(Harakah-Fikrah, Edisi Jumaat, 2-4 April 2010)
Oleh: Imran al-Malizi
(imran_almalizi@yahoo.com)
Penjajah Israel telah mengetatkan kawalan di seluruh Tebing Barat dan menutup jalan-jalan masuk ke wilayah tersebut bermula tengah malam Jumaat (26 Mac 2010) hingga pertengahan malam Selasa (30 Mac 2010) yang lalu. Ini berikutan perayaan hari besar Paskah bagi penduduk Yahudi di situ.
Paskah atau Pesakh bagi umat Yahudi adalah perayaan yang dirayakan pada hari ke-15 dalam bulan yang disebut Nisan iaitu bulan pertama dalam kalendar Ibrani. Perayaan ini berlangsung selama lapan hari dan dirayakan untuk memperingati peristiwa keluarnya Bani Israel dari belenggu perhambaan di Mesir.
Maka itu bagi mengelakkan sebarang kejadian yang mengancam keselamatan warga Israel yang menyambut perayaan "Hari Pembebasan" tersebut di wilayah barat al-Quds (Jerusalem), pihak pemerintah Zionis telah bertindak menghalang warga Palestin daripada masuk melalui jalan-jalan utama.
Akhbar Ibrani - Yedeot Aharonot (28 Mac 2010) melaporkan, pasukan polis Israel menyatakan bahawa pihaknya sedang menyiapkan beribu-ribu anggota untuk ditempatkan di beberapa pos dan sempadan semenjak petang hari Sabtu.
Akhbar ini juga membayangkan terdapat persiapan berlipat kali ganda yang dilakukan pasukan keselamatan Zionis berikutan ketegangan yang terjadi sejak kebelakangan ini di kota Al-Quds.
Perkembangan terakhir menyaksikan pertempuran di antara polis Israel dengan warga Palestin yang berusaha mempertahankan kesucian kota Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa daripada pencerobohan musuh mereka.
Situasi ini menuntut pasukan keselamatan Zionis untuk mempertingkatkan kawalannya hingga memutuskan laluan perhubungan antara Tebing Barat dan Gaza.
Penjajah Zionis juga telah melarang penduduk Palestin yang tinggal di wilayah jajahan mereka daripada memasuki Tebing Barat. Berikutan itu, penentangan dari penduduk Palestin terus berlaku kerana mereka menganggap tindakan pihak penjajah itu sengaja menafikan hak mereka untuk memasuki ibu negara al-Quds.
Dalam perkembangan yang lain, pihak tentera Israel telah mengakhiri serangannya terhadap wilayah Gaza, sehari selepas pasukan tenteranya terlibat dalam pertempuran dahsyat dengan tentera Hamas baru-baru ini. Ternyata kekuatan Hamas tidak dapat ditundukkan walaupun pihak penjajah telah mengerahkan tenteranya dengan sokongan kuasa-kuasa luar.
Serangan itu bertujuan memalingkan sokongan rakyat di Gaza daripada menyokong Hamas, namun kredibiliti Hamas masih kukuh untuk menerajui pemerintahan di wilayah tersebut.
Agensi berita Al-Jazeera melaporkan pasukan tentera dan kereta kebal telah bergerak meninggalkan Gaza pada hari Sabtu setelah pertarungan berdarah yang berlarutan selama lebih 14 bulan.
Pertarungan berdarah pada hari Jumaat dan Sabtu lalu telah mengakibatkan dua orang tentera Israel terbunuh manakala sekurang-kurang seorang warga Palestin terkorban.
Pihak ketenteraan Israel telah mengesahkan dua orang tentera mereka telah terbunuh manakala dua yang lain mengalami kecederaan. Pertarungan tersebut adalah yang paling sengit semenjak serangan Israel selama tiga minggu pada tahun lalu.
Briged Izzuddin al-Qassam yang merupakan sayap tentera Hamas telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah terlibat dalam pertempuran senjata dengan ketenteraan Israel selepas diserang secara mengejut pada minggu lalu.
Jurucakapnya Abu Ubaidah telah berkata, "Pasukan tentera Israel telah melancarkan serangan secara tiba-tiba dalam jarak 500 meter ke wilayah yang diduduki oleh rakyat Palestin dan terpaksa berdepan dengan pasukan bersenjata kami." Beliau juga menambah bahawa pihak Hamas hanyalah mempertahankan keselamatan awam di wilayah mereka.
Al-Jazeera melaporkan situasi di Gaza kelihatan beransur baik walau pun diakui suasana di sana masih lagi dalam keadaan tegang. Kelihatan beberapa buah helikopter berlegar-legar di ruang udara Gaza.
Dalam pada itu, pihak penjajah Israel mendakwa sebuah peluru roket telah dilancarkan dari Gaza ke wilayah yang diduduki penduduk Israel. Namun tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab. Serangan itu mengenai tanah lapang dan tidak mencederakan sesiapa.
Pihak Hamas dilaporkan berkata, "Ini bukanlah masanya untuk membawa penduduk Israel kepada konflik yang lebih besar.. mereka mengakui bahawa penduduk Gaza pada ketika ini inginkan suasana aman melebihi segalanya."
Sebagai respon kepada kematian rakyatnya, Kementerian Pertahanan Israel telah mengeluarkan kenyataan ancaman kepada Hamas.
"Kami biasa melihat permainan orang-orang (Palestin) yang melancarkan serangan tembakan dan Hamas pula cuba untuk meredakan keadaan. Kemungkinan ia sedang hilang pengawalan atas pelbagai sebab dan alasan," Ehud Barak berkata dalam televisyen Israel pada Jumaat lalu.
Beliau menambah, "Kami tidak berminat untuk kembali ke kawasan itu (Gaza) atas perkara yang telah lepas."
Beberapa orang saksi kejadian telah memberitahu berlakunya kejadian berbalas-balas tembakan selepas satu letupan yang berkemungkinan berpunca daripada tembakan peluru anti-kereta perisai yang dilancarkan dari bandar Khan Younis lalu mengenai pasukan tentera Israel di tengah-tengah sempadan Gaza.
Kemudian pihak tentera Zionis bertindak melepasi sempadan dengan kelengkapan kereta kebal untuk menuju ke tempat sasaran itu dilancarkan sehinggalah berlaku pertempuran.
Apa pun alasan yang dikemukakan, kezaliman tentera penjajah Zionis sebelum ini terhadap penduduk Gaza bukanlah suatu perkara yang menjadi rahsia. Sekatan yang berlarutan dalam tempoh lebih 2 tahun sehinggalah peperangan yang dilancarkan telah membuktikan kezaliman mereka.
Apatah lagi penggunaan bom fosforus putih dalam serangan terhadap penduduk awam telah mengundang bantahan dan kemarahan masyarakat dunia antarabangsa.
Namun, sesuatu yang menarik ialah Ehud Barak telah mengumumkan pengunduran keluar tentera Israel dari sempadan Gaza dalam suasana mereka menyambut perayaan Paskah, bagi memperingati keluarnya bangsa mereka dari bumi Mesir kerana lari dari belenggu perhambaan.
Kini keluarnya mereka dari bumi Gaza pula kerana tidak berjaya memperhambakan bangsa lain yang ingin hidup merdeka.
0 comments:
Post a Comment