(Harakah-Fikrah, Edisi Jumaat, 16-18 April 2010)
Oleh: Imran al-Malizi (imran_almalizi@yahoo.com)
Pihak penjajah Israel pula telah mengeluarkan satu arahan ketenteraan terbaru yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat. Satu ketetapan untuk mengusir keluar beribu-ribu penduduk Palestin dari Tebing Barat.
Pada peringkat permulaan, perintah itu akan dikenakan kepada rakyat Palestin yang dilahirkan di semenanjung Gaza atau memiliki anak yang dilahirkan di wilayah itu. Perintah ini turut dikenakan kepada sesiapa yang hilang hak kerakyatan di Tebing Barat kerana sebab-sebab tertentu termasuk warga asing yang berkahwin dengan rakyat Palestin.
Akhbar Yahudi,
Haaretz melaporkan polisi terbaru Israel ini akan memberi kesan terhadap pengusiran 10 ribu penduduk Palestin yang mendiami Tebing Barat atau sebahagiannya bakal dihadapkan dengan dakwaan melakukan jenayah.
Ini merujuk kepada mana-mana penduduk yang tidak memiliki kad pengenalan yang dikeluarkan oleh pemerintah Israel. Juga yang akan menerima kesan daripada polisi ini ialah para pekerja asing yang bertugas di kawasan yang berada di bawah kuasa terhad orang-orang Palestin.
Pihak pertahanan dan ketenteraan Israel telah mengesahkan persiapan untuk melaksanakan arahan terbaru ini bagi mengatasi aktiviti pencerobohan dan kemasukan yang tidak melalui pentadbiran rasmi mereka.
Arahan terbaru ini menimbulkan banyak persoalan dan tanda tanya berhubung status penduduk Palestin di sebelah timur al-Quds (Jerusalem) yang berkemungkinan disifatkan oleh pihak penjajah sebagai golongan pendatang.
Bahkan ketetapan ini juga turut mengancam penduduk yang memiliki kad pengenalan dari semenanjung Gaza yang menyeludup masuk di Tebing Barat sebagai penceroboh atau warga asing.
Bahkan akhbar Haaretz juga mendakwa arahan yang kurang jelas dan kabur itu bakal memberi kesan kepada warga mana-mana negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel seperti Amerika Syarikat dan sebagainya. Ini termasuk penduduk di wilayah yang dikuasai Israel sama ada berketurunan Arab atau Yahudi.
Kerajaan Palestin yang dipimpin oleh Ismail Haniyya (Hamas) telah memberi amaran kepada pihak pemerintah Israel berhubung ancaman pengusiran tersebut sambil menggesa rakyat Palestin supaya jangan akur kepada arahan pihak penjajah tu.
Jurucakap kerajaan, Taher Al-Nunu memberitahu bahawa pihak penjajah Israel sedang melaksanakan program untuk mengosongkan tanah yang didiami oleh rakyat Palestin bermula di Jerusalem dan seterusnya ke seluruh Tebing Barat.
Tindakan ini bertujuan untuk menguasainya wilayah tersebut secara keseluruhan. Taher dalam kenyataannya menuntut negara-negara Arab agar bangkit membantah polisi baru ini.
Sheikh Nafedh Azzam, anggota biro politik pergerakan Jihad Islami dalam kenyataan media menyatakan bahawa keputusan pemerintah Israel ini adalah amaran yang jelas kepada rakyat Palestin untuk menyelesaikan permasalahan mereka dan sebagai satu mesej kepada orang-orang Arab agar mengambil pendirian tegas terhadap negara Israel dan pihak yang mendokongnya.
Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum memberitahu bahawa perintah yang dikeluarkan oleh penjajah itu besifat perkauman dan sangat berbahaya kepada hak-hak rakyat Palestin.
Beliau mendakwa pihak penjajah Israel mahu mengerahkan segala kemampuan yang ada untuk mengusir sejumlah besar penduduk Palestin dalam usahanya untuk memperluaskan wilayah jajahannya bagi membawa lebih ramai pendatang Yahudi mendiami negara itu.
Seorang ahli parlimen, Dr. Mustafa Al-Barghouthi menegaskan perkara ini sebagai satu tindakan penghapusan etnik. Beliau juga menyifatkan tindakan itu dibuat dengan penuh provokatif dan tanpa pertimbangan kerana pihak penjajah Israel berkeyakinan bahawa mereka berada dalam perjalanan untuk menyisihkan kepentingan Palestin.
Perkara ini jelas kerana majoriti penduduk Palestin di Tebing Barat dinafikan hak untuk memiliki sebarang dokumen pengenalan diri. Ini mendedahkan sejumlah besar angka penduduk di situ kepada ancaman pengusiran.
Tentera Israel mula menduduki Tebing Barat dan menguasai Jerusalem pada tahun 1967 dalam Perang Enam Hari yang dilancarkan pada tahun itu. Semenjak itu, mereka mula meletakkan matlamat untuk membina penempatan pendatang Israel di wilayah tersebut dengan langkah-langkah memperluaskan jajahan dan mengusir keluar para penduduknya.
Dalam perkembangan yang lain, rakyat Gaza yang sebelum ini menghadapi tindakan khianat pemerintah Mesir yang menyekat dan menutup satu-satunya jalan untuk mereka mendapatkan bekalan asas untuk terus hidup.
Pembinaan tembok besi oleh pemerintah Mesir di sepanjang 10 km dengan kedalaman 30 meter di sempadan Rafah-Gaza sudah memasuki fasa akhir dan kelak bakal menutup seluruh terowong yang pernah berkhidmat menyalurkan bahan-bahan makanan dan ubat-ubatan ke bumi berdarah itu.
Menurut PIC, sumber tempatan memberitahu bahawa pihak berkuasa Mesir telah melipat gandakan penggunaan alat-alat jentera dalam kerja penggalian dan menjangka 70% pembinaan tembok tersebut telah disempurnakan. Matlamatnya agar kira-kira 1000 buah terowong yang terletak di sepanjang sempadan negara mereka dapat ditutup.
Badan-badan hak asasi Palestin menganggarkan bahawa 142 orang telah pun terkorban di dalam terowong-terowong tersebut sepanjang 2 tahun kebelakangan ini.
Tekanan demi tekanan yang dikenakan terhadap para penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat sewajarnya membuka mata para pemimpin negara-negara Arab agar tidak hanya melihat kepentingan kerusi kuasa mereka semata-mata.
Dunia Arab dan Islam perlu menyuarakan bantahan tegas terhadap usaha Zionis Israel untuk menghapuskan penduduk Palestin dari tanahair mereka. Persidangan demi persidangan yang dianjurkan Kesatuan Arab sebelum ini tidak lain hanyalah sekadar melepaskan batuk di tangga.
0 comments:
Post a Comment