Berkhatan ialah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging yang ada di sebelah atas faraj perempuan.
Berkhatan termasuk di antara amalan-amalan yang telah disyariatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap hambaNya. Ia adalah sebagai pelengkap fitrah yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada mereka. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Fitrah (sifat semulajadi) itu lima perkara: Berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak.”
Hukum Berkhatan
Sepertimana yang tersebut dalam kitab al-Majmu‘ dan kitab Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj, berkhatan itu wajib ke atas lelaki dan perempuan yang dilahirkan tanpa berkhatan. Ini berdasarkan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar.”
(Surah an-Nahl: 123)
Dalam ayat ini, Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam supaya mengikut ajaran-ajaran agama Nabi Ibrahim ‘alaihissalam, dan di antara ajaran-ajaran Nabi Ibrahim ‘alaihissalam itu ialah berkhatan. Perkara ini jelas dikuatkan lagi dengan perbuatan Nabi Ibrahim ‘alaihissalam itu sendiri yang mengkhatan dirinya pada masa umurnya lapan puluh tahun, sebagaimana riwayat Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Berkhatan Nabi Ibrahim ‘alaihissalam ketika Baginda berumur lapan puluh tahun dengan alat qadum.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Menurut kitab Syarh al Muhadzdzab ulama berkata, salah satu perkara dalam agama Nabi Ibrahim ‘alaihissalam ialah berkhatan. Berkhatan itu adalah wajib dalam agamanya.
Sementara itu, dalil dari hadis yang menunjukkan wajib berkhatan itu ialah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Buanglah rambut-rambut kamu yang ada ketika kamu kufur dan berkhatanlah.”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Dalam mengambil dalil dengan hadis ini, para ulama Syafi‘e mengatakan bahawa jika berkhatan itu tidak wajib, nescaya tidaklah diharuskan membuka aurat ketika berkhatan dan tidaklah diharuskan tukang khatan melihat aurat orang yang dikhatan, kerana kedua-duanya itu adalah haram. Jadi apabila kedua-dua yang diharamkan itu diharuskan bagi tujuan berkhatan, ini menunjukkan bahawa berkhatan itu hukumnya adalah wajib.
Asy-Syirazi, al-Ghazali (kedua-duanya dari ulama mazhab asy Syafi‘e) dan sebahagian ulama pula berdalil dengan qiyâs. Mereka mengatakan bahawa berkhatan itu ialah dengan memotong anggota yang sejahtera. Jika berkhatan itu tidak wajib, nescaya tidaklah boleh memotongnya (memotong selaput kulit zakar) sebagaimana tidak boleh memotong jari, kerana tidak harus memotong anggota yang sejahtera melainkan jika kerana dijatuhkan qishâsh.
Cara Berkhatan Bagi Lelaki
Cara bagaimana berkhatan itu, yang wajib bagi lelaki ialah dengan memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar sehingga nampak (terdedah) kepala zakar itu keseluruhannya. Jika dipotong sebahagian sahaja daripada selaput kulit itu, wajib dipotong bakinya sekali lagi.
Cara Berkhatan Bagi Perempuan
Cara yang wajib bagi perempuan ialah dengan memotong daging yang ada di sebelah atas faraj yang seakan-akan bonggolan atau jambul di kepala ayam jantan. Yang lebih afdhal ialah dengan memotong sedikit sahaja dari daging itu.Ini berdasarkan kepada sebuah hadis daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegur Ummu ‘Athiah Radhiallahu ‘anha dengan bersabda:
Maksudnya: “Apabila engkau mengkhatan maka khatanlah (dengan memotong sebahagian al-bazhr) dan jangan engkau berlebih-lebihan (dalam memotong), kerana yang demikian itu menjernihkan air muka perempuan dan mendatangkan kesukaan kepada suami (boleh menambah kelazatan bersetubuh).”(Hadis riwayat ath-Thabrani)
Masa Atau Waktu Berkhatan
Tersebut dalam kitab al-Majmu‘, menurut ulama-ulama Syafi‘eyah masa wajib untuk berkhatan itu ialah selepas baligh dan berakal. Namun begitu adalah sunat dan digalakkan kepada ibu bapa untuk mengkhatankan anak-anak mereka semasa mereka masih kecil lagi kerana ini lebih memberi manfaat kepada mereka, luka berkhatan lebih cepat sembuh dan bentuk zakar akan lebih sempurna.Sunat dikhatankan anak pada hari ketujuh dari hari kelahirannya, melainkan jika dia lemah, tidak berdaya (tidak tahan) menahan kesakitan berkhatan apabila dijalankan ke atasnya. Maka dalam hal ini hendaklah ditangguhkan berkhatan itu sehingga dia berdaya menanggungnya, dan makruh dikhatankan anak sebelum hari ketujuh dari hari kelahirannya.
Jika tidak dapat dikhatan pada hari ketujuh, sunat dikhatan pada hari keempat puluh. Jika terlewat (tidak dikhatankan) juga, sunat dikhatankan pada masa umurnya tujuh tahun. Dalam hal menentukan masa berkhatan ini, anak lelaki dan anak perempuan adalah sama.
Perlulah ditekankan di sini, bahawa hukum berkhatan pada masa-masa yang disebutkan sebelum ini (masa sebelum baligh) adalah sunat dan bukannya wajib. Ini adalah pendapat yang shahîh yang masyhûr yang dipegang oleh jumhur ulama.
Sebagaimana yang dijelaskan terdahulu, bahawa kewajipan berkhatan itu bermula dari sesudah anak itu baligh. Sekiranya dia sudah baligh, maka kewajipan itu berjalan dengan serta merta. Namun begitu jika orang yang sudah baligh itu lemah kejadiannya, di mana jika dia dikhatankan, ditakuti akan mendatangkan kemudaratan kepadanya, maka dalam hal ini tidaklah harus dia dikhatan, bahkan hendaklah ditunggu sehingga keadaannya selamat atau mengizinkan untuk berkhatan.
Kenduri Khatan
Sunat mengadakan walimah (kenduri) bagi pengkhatanan lelaki, kerana ia termasuk dalam salah satu yang sunat diadakan kenduri, seperti kenduri kahwin, selepas melahirkan anak, selesai membina bangunan, orang yang terkena musibah, orang yang balik daripada musafir dan kenduri kerana hafaz dan khatam al-Qur’an.
Menurut al-Adzra‘ie, bahawa hukum sunat mengadakan kenduri pengkhatanan itu adalah bagi pengkhatanan lelaki dan bukan untuk pengkhatanan perempuan, kerana pengkhatanan bagi perempuan itu sunat disembunyikan dan hal yang memalukan jika berterang-terangan. Diihtimalkan juga bahawa hukum sunat mengadakan kenduri bagi pengkhatanan perempuan itu hanyalah khusus bagi sesama perempuan sahaja tanpa ada jemputan lelaki.
Meninggal Dunia Sebelum Berkhatan
Jika seseorang itu meninggal dunia sedang dia belum lagi berkhatan, maka menurut pendapat yang shahih jangan dikhatan si mati tersebut.
Hikmah Dan Kelebihan Berkhatan
Islam menuntut umatnya supaya berkhatan kerana terdapat beberapa hikmah dan kelebihan yang tersendiri yang tidak akan diperolehi mereka yang tidak berkhatan. Hikmah dan kelebihan itu boleh kita lihat pada dua sudut iaitu sudut keagamaan dan sudut kesihatan. Pada sudut keagamaan, antaranya:
(i) Berkhatan merupakan tuntutan fitrah dan salah satu syiar Islam.
(ii) Sebagai menyempurnakan tuntutan syara‘ yang berasaskan kepada sunnah Nabi Ibrahim
‘alaihissalam.
(iii) Untuk membezakan antara orang-orang Islam dengan penganut-penganut agama lain.
Namun begitu sekarang ini orang-orang bukan Islam ada juga yang sudah mula berkhatan.
(iv) Sebagai suatu ikrar kesetiaan penghambaan terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan
patuh segala perintahNya dan tunduk di bawah hukum dan kekuasaanNya.
Dari sudut kesihatan pula:
(i) Untuk membersihkan zakar, memperelokkannya, mencantikkan bentuknya dan
menambahkan kelazatan semasa hubungan kelamin.
(ii) Untuk mengawasi kesihatan tenaga batin serta memelihara diri daripada dihinggapi
penyakit kelamin, kanser dan lain-lain penyakit.
Demikianlah di antara hikmah dan kelebihan yang diperolehi oleh orang-orang yang berkhatan.
Dengan ini juga tergambar kepada kita akan keindahan Islam serta rahsia-rahsia di sebalik syariatnya.