(Harakah-Fikrah, Edisi Jumaat, 19-21 Mac 2010, F14)
Oleh: Imran al-Malizi (imran_almalizi@yahoo.com)
Pertempuran sengit terus meletus di antara warga Palestin yang mendiami kota al-Quds dengan pasukan polis Israel pada hari Sabtu (13 Mac 2010). Kejadian tersebut berlaku di perkampungan-perkampungan yang berdekatan Masjid al-Aqsa di kota lama Baitulmaqdis.
Pertempuran tersebut adalah rentetan daripada penentangan yang berlaku pada minggu lalu yang menyaksikan kebangkitan rakyat menentang tindakan pencerobohan Zionis terhadap Masjid al-Aqsa. Kejadian tentera Zionis Israel yang memasuki dataran Masjid al-Aqsa lalu menyerang orang awam yang beribadat telah meningkatkan kemarahan penduduk lalu mencetuskan rusuhan.
Infopalestine melaporkan menurut sumber-sumber tempatan dari kota al-Quds mengatakan bahawa pertempuran tersebut berlaku setelah selesai solat Maghrib. Pertarungan di antara penduduk Palestin dan pasukan penjajah itu tertumpu di sekitar Masjid Al-Aqsa terutamanya di kampung Ras al-Amud.
Dua warga Palestin dilaporkan terluka dalam kejadian itu. Mereka mengalami sesak nafas sebagai akibat tembakan bom pemedih mata yang dilepaskan oleh pasukan penjajah Israel. Sementara itu pihak musuh juga telah menangkap dua orang warga Palestin yang lain.
Sumber-sumber tersebut juga memberitahu bahawa pertempuran seperti itu berlaku hampir setiap hari di kawasan tersebut semenjak minggu lalu akibat daripada pencerobohan Zionis terhadap tempat-tempat suci di kota lama umat Islam itu.
Sehari sebelumnya iaitu pada hari Jumaat (12 Mac 2010), satu pertempuran telah berlaku di daerah Babul Asbat, Bab Hithah dan Bab Sahira di bandar al-Quds.
Pertempuran ini terjadi setelah pasukan Israel menghalang beratus-ratus penduduk Palestin daripada memasuki kota al-Quds hanya karena mereka berusia di bawah lima puluh tahun.
Dalam perkembangan yang sama, Persatuan Ulama Palestin menyeru warga Palestin untuk melakukan pemantuan di Masjid al-Aqsa dan meningkatkan langkah berjaga-jaga bagi menghalang segala usaha pendatang Yahudi dan perancangan mereka untuk membuka sebuah kuil (sinagog) di sebelah Masjid al-Aqsa dalam waktu terdekat.
Mereka menyeru agar semua pihak bertindak dan tidak gentar untuk membela kota suci al-Quds (Baitulmaqdis). Mereka juga mendesak para ulama para pendakwah dan seluruh umat dalam dunia Islam untuk menggerakkan kebangkitan rakyat di negara masing-masing agar menyedari perancangan jahat dan ancaman musuh terhadap tempat mi'raj Nabi Muhammad s.a.w.
Persatuan Ulama Palestin menegaskan betapa pentingnya kita memberi perhatian pada usaha-usaha penyahudian terhadap kota suci al-Quds dan pencerobohan tempat-tempat sucinya, terutama Masjid al-Aqsa.
Persatuan Ulama Palestin juga menegaskan pentingnya pemantauan di kawasan Masjid al-Aqsa dilakukan sepanjang waktu. Warga al-Quds tidak harus alpa pada gerakan tentera Zionis Israel dan golongan pendatang Yahudi.
Persatuan Ulama Palestin juga memperingatkan betapa bahayanya sikap berdiam diri yang terus dilakukan oleh negara-negara Arab dan dunia Islam terhadap kejahatan dan pencerobohan yang dilakukan oleh penjajah Israel terhadap tempat-tempat suci Islam.
Ini kerana hal tersebut mendorong penjajah Israel untuk terus mara dengan pelan dan konspirasi jahat mereka yang bertujuan untuk menghancurkan Masjid al-Aqsa dan mendirikan kuil Haikal yang didakwa terletak pada tapak Masjid al-Aqsa.
Juga diharapkan agar para pemimpin Arab meletakkan isu ini menjadi agenda perbincangan dalam persidangan yang dijadualkan berlangsung di Libya tidak lama lagi.
Pergerakan Hamas telah mengucapkan syabas kepada warga Palestin yang telah melahirkan rasa tidak puas hati mereka kepada penjajahan dengan menyertai perarakan demonstrasi di Gaza bagi menentang tindakan-tindakan Zionis dan pendatang Yahudi di negara mereka.
Pada masa yang sama Hamas mengecam sesetengah rakyat yang tidak mahu mempertahankan tempat suci umat Islam di tanah air mereka itu akibat tunduk kepada tekanan pihak tertentu di kalangan pemimpin Fatah di Ramalah.
Pada peringkat ini, Menteri hal ehwal agama, Dr.Taleb Abu Sha'ar mengajak bangsa Arab dan kaum muslimin serta seluruh umat manusia yang berjiwa merdeka agar memecahkan kebisuan mereka dan melakukan sesuatu untuk mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa. Terutamanya setelah penjajah Israel mengancam untuk melakukan serangan terhadap masjid suci itu dalam beberapa hari lagi.
Dalam kenyataan Dr. Taleb pada hari Sabtu lalu, beliau menyatakan tindakan ini dilakukan kerana Benjamin Netanyahu mahu menaikkan imejnya di kalangan para pengikutnya lalu mendapatkan sokongan ramai dalam parti pimipinannya.
Dalam perkembangan berkaitan, pasukan bersenjata Israel meneruskan kerja-kerja menghalang kemaraan penduduk Palestin yang bertegas untuk memasuki Masjid al-Aqsa bagi menunaikan solat fardu. Ini semakin meningkatkan kejadian rusuhan yang berlaku sepanjang minggu lalu.
Stesen radio berbahasa Ibrani melaporkan pada hari Ahad keesokannya, bahawa pemerintah Israel hanya membenarkan rakyat Palestin yang berumur atas lima puluh tahun dan memiliki kad pengenalan berwarna biru untuk memasuki Masjid al-Aqsa bagi tujuan menunaikan ibadat.
Apa yang dilakukan oleh regim Yahudi ini tidak lain hanyalah bertujuan bagi menjauhkan golongan muda daripada beribadat di Masjid al-Aqsa yang merupakan simbol kekuatan dalam perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan tempat suci dan tanah air mereka daripada belenggu penjajahan.
Pihak musuh berharap apabila hanya golongan tua sahaja yang beribadat di situ, tidak sukar untuk mereka meneruskan kerja-kerja melemahkan struktur binaannya dengan menggali terowong di bahagian bawah masjid.
Manakala, jika golongan muda dibenarkan memasuki masjid suci tersebut, mereka akan menghalang operasi tersebut dengan melontarkan batu-batu kepada para pekerja.
Apa pun, dijangka pertempuran pasti akan terus berlaku saban hari kerana rakyat Palestin yang mendiami perkampungan berdekatan Masjid al-Aqsa akan menghalang usaha regim Israel untuk membuka kuil mereka di sebelah barat Masjid al-Aqsa dalam tempoh terdekat ini.
0 comments:
Post a Comment