(Harakah-Fikrah, Edisi Jumaat, 15-17 Muharram 1431H / 8-10 Januari 2010, F14)
duniaKu duniaMu
Fatwa ulama mengecam pembinaan tembok Rafah
Oleh: Imran al-Malizi
(imran_almalizi@yahoo.com)
Nampaknya tempoh pengkhianatan terhadap saudara-saudara kita di Gaza masih belum berakhir. Pemerintah Mesir masih tidak mengambil pengajaran atas kecaman dunia sebelum ini apabila secara terang-terangan menjadi sekutu negara Israel menekan penduduk semenanjung Gaza dalam peperangan yang telah berlalu lebih setahun lalu.
Kini kerjasama Mesir dengan regim penjajah itu dibuktikan lagi dengan pembinaan tembok di laluan Rafah. Tujuan pembinaan tembok tersebut adalah bagi menyekat laluan terowong bawah tanah yang merupakan satu-satunya jalan bagi membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza.
Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Dr. Yusuf al-Qaradhawi meminta Mesir menghentikan pembinaan tembok di sepanjang sempadan semenanjung Gaza. Beliau menyifatkan pembinaan itu sebagai haram di sisi hukum syarak. Pada masa yang sama, beliau juga menuntut agar Mesir membuka sempadan Rafah untuk penduduk Gaza.
Menurut beliau, pembukaan pintu sempadan di Rafah merupakan satu kewajipan syarak malah bertepatan dengan undang-undang. Jika tidak Mesir turut sama terlibat dalam usaha Zionis untuk menghapuskan penduduk di semenanjung berdarah tersebut.
Beliau menambah dalam kenyataannya, bahawa negara Mesir bebas dan mempunyai hak untuk mentadbir negaranya sendiri. Tetapi Mesir tiada hak untuk membunuh kaumnya, saudaranya, jirannya dari kalangan rakyat Palestin. Beliau menegaskan hal demikian sebagai tidak harus dari semangat kebangsaan Arab, dari segi Islam atas nama persaudaraan sesama Islam malah tidak harus dari segi kemanusiaan.
Menurutnya lagi, pembinaan tembok itu hanya memberi manfaat kepada regim penjajah Israel. Keadaan ini seakan-akan pemerintah Mesir mengatakan kepada penduduk Gaza, "Matilah kamu sekalian! Hidup Israel!"
Seorang ulama Arab Saudi dari Universiti al-Imam - Riyadh, Dr. Yusuf Abdullah al-Ahmad juga mengeluarkan fatwa bahawa haram membina tembok bagi menyekat terowong yang menghubungkan bantuan luar dengan penduduk Gaza.
Beliau juga berfatwa bahawa pembinaan tembok tersebut adalah haram dari segi syarak dan menganggapnya termasuk daripada dosa-dosa yang paling besar dalam Islam. Ini kerana perbuatan itu adalah termasuk membantu orang-orang kafir menentang kaum muslimin.
Menurut beliau lagi, telah sabit satu hadis dalam Sahih al-Bukhari bahawa seorang perempuan memasuki neraka kerana mengurung seekor kucing sehingga mati kelaparan. Dia tidak memberinya makan atau membiarkannya mencari makan sendiri. Jika begitu, bagaimanakah pula perbuatan melakukan sekatan kepada orang-orang Islam?
Beliau juga mengisyaratkan bahawa adalah berdosa bagi sesiapa sahaja yang terlibat dalam jenayah tersebut sama ada dengan kata-kata atau dengan perbuatannya sehingga melakukan kerja-kerja pembinaan tembok itu secara langsung.
Kerana hal itu termasuk dalam perbuatan saling tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan. Allah Ta'ala telah melarang hal tersebut: "..dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.." (al-Maidah: 2)
Beliau menambah bahawa menjadi kewajipan ke atas umat Islam secara umumnya dan kepada mereka yang berkuasa agar mengambil tindakan segera untuk menghentikan pembinaan tembok itu, menghapuskan sekatan dan kezaliman terhadap saudara-saudara kita di Gaza. Beliau berpesan kepada mereka yang terlibat dengan pembinaan tersebut supaya tidak menjual agama dengan nilai dunia yang sedikit.
Kesatuan Ulama Palestin pula mengeluarkan kenyataan bahawa pembinaan tembok tersebut adalah usaha yang bersungguh-sungguh pihak musuh untuk memastikan penduduk Gaza mati dalam kelaparan. Ini merujuk kepada matlamat yang disasarkan pada lokasi terowong-terowong bawah tanah yang merupakan satu-satunya laluan untuk membawa masuk bekalan makanan dan keperluan harian yang lain.
Mereka menuntut pemerintah Mesir menghentikan serta merta pembinaan tembok tersebut sebagaimana mereka juga menyeru agar laluan Rafah dibuka dan tekanan serta sekatan terhadap penduduk Gaza dihapuskan. Seluruh dunia Islam juga diseur agar memberikan tekanan ke atas pemerintah Mesir atas perbuatan jenayah mereka ini.
Dalam kenyataan pertubuhan tersebut, mereka menyeru umat Islam agar bangkit berjuang menentang kezaliman ini berdasarkan firman Allah Ta'ala: "Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah sama ada orang-orang lelaki, wanita mahupun anak-anak yang semuanya berdoa: "Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!" (Al-Nisa: 75).
Manakala Syeikh Abdul Majid al-Zindani, Rektor Universiti al-Iman di Yaman mengecam tekanan secara zalim yang berterusan selama bertahun-tahun ke atas penduduk Gaza.
Dalam kenyataannya, beliau meminta para ulama Mesir dari al-Azhar supaya memberikan penjelasan kepada pemerintah negara itu bahawa sesiapa yang membantu sekatan dan tekanan kepada orang Islam, maka dia seorang yang zalim, pelampau dan pembunuh.
Manakala bagi seorang muslim yang berusaha mendapatkan makanan dan keperluan asasnya untuk terus hidup, sekiranya dia dibunuh maka orang itu mendapat syahid. Ini kerana perbuatan menyekat makanan dan sumber kehidupannya adalah satu proses pembunuhan secara perlahan-lahan terhadap dirinya.
Menurutnya, beliau merasa terkejut dengan pembinaan tembok di sempadan Gaza itu. "Mengapa mesti membina tembok ini?! Untuk kepentingan siapa?!! Siapakah yang membenarkan seorang muslim terlibat sama dalam menekan saudara muslim yang lain?," soalnya.
Menutup bicaranya, Syeikh al-Zindani mengatakan, "Sesungguhnya sesiapa yang melalui jalan yang dikehendaki Allah pasti mendapat janji kemenanganNya. Kerana Rasulullah s.a.w pernah dikepung mengalami sekatan bersama dengan para sahabatnya selama 3 tahun di Bani Hasyim. Natijah dari sekatan ini akhirnya mereka mendapat kemenangan di timur dan barat (tersebarnya agama Islam)."
0 comments:
Post a Comment