerana tindakan individu ahlinya menjadi contoh dan perhatian di samping dapat mewujudkan jentera dalaman yang baik bagi mentadbir segala kegiatannya.
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates