Hamas memperbaharui ikrar harungi perjuangan



Harakah-Fikrah, Edisi Jumaat, 23-25 April 2010)

Oleh: Imran al-Malizi (imran_almalizi@yahoo.com)

Pihak penjajah Israel telah mengisytiharkan penutupan semua laluan masuk ke Tebing Barat selama lima hari bermula pada hari Sabtu hingga tengah malam Rabu (17-21 April 2010). Ini bersempena apa yang disebut 'hari kemerdekaan' Israel pada 20 April baru-baru ini.

Mungkin kemerdekaan bagi orang-orang Zionis Yahudi ialah apabila mereka menduduki tanah air yang telah dirampas secara kejam dan zalim. Bagi penduduk asal bumi Palestin, perayaan kemerdekaan itu hanyalah suatu pembohongan yang mesti ditentang dengan keras.

Radio Israel menyiarkan laporan bahawa semua laluan masuk ke Tebing Barat akan ditutup kepada dunia luar selama tempoh tersebut. Pihak polis Israel telah mengumumkan bahawa pihaknya berada dalam keadaan berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya serangan dalam perayaan tersebut.

Sememangnya pihak keselamatan regim tersebut akan meningkatkan langkah berjaga-jaga pada setiap musim perayaan dan sambutan tertentu seperti Paskah, Purim dan lain-lain.
Dalam tempoh itu juga, Hamas telah memperbaharui ikrar untuk meneruskan perjuangan dan penentangan terhadap penjajahan bagi mempertahankan dan membebaskan tanah air mereka. Ikrar itu dilakukan ketika menyambut ulang tahun ke-6 sempena pembunuhan pemimpin mereka Dr. Abdul Aziz Al-Rantisi pada hari Sabtu (17 April 2010) baru-baru ini.

Dr. Abdul Aziz Al-Rantisi telah menemui syahid pada 17 April 2004 iaitu tidak sampai sebulan selepas pembunuhan pemimpin tertinggi Hamas, Syeikh Ahmed Yassin (22 Mac 2004). Beliau telah menjadi inspirasi kepada generasi pejuang muda dalam pergerakan tersebut terus menyalakan api perjuangan jihad menentang penjajahan.

Sempena sambutan tersebut di Khan Younis, seorang pemimpin senior Hamas, Saleh Al-Ruqub telah berucap bahawa gerakan Hamas ini telah berjanji setia untuk mengikut jejak langkah para pemimpin tertinggi mereka dan masih tegar menghadapi segala cabaran.

Dalam ucapannya juga Al-Ruqub telah mengimbau kembali keperibadian Dr. Al-Rantisi dan pengorbanan besar yang telah dicurahkan dalam perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan tanah air Palestin. Beliau yang merupakan pemimpin yang pernah bersama-sama Syeikh Ahmed Yassin mengasaskan penubuhan Hamas kerana melihat tiada jalan perdamaian yang boleh membawa kepada kemerdekaan bumi Palestin.

Baru-baru ini juga Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengakui kuasa AS untuk mempengaruhi rundingan damai antara Israel dan Palestin adalah terhad. Beliau juga menyatakan harapan untuk melihat perdamaian adalah kecil walaupun pernah mengumumkan isu timur tengah akan menjadi perhatian utama dalam pentadbirannya semasa mula memasuki rumah putih dahulu.

Maka itu, pendirian Hamas yang selama ini sangat konsisten dalam meneruskan penentangan dan enggan menyerahkan tanahair mereka kepada penjajah Israel adalah sangat signifikan.

Ini kerana umum telah mengetahui bahawa tiada perdamaian akan berlaku dengan sikap Israel yang selalu melanggar perjanjian demi perjanjian. Bahkan AS sendiri adalah sekutu Israel yang tidak perlu diragui lagi.

Dalam kenyataan yang lain berikutan isu tahanan rakyat Palestin di penjara-penjara Israel, Hamas telah menegaskan bahawa penentangan rakyat Palestin tidak sekali-kali akan mengabaikan nasib para tahanan Palestin yang sedang merengkok dalam penjara. Walau apa pun yang berlaku, Hamas tidak akan berdiam diri sehinggalah semua tahanan dapat dibebaskan.

“Pada hari kebesaran ini, sempena meraikan para tahanan Palestin, kita mesti meningkatkan tahap ketabahan wirawan kami di penjara dalam menghadapi kesusahan diseksa dan dianiaya di hadapan para pemuka Arab serta beberapa orang pemimpin yang telah menjual segala-galanya demi meraih kepentingan peribadi," demikian kenyataan itu menyebut.

Dr. Khalil Al-Hayyah, salah seorang ahli Biro Politik Hamas telah menyebut bahawa isu para tahanan Palestin di penjara Israel adalah sama seperti isu-isu Palestin lain yang perlu kepada publisiti dan tindakan penentangan bersenjata.

Dr. Hayyah memberitahu dalam sidang media di Gaza baru-baru ini bahawa rakyat Palestin tidak mungkin dapat mencapai matlamat mereka, terutamanya untuk membawa masuk para pelarian kembali ke tanah air mereka dan membebaskan para tahanan tanpa kebangkitan yang menyeluruh dan program penentangan yang bersepadu untuk menghalau golongan penjajah keluar dari bumi Palestin.

Dianggarkan berpuluh-puluh ribu rakyat Palestin yang sedang ditahan dalam penjara-penjara Israel. Pada hakikatnya, para tahanan Palestin ini adalah tahanan perang dan bukannya penjenayah perang.

Ini kerana mereka mempertahankan kedaulatan bumi Palestin yang telah dicemari oleh Pengisytiharan Balfour pada tahun 1917.

Mereka mestilah diberikan hak mengikut peraturan antarabangsa yang menjanjikan pembebasan dan kehormatan sebagai seorang manusia. Kemerdekaan adalah suatu yang sangat diimpikan bagi mana-mana bangsa yang bermaruah.

Tiada kemerdekaan bagi Israel kerana penentangan rakyat Palestin masih berterusan. Tidak berlaku kemerdekaan bagi Palestin selagi mana penjajah Zionis belum dihalau keluar.

KETUK MINDA SIKIT

Adakah Anda Faham Islam Sebagaimana Abu Jahal Faham Islam?

Pelik bukan, mendengarkan tajuk artikel ini. Benar, Abu Jahal dan Abu Sufyan (ketika masih belum terima Islam) mungkin sekali memahami Islam lebih daripada kita ini yang telah bershahadah dan mengaku diri ini sebagai seorang Muslim.

Pelik bukan, bagaimana dua orang tokoh penentang Islam boleh sahaja memahami Islam ini dalam konteks untuk menerimanya. Sehinggakan mereka menjadi penentang yang amat tegar dan penzalim terhadap ummat Islam yang terawal.

Dengan ini saya bawakan dua buah kisah yang amat menarik, yang mungkin sekali membuktikan betapa mereka ini memahami Islam itu.

Kisah Abu Jahal

Abu Jahal nama sebenarnya adalah Amr Ibn Hisyam. Dia merupakan pemimpin arab jahiliyah yang terkenal. Digelar Abu Jahal kerna kejahilan nya terhadap Islam dan kerana kejahilannya itu dia menentang. Bukan lah maksudnya dia jahil itu dia tidak mengetahui tetapi dia mengetahui dakwah Rasul itu, memahaminya, tetapi menentang dengan cukup tegar sekali.

Dia juga digelar sebagai Abu Hakam; dimana gelaran ini membawa maksud seorang yang memiliki kebijaksanaan (father of wisdom).

Jadi bagaimana kita hendak katakan yang seorang yang digelar sebagai 'father of wisdom' ini tidak memahami dua kalimat arab yang mempunyai makna tiada ilah selain Allah dan Muhammad itu Rasullullah.

Abu Jahal merupakan seorang arab bahkan digelar dengan gelaran Abu Hakam, maknanya dia ini pastinya seorang yang arif dalam hal-hal bahasa sebagaimana seorang hakim memahami bahasa perundangan. Tetapi kenapa tetap juga ditolak Islam itu mentah-mentah bahkan menentang dengan penuh tegar dan dahsyat?

Diceritakan suatu ketika Ar-Rasul berdakwah kepada kaum kerabatnya dengan mengajak kepada tiada ilah selain Allah dan Muhammad itu Rasul Allah, maka berdiri dengan lantangnya Abu Jahal ini dengan berkata,

"Jika itu kau bawakan kepada kami wahai Muhammad, maka kau telah melancarkan perang terhadap seluruh jazirah Arab tidak kira dengan orang arab atau bukan arab!".

Lihat saudaraku, seiman dengan ku, kenapa kah kalimah yang kita lihat sebagai kalimah yang mudah ini boleh menyebabkan orang seperti Abu Jahal itu memerangi Muhammad SAW?

KENAPA KALIMAH YANG SERINGKALI KITA SEBUTKAN DAN LAFAZ SETIAP HARI SEPERTI TIADA APA-APA INI DI FAHAMI OLEH ABU JAHAL SEHINGGA DIA MENENTANG DENGAN PENUH TEGAR?

Maka tidak kah kita terfikir APAKAH MAKSUD SHAHADAH ITU SATU PERSATU? Dari makna kesaksian kepada maksud ilah kepada mengenal siapa itu Allah sehingga kepada mengakui dan mengenal apa itu Rasul dan siapakah Muhammad itu sebagai Rasul, sebagaimana difahami oleh Abu Jahal?

Kisah Abu Sufyan

Ibnu Abbas r.a. mengatakan bahwa Abu Sufyan bin Harb bercerita kepadanya, bahwa Heraclius (Herclius, Raja Rumawi Timur yang memerintah tahun 610 - 630 M) berkirim surat kepada Abu Sufyan menyuruh ia datang ke Syam bersama kafilah saudagar Quraisy (Quraisy, nama suku bangsawan tinggi di negara Mekkah).

Waktu itu Rasullah saw, sedang dalam perjanjian damai dengan Abu Sufyan dan dengan orang-orang kafir Quraisy (Perjanjian damai, yaitu Perjanjian Hudaibiyah yang dibuat tahun 6 H). Mereka datang menghadap Heraclius di Ilia (Ilia, yaitu Baitul Maqdis (Jerusaalem)) terus masuk ke dalam majlisnya, dihadapi oleh pembesar-pembesar Rumawi.

Kemudian Heraclius Memanggil orang-orang Quraisy itu beserta Jurubahasanya. Ceritanya barangkali panjang maka saya ringkaskan kepada satu perbualan sahaja.

Heraclius: "Apakah yang diperintahkannya kepada kamu sekalian?"
Abu Sufyan: "Dia (Muhammad) menyuruh kami menyembah Allah semata-mata, dan jangan mempersekutukan-Nya. Tinggalkan apa yang diajarkan nenek moyangmu! Disuruhnya kami menegakkan Shalat, berlaku jujur, sopan (teguh hati) dan mempererat persaudaraan!"

Lihat, Abu Sufyan memahami apa yang dibawa Ar Rasul, yakni shahadah itu. Tetapi kenapa ketika itu dia tidak mahu terima Islam? Apa yang ada sebenarnya dalam kalimat yang kita lihat sebagai mudah itu sehingga Abu Jahal memeranginya dan kaisar romawi begitu ingin tahu terhadapnya?

Apa yang ada pada kalimat itu sehingga kedua tokoh arab itu memahaminya dan menolaknya sedangkan ada yang menerimanya dengan hati terbuka seperti Abu Bakar As Siddiq dan ada yang menerimanya setelah memahaminya walaupun sebelumnya berniat membunuh Ar Rasul seperti Umar Ibn Khattab?

Kalimah shahadah itu merupakan perjanjian yang teguh antara seorang insan dengan penciptanya tanpa perantaraan manusia. Tanpa paderi yang menjadi perantara. Hubungan terus antara manusia dengan Allah. Dimana kita menerima Allah itu sebagai ilah dan Muhammad itu sebagai Rasul Nya?

Apakah ilah itu sehingga kita sebutkan ilah itu sebagai Tuhan? Ilah itu adalah: "Yang diharapkan, Yang ditakuti, Yang diikuti, Yang dicintai" dimana sifat itu difahami dengan sebetulnya.

Di mana kita letakkan syahadah kita?

gambar hiasan

Masalahnya kini kita telah mencipta banyak ilah lain selain Allah secara kita tidak sedar. Saya sebagai remaja ingin memberi contoh, kita punya kekasih hati (orang sarawak panggil gerek) dan kita harapkan dia, kita sayangkan dia sepenuh hati, kita ikut kehendaknya, kita takut kalau dia merajuk atau sedih dan kita cintai dia sepenuh hati kita. Bukankah itu kita telah menciptakan ilah yang lain?!!

Benar, kita senang katakan yang kita mencintai Allah lebih dari segalanya, lebih dari kekasih kita itu. Tetapi adakah iman itu hanya dibuktikan dengan kata-kata kosong sedangkan perlakuan kita tidak menunjukkan dan membuktikan apa yang kita ucapkan bahkan berlawanan dengan apa yang kita katakan cinta kita sepenuhnya kepada Allah???

Dimana sebenarnya kita letakkan Allah itu sebagai ilah dan lebih lagi dimana kita letakkan pengertian kita bershahadah??? Bahkan dalam konteks remaja yang berkasihan dengan lawan sejenisnya itu melakukan maksiat kepada Allah dalam dia berkata dia mencintai Allah lebih dari segalanya. Itu sesuatu yang sangat keji dan menyedihkan.

Mungkin dalam konteks sebagai dewasa, sebagai pekerja, pembaca mungkin boleh berfikir sendiri betapa kita telah mencipta sembahan dan ilah selain Allah. Dimanakah nilai kita ini sebagai seorang yang bershahadah? Adakah kita bershahadah dengan bermain-main? Ataupun kita anggap shahadah itu sebagai kata-kata kosong yang tidak ada harga dan isinya??

Lihat saudara ku, betapa sehingga Abu Jahal itu menentang Islam kerana dia tahu bilamana dia menerima Allah itu sebagai satu-satunya ilah dia perlu dan wajib menolak ilah lain yang telah dia ciptakan seperti kekuasan, kekayaan dan darjat. Bilamana dia memahami maksud ilah itu, dia menentang Islam bahkan melancarkan perang terhadap Islam.

Sesungguhnya Abu Jahal ini benar-benar memahami shahadah itu dan memahami maksud ilah yang sebenar. Adakah kita faham Islam itu sebagaimana Abu Jahal memahaminya, atau lebih teruk lagi??

Fikirkanlah..:

"dan diantara manusia ada yang menyembah selain Allah sebagai tandingan yang mereka cintai seperti mencintai Allah. Adapun orang-orang beriman amat besar cintanya kepada Allah." 2:165

LU FIKIRLAH SENDIRI BEB.....!??????

Zionis usir penduduk Tebing Barat



(Harakah-Fikrah, Edisi Jumaat, 16-18 April 2010)

Oleh: Imran al-Malizi (imran_almalizi@yahoo.com)

Pihak penjajah Israel pula telah mengeluarkan satu arahan ketenteraan terbaru yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat. Satu ketetapan untuk mengusir keluar beribu-ribu penduduk Palestin dari Tebing Barat.

Pada peringkat permulaan, perintah itu akan dikenakan kepada rakyat Palestin yang dilahirkan di semenanjung Gaza atau memiliki anak yang dilahirkan di wilayah itu. Perintah ini turut dikenakan kepada sesiapa yang hilang hak kerakyatan di Tebing Barat kerana sebab-sebab tertentu termasuk warga asing yang berkahwin dengan rakyat Palestin.

Akhbar Yahudi, Haaretz melaporkan polisi terbaru Israel ini akan memberi kesan terhadap pengusiran 10 ribu penduduk Palestin yang mendiami Tebing Barat atau sebahagiannya bakal dihadapkan dengan dakwaan melakukan jenayah.

Ini merujuk kepada mana-mana penduduk yang tidak memiliki kad pengenalan yang dikeluarkan oleh pemerintah Israel. Juga yang akan menerima kesan daripada polisi ini ialah para pekerja asing yang bertugas di kawasan yang berada di bawah kuasa terhad orang-orang Palestin.

Pihak pertahanan dan ketenteraan Israel telah mengesahkan persiapan untuk melaksanakan arahan terbaru ini bagi mengatasi aktiviti pencerobohan dan kemasukan yang tidak melalui pentadbiran rasmi mereka.

Arahan terbaru ini menimbulkan banyak persoalan dan tanda tanya berhubung status penduduk Palestin di sebelah timur al-Quds (Jerusalem) yang berkemungkinan disifatkan oleh pihak penjajah sebagai golongan pendatang.

Bahkan ketetapan ini juga turut mengancam penduduk yang memiliki kad pengenalan dari semenanjung Gaza yang menyeludup masuk di Tebing Barat sebagai penceroboh atau warga asing.

Bahkan akhbar Haaretz juga mendakwa arahan yang kurang jelas dan kabur itu bakal memberi kesan kepada warga mana-mana negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel seperti Amerika Syarikat dan sebagainya. Ini termasuk penduduk di wilayah yang dikuasai Israel sama ada berketurunan Arab atau Yahudi.

Kerajaan Palestin yang dipimpin oleh Ismail Haniyya (Hamas) telah memberi amaran kepada pihak pemerintah Israel berhubung ancaman pengusiran tersebut sambil menggesa rakyat Palestin supaya jangan akur kepada arahan pihak penjajah tu.

Jurucakap kerajaan, Taher Al-Nunu memberitahu bahawa pihak penjajah Israel sedang melaksanakan program untuk mengosongkan tanah yang didiami oleh rakyat Palestin bermula di Jerusalem dan seterusnya ke seluruh Tebing Barat.

Tindakan ini bertujuan untuk menguasainya wilayah tersebut secara keseluruhan. Taher dalam kenyataannya menuntut negara-negara Arab agar bangkit membantah polisi baru ini.

Sheikh Nafedh Azzam, anggota biro politik pergerakan Jihad Islami dalam kenyataan media menyatakan bahawa keputusan pemerintah Israel ini adalah amaran yang jelas kepada rakyat Palestin untuk menyelesaikan permasalahan mereka dan sebagai satu mesej kepada orang-orang Arab agar mengambil pendirian tegas terhadap negara Israel dan pihak yang mendokongnya.

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum memberitahu bahawa perintah yang dikeluarkan oleh penjajah itu besifat perkauman dan sangat berbahaya kepada hak-hak rakyat Palestin.

Beliau mendakwa pihak penjajah Israel mahu mengerahkan segala kemampuan yang ada untuk mengusir sejumlah besar penduduk Palestin dalam usahanya untuk memperluaskan wilayah jajahannya bagi membawa lebih ramai pendatang Yahudi mendiami negara itu.

Seorang ahli parlimen, Dr. Mustafa Al-Barghouthi menegaskan perkara ini sebagai satu tindakan penghapusan etnik. Beliau juga menyifatkan tindakan itu dibuat dengan penuh provokatif dan tanpa pertimbangan kerana pihak penjajah Israel berkeyakinan bahawa mereka berada dalam perjalanan untuk menyisihkan kepentingan Palestin.

Perkara ini jelas kerana majoriti penduduk Palestin di Tebing Barat dinafikan hak untuk memiliki sebarang dokumen pengenalan diri. Ini mendedahkan sejumlah besar angka penduduk di situ kepada ancaman pengusiran.

Tentera Israel mula menduduki Tebing Barat dan menguasai Jerusalem pada tahun 1967 dalam Perang Enam Hari yang dilancarkan pada tahun itu. Semenjak itu, mereka mula meletakkan matlamat untuk membina penempatan pendatang Israel di wilayah tersebut dengan langkah-langkah memperluaskan jajahan dan mengusir keluar para penduduknya.

Dalam perkembangan yang lain, rakyat Gaza yang sebelum ini menghadapi tindakan khianat pemerintah Mesir yang menyekat dan menutup satu-satunya jalan untuk mereka mendapatkan bekalan asas untuk terus hidup.

Pembinaan tembok besi oleh pemerintah Mesir di sepanjang 10 km dengan kedalaman 30 meter di sempadan Rafah-Gaza sudah memasuki fasa akhir dan kelak bakal menutup seluruh terowong yang pernah berkhidmat menyalurkan bahan-bahan makanan dan ubat-ubatan ke bumi berdarah itu.

Menurut PIC, sumber tempatan memberitahu bahawa pihak berkuasa Mesir telah melipat gandakan penggunaan alat-alat jentera dalam kerja penggalian dan menjangka 70% pembinaan tembok tersebut telah disempurnakan. Matlamatnya agar kira-kira 1000 buah terowong yang terletak di sepanjang sempadan negara mereka dapat ditutup.

Badan-badan hak asasi Palestin menganggarkan bahawa 142 orang telah pun terkorban di dalam terowong-terowong tersebut sepanjang 2 tahun kebelakangan ini.

Tekanan demi tekanan yang dikenakan terhadap para penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat sewajarnya membuka mata para pemimpin negara-negara Arab agar tidak hanya melihat kepentingan kerusi kuasa mereka semata-mata.

Dunia Arab dan Islam perlu menyuarakan bantahan tegas terhadap usaha Zionis Israel untuk menghapuskan penduduk Palestin dari tanahair mereka. Persidangan demi persidangan yang dianjurkan Kesatuan Arab sebelum ini tidak lain hanyalah sekadar melepaskan batuk di tangga.

Kredibiliti Hamas dan berundurnya Yahudi dari Gaza



(Harakah-Fikrah, Edisi Jumaat, 2-4 April 2010)

Oleh: Imran al-Malizi
(imran_almalizi@yahoo.com)


Penjajah Israel telah mengetatkan kawalan di seluruh Tebing Barat dan menutup jalan-jalan masuk ke wilayah tersebut bermula tengah malam Jumaat (26 Mac 2010) hingga pertengahan malam Selasa (30 Mac 2010) yang lalu. Ini berikutan perayaan hari besar Paskah bagi penduduk Yahudi di situ.

Paskah atau Pesakh bagi umat Yahudi adalah perayaan yang dirayakan pada hari ke-15 dalam bulan yang disebut Nisan iaitu bulan pertama dalam kalendar Ibrani. Perayaan ini berlangsung selama lapan hari dan dirayakan untuk memperingati peristiwa keluarnya Bani Israel dari belenggu perhambaan di Mesir.

Maka itu bagi mengelakkan sebarang kejadian yang mengancam keselamatan warga Israel yang menyambut perayaan "Hari Pembebasan" tersebut di wilayah barat al-Quds (Jerusalem), pihak pemerintah Zionis telah bertindak menghalang warga Palestin daripada masuk melalui jalan-jalan utama.

Akhbar Ibrani - Yedeot Aharonot (28 Mac 2010) melaporkan, pasukan polis Israel menyatakan bahawa pihaknya sedang menyiapkan beribu-ribu anggota untuk ditempatkan di beberapa pos dan sempadan semenjak petang hari Sabtu.

Akhbar ini juga membayangkan terdapat persiapan berlipat kali ganda yang dilakukan pasukan keselamatan Zionis berikutan ketegangan yang terjadi sejak kebelakangan ini di kota Al-Quds.

Perkembangan terakhir menyaksikan pertempuran di antara polis Israel dengan warga Palestin yang berusaha mempertahankan kesucian kota Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa daripada pencerobohan musuh mereka.

Situasi ini menuntut pasukan keselamatan Zionis untuk mempertingkatkan kawalannya hingga memutuskan laluan perhubungan antara Tebing Barat dan Gaza.

Penjajah Zionis juga telah melarang penduduk Palestin yang tinggal di wilayah jajahan mereka daripada memasuki Tebing Barat. Berikutan itu, penentangan dari penduduk Palestin terus berlaku kerana mereka menganggap tindakan pihak penjajah itu sengaja menafikan hak mereka untuk memasuki ibu negara al-Quds.

Dalam perkembangan yang lain, pihak tentera Israel telah mengakhiri serangannya terhadap wilayah Gaza, sehari selepas pasukan tenteranya terlibat dalam pertempuran dahsyat dengan tentera Hamas baru-baru ini. Ternyata kekuatan Hamas tidak dapat ditundukkan walaupun pihak penjajah telah mengerahkan tenteranya dengan sokongan kuasa-kuasa luar.

Serangan itu bertujuan memalingkan sokongan rakyat di Gaza daripada menyokong Hamas, namun kredibiliti Hamas masih kukuh untuk menerajui pemerintahan di wilayah tersebut.

Agensi berita Al-Jazeera melaporkan pasukan tentera dan kereta kebal telah bergerak meninggalkan Gaza pada hari Sabtu setelah pertarungan berdarah yang berlarutan selama lebih 14 bulan.

Pertarungan berdarah pada hari Jumaat dan Sabtu lalu telah mengakibatkan dua orang tentera Israel terbunuh manakala sekurang-kurang seorang warga Palestin terkorban.
Pihak ketenteraan Israel telah mengesahkan dua orang tentera mereka telah terbunuh manakala dua yang lain mengalami kecederaan. Pertarungan tersebut adalah yang paling sengit semenjak serangan Israel selama tiga minggu pada tahun lalu.

Briged Izzuddin al-Qassam yang merupakan sayap tentera Hamas telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah terlibat dalam pertempuran senjata dengan ketenteraan Israel selepas diserang secara mengejut pada minggu lalu.

Jurucakapnya Abu Ubaidah telah berkata, "Pasukan tentera Israel telah melancarkan serangan secara tiba-tiba dalam jarak 500 meter ke wilayah yang diduduki oleh rakyat Palestin dan terpaksa berdepan dengan pasukan bersenjata kami." Beliau juga menambah bahawa pihak Hamas hanyalah mempertahankan keselamatan awam di wilayah mereka.

Al-Jazeera melaporkan situasi di Gaza kelihatan beransur baik walau pun diakui suasana di sana masih lagi dalam keadaan tegang. Kelihatan beberapa buah helikopter berlegar-legar di ruang udara Gaza.

Dalam pada itu, pihak penjajah Israel mendakwa sebuah peluru roket telah dilancarkan dari Gaza ke wilayah yang diduduki penduduk Israel. Namun tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab. Serangan itu mengenai tanah lapang dan tidak mencederakan sesiapa.

Pihak Hamas dilaporkan berkata, "Ini bukanlah masanya untuk membawa penduduk Israel kepada konflik yang lebih besar.. mereka mengakui bahawa penduduk Gaza pada ketika ini inginkan suasana aman melebihi segalanya."
Sebagai respon kepada kematian rakyatnya, Kementerian Pertahanan Israel telah mengeluarkan kenyataan ancaman kepada Hamas.

"Kami biasa melihat permainan orang-orang (Palestin) yang melancarkan serangan tembakan dan Hamas pula cuba untuk meredakan keadaan. Kemungkinan ia sedang hilang pengawalan atas pelbagai sebab dan alasan," Ehud Barak berkata dalam televisyen Israel pada Jumaat lalu.

Beliau menambah, "Kami tidak berminat untuk kembali ke kawasan itu (Gaza) atas perkara yang telah lepas."

Beberapa orang saksi kejadian telah memberitahu berlakunya kejadian berbalas-balas tembakan selepas satu letupan yang berkemungkinan berpunca daripada tembakan peluru anti-kereta perisai yang dilancarkan dari bandar Khan Younis lalu mengenai pasukan tentera Israel di tengah-tengah sempadan Gaza.

Kemudian pihak tentera Zionis bertindak melepasi sempadan dengan kelengkapan kereta kebal untuk menuju ke tempat sasaran itu dilancarkan sehinggalah berlaku pertempuran.

Apa pun alasan yang dikemukakan, kezaliman tentera penjajah Zionis sebelum ini terhadap penduduk Gaza bukanlah suatu perkara yang menjadi rahsia. Sekatan yang berlarutan dalam tempoh lebih 2 tahun sehinggalah peperangan yang dilancarkan telah membuktikan kezaliman mereka.

Apatah lagi penggunaan bom fosforus putih dalam serangan terhadap penduduk awam telah mengundang bantahan dan kemarahan masyarakat dunia antarabangsa.

Namun, sesuatu yang menarik ialah Ehud Barak telah mengumumkan pengunduran keluar tentera Israel dari sempadan Gaza dalam suasana mereka menyambut perayaan Paskah, bagi memperingati keluarnya bangsa mereka dari bumi Mesir kerana lari dari belenggu perhambaan.

Kini keluarnya mereka dari bumi Gaza pula kerana tidak berjaya memperhambakan bangsa lain yang ingin hidup merdeka.

REDHA AND IKHLAS

1) Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.

2) Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t.

3) Redha terhadap Allah s.w.t terbahagi kepada dua :

* Redha menerima peraturan ( hukum ) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada manusia.
* Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.

Redha Menerima hukum Allah s.w.t. :

Redha menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.

Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( Surah An-Nisaa' : Ayat 65 )

Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".
( Surah At Taubah : Ayat 59 )

Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib mahupun yang Sunnah ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah dijauhi dengan lapang dada .

Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ". ( Surah Muhammad : Ayat 26 )

Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah s.w.t. , yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.

Redha Dengan Qada' :

Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.

Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :
" Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan ".

Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda mengucapkan :
" Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".

Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud :

" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata... itu memberi peluang pada syaitan " . (Riwayat Muslim)

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :

Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :


" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".
( Riwayat Muslim )




Belajarlah untuk ikhlas.

Sifat ikhlas ialah menumpukan niat bagi setiap ibadah atau kerja yang dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t. dan diqasadkan ( niat ) untuk menjunjung perintah semata-mata serta membersihkan hati dari dosa riya’ , ujub atau inginkan pujian manusia.

Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran yang bermaksud :

“ Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah s.w.t. dengan mengikhlaskan ibadah kepadanya , lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar “.
( Surah Al-Bayyinah – Ayat 5 )

Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibersihkan daripada sesuatu tujuan yang lain daripada taat kepada perintah Allah s.w.t. Hendaklah dibersihkan niat daripada sebab-sebab yang lain dari sifat-sifat yang keji ( sifat mazmumah ) seperti riya’ , ujub , inginkan kemasyhuran dan lain-lain lagi. Dalam meninggalkan larangan Allah s.w.t. hendaklah diniatkan untuk taat semata-mata bukan kerana malu kepada makhluk atau sebagainya. ( Rujukan Kitab - Mengenal Ilmu Tasawwuf – Mohd Sulaiman bin Hj. Yasin )
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates