Hamas memperbaharui ikrar harungi perjuangan



Harakah-Fikrah, Edisi Jumaat, 23-25 April 2010)

Oleh: Imran al-Malizi (imran_almalizi@yahoo.com)

Pihak penjajah Israel telah mengisytiharkan penutupan semua laluan masuk ke Tebing Barat selama lima hari bermula pada hari Sabtu hingga tengah malam Rabu (17-21 April 2010). Ini bersempena apa yang disebut 'hari kemerdekaan' Israel pada 20 April baru-baru ini.

Mungkin kemerdekaan bagi orang-orang Zionis Yahudi ialah apabila mereka menduduki tanah air yang telah dirampas secara kejam dan zalim. Bagi penduduk asal bumi Palestin, perayaan kemerdekaan itu hanyalah suatu pembohongan yang mesti ditentang dengan keras.

Radio Israel menyiarkan laporan bahawa semua laluan masuk ke Tebing Barat akan ditutup kepada dunia luar selama tempoh tersebut. Pihak polis Israel telah mengumumkan bahawa pihaknya berada dalam keadaan berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya serangan dalam perayaan tersebut.

Sememangnya pihak keselamatan regim tersebut akan meningkatkan langkah berjaga-jaga pada setiap musim perayaan dan sambutan tertentu seperti Paskah, Purim dan lain-lain.
Dalam tempoh itu juga, Hamas telah memperbaharui ikrar untuk meneruskan perjuangan dan penentangan terhadap penjajahan bagi mempertahankan dan membebaskan tanah air mereka. Ikrar itu dilakukan ketika menyambut ulang tahun ke-6 sempena pembunuhan pemimpin mereka Dr. Abdul Aziz Al-Rantisi pada hari Sabtu (17 April 2010) baru-baru ini.

Dr. Abdul Aziz Al-Rantisi telah menemui syahid pada 17 April 2004 iaitu tidak sampai sebulan selepas pembunuhan pemimpin tertinggi Hamas, Syeikh Ahmed Yassin (22 Mac 2004). Beliau telah menjadi inspirasi kepada generasi pejuang muda dalam pergerakan tersebut terus menyalakan api perjuangan jihad menentang penjajahan.

Sempena sambutan tersebut di Khan Younis, seorang pemimpin senior Hamas, Saleh Al-Ruqub telah berucap bahawa gerakan Hamas ini telah berjanji setia untuk mengikut jejak langkah para pemimpin tertinggi mereka dan masih tegar menghadapi segala cabaran.

Dalam ucapannya juga Al-Ruqub telah mengimbau kembali keperibadian Dr. Al-Rantisi dan pengorbanan besar yang telah dicurahkan dalam perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan tanah air Palestin. Beliau yang merupakan pemimpin yang pernah bersama-sama Syeikh Ahmed Yassin mengasaskan penubuhan Hamas kerana melihat tiada jalan perdamaian yang boleh membawa kepada kemerdekaan bumi Palestin.

Baru-baru ini juga Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengakui kuasa AS untuk mempengaruhi rundingan damai antara Israel dan Palestin adalah terhad. Beliau juga menyatakan harapan untuk melihat perdamaian adalah kecil walaupun pernah mengumumkan isu timur tengah akan menjadi perhatian utama dalam pentadbirannya semasa mula memasuki rumah putih dahulu.

Maka itu, pendirian Hamas yang selama ini sangat konsisten dalam meneruskan penentangan dan enggan menyerahkan tanahair mereka kepada penjajah Israel adalah sangat signifikan.

Ini kerana umum telah mengetahui bahawa tiada perdamaian akan berlaku dengan sikap Israel yang selalu melanggar perjanjian demi perjanjian. Bahkan AS sendiri adalah sekutu Israel yang tidak perlu diragui lagi.

Dalam kenyataan yang lain berikutan isu tahanan rakyat Palestin di penjara-penjara Israel, Hamas telah menegaskan bahawa penentangan rakyat Palestin tidak sekali-kali akan mengabaikan nasib para tahanan Palestin yang sedang merengkok dalam penjara. Walau apa pun yang berlaku, Hamas tidak akan berdiam diri sehinggalah semua tahanan dapat dibebaskan.

“Pada hari kebesaran ini, sempena meraikan para tahanan Palestin, kita mesti meningkatkan tahap ketabahan wirawan kami di penjara dalam menghadapi kesusahan diseksa dan dianiaya di hadapan para pemuka Arab serta beberapa orang pemimpin yang telah menjual segala-galanya demi meraih kepentingan peribadi," demikian kenyataan itu menyebut.

Dr. Khalil Al-Hayyah, salah seorang ahli Biro Politik Hamas telah menyebut bahawa isu para tahanan Palestin di penjara Israel adalah sama seperti isu-isu Palestin lain yang perlu kepada publisiti dan tindakan penentangan bersenjata.

Dr. Hayyah memberitahu dalam sidang media di Gaza baru-baru ini bahawa rakyat Palestin tidak mungkin dapat mencapai matlamat mereka, terutamanya untuk membawa masuk para pelarian kembali ke tanah air mereka dan membebaskan para tahanan tanpa kebangkitan yang menyeluruh dan program penentangan yang bersepadu untuk menghalau golongan penjajah keluar dari bumi Palestin.

Dianggarkan berpuluh-puluh ribu rakyat Palestin yang sedang ditahan dalam penjara-penjara Israel. Pada hakikatnya, para tahanan Palestin ini adalah tahanan perang dan bukannya penjenayah perang.

Ini kerana mereka mempertahankan kedaulatan bumi Palestin yang telah dicemari oleh Pengisytiharan Balfour pada tahun 1917.

Mereka mestilah diberikan hak mengikut peraturan antarabangsa yang menjanjikan pembebasan dan kehormatan sebagai seorang manusia. Kemerdekaan adalah suatu yang sangat diimpikan bagi mana-mana bangsa yang bermaruah.

Tiada kemerdekaan bagi Israel kerana penentangan rakyat Palestin masih berterusan. Tidak berlaku kemerdekaan bagi Palestin selagi mana penjajah Zionis belum dihalau keluar.

0 comments:

Post a Comment

 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates