" fastaqim kama umirta "
BERKHATAN CUTI SEKOLAH
Berkhatan termasuk di antara amalan-amalan yang telah disyariatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap hambaNya. Ia adalah sebagai pelengkap fitrah yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada mereka. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Fitrah (sifat semulajadi) itu lima perkara: Berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak.”
Hukum Berkhatan
Sepertimana yang tersebut dalam kitab al-Majmu‘ dan kitab Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj, berkhatan itu wajib ke atas lelaki dan perempuan yang dilahirkan tanpa berkhatan. Ini berdasarkan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar.”
(Surah an-Nahl: 123)
Dalam ayat ini, Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam supaya mengikut ajaran-ajaran agama Nabi Ibrahim ‘alaihissalam, dan di antara ajaran-ajaran Nabi Ibrahim ‘alaihissalam itu ialah berkhatan. Perkara ini jelas dikuatkan lagi dengan perbuatan Nabi Ibrahim ‘alaihissalam itu sendiri yang mengkhatan dirinya pada masa umurnya lapan puluh tahun, sebagaimana riwayat Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Berkhatan Nabi Ibrahim ‘alaihissalam ketika Baginda berumur lapan puluh tahun dengan alat qadum.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Menurut kitab Syarh al Muhadzdzab ulama berkata, salah satu perkara dalam agama Nabi Ibrahim ‘alaihissalam ialah berkhatan. Berkhatan itu adalah wajib dalam agamanya.
Sementara itu, dalil dari hadis yang menunjukkan wajib berkhatan itu ialah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Buanglah rambut-rambut kamu yang ada ketika kamu kufur dan berkhatanlah.”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Dalam mengambil dalil dengan hadis ini, para ulama Syafi‘e mengatakan bahawa jika berkhatan itu tidak wajib, nescaya tidaklah diharuskan membuka aurat ketika berkhatan dan tidaklah diharuskan tukang khatan melihat aurat orang yang dikhatan, kerana kedua-duanya itu adalah haram. Jadi apabila kedua-dua yang diharamkan itu diharuskan bagi tujuan berkhatan, ini menunjukkan bahawa berkhatan itu hukumnya adalah wajib.
Asy-Syirazi, al-Ghazali (kedua-duanya dari ulama mazhab asy Syafi‘e) dan sebahagian ulama pula berdalil dengan qiyâs. Mereka mengatakan bahawa berkhatan itu ialah dengan memotong anggota yang sejahtera. Jika berkhatan itu tidak wajib, nescaya tidaklah boleh memotongnya (memotong selaput kulit zakar) sebagaimana tidak boleh memotong jari, kerana tidak harus memotong anggota yang sejahtera melainkan jika kerana dijatuhkan qishâsh.
Cara Berkhatan Bagi Lelaki
Cara bagaimana berkhatan itu, yang wajib bagi lelaki ialah dengan memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar sehingga nampak (terdedah) kepala zakar itu keseluruhannya. Jika dipotong sebahagian sahaja daripada selaput kulit itu, wajib dipotong bakinya sekali lagi.
Cara Berkhatan Bagi Perempuan
Cara yang wajib bagi perempuan ialah dengan memotong daging yang ada di sebelah atas faraj yang seakan-akan bonggolan atau jambul di kepala ayam jantan. Yang lebih afdhal ialah dengan memotong sedikit sahaja dari daging itu.Ini berdasarkan kepada sebuah hadis daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegur Ummu ‘Athiah Radhiallahu ‘anha dengan bersabda:
Maksudnya: “Apabila engkau mengkhatan maka khatanlah (dengan memotong sebahagian al-bazhr) dan jangan engkau berlebih-lebihan (dalam memotong), kerana yang demikian itu menjernihkan air muka perempuan dan mendatangkan kesukaan kepada suami (boleh menambah kelazatan bersetubuh).”(Hadis riwayat ath-Thabrani)
Masa Atau Waktu Berkhatan
Tersebut dalam kitab al-Majmu‘, menurut ulama-ulama Syafi‘eyah masa wajib untuk berkhatan itu ialah selepas baligh dan berakal. Namun begitu adalah sunat dan digalakkan kepada ibu bapa untuk mengkhatankan anak-anak mereka semasa mereka masih kecil lagi kerana ini lebih memberi manfaat kepada mereka, luka berkhatan lebih cepat sembuh dan bentuk zakar akan lebih sempurna.Sunat dikhatankan anak pada hari ketujuh dari hari kelahirannya, melainkan jika dia lemah, tidak berdaya (tidak tahan) menahan kesakitan berkhatan apabila dijalankan ke atasnya. Maka dalam hal ini hendaklah ditangguhkan berkhatan itu sehingga dia berdaya menanggungnya, dan makruh dikhatankan anak sebelum hari ketujuh dari hari kelahirannya.
Jika tidak dapat dikhatan pada hari ketujuh, sunat dikhatan pada hari keempat puluh. Jika terlewat (tidak dikhatankan) juga, sunat dikhatankan pada masa umurnya tujuh tahun. Dalam hal menentukan masa berkhatan ini, anak lelaki dan anak perempuan adalah sama.
Perlulah ditekankan di sini, bahawa hukum berkhatan pada masa-masa yang disebutkan sebelum ini (masa sebelum baligh) adalah sunat dan bukannya wajib. Ini adalah pendapat yang shahîh yang masyhûr yang dipegang oleh jumhur ulama.
Sebagaimana yang dijelaskan terdahulu, bahawa kewajipan berkhatan itu bermula dari sesudah anak itu baligh. Sekiranya dia sudah baligh, maka kewajipan itu berjalan dengan serta merta. Namun begitu jika orang yang sudah baligh itu lemah kejadiannya, di mana jika dia dikhatankan, ditakuti akan mendatangkan kemudaratan kepadanya, maka dalam hal ini tidaklah harus dia dikhatan, bahkan hendaklah ditunggu sehingga keadaannya selamat atau mengizinkan untuk berkhatan.
Kenduri Khatan
Sunat mengadakan walimah (kenduri) bagi pengkhatanan lelaki, kerana ia termasuk dalam salah satu yang sunat diadakan kenduri, seperti kenduri kahwin, selepas melahirkan anak, selesai membina bangunan, orang yang terkena musibah, orang yang balik daripada musafir dan kenduri kerana hafaz dan khatam al-Qur’an.
Menurut al-Adzra‘ie, bahawa hukum sunat mengadakan kenduri pengkhatanan itu adalah bagi pengkhatanan lelaki dan bukan untuk pengkhatanan perempuan, kerana pengkhatanan bagi perempuan itu sunat disembunyikan dan hal yang memalukan jika berterang-terangan. Diihtimalkan juga bahawa hukum sunat mengadakan kenduri bagi pengkhatanan perempuan itu hanyalah khusus bagi sesama perempuan sahaja tanpa ada jemputan lelaki.
Meninggal Dunia Sebelum Berkhatan
Jika seseorang itu meninggal dunia sedang dia belum lagi berkhatan, maka menurut pendapat yang shahih jangan dikhatan si mati tersebut.
Hikmah Dan Kelebihan Berkhatan
Islam menuntut umatnya supaya berkhatan kerana terdapat beberapa hikmah dan kelebihan yang tersendiri yang tidak akan diperolehi mereka yang tidak berkhatan. Hikmah dan kelebihan itu boleh kita lihat pada dua sudut iaitu sudut keagamaan dan sudut kesihatan. Pada sudut keagamaan, antaranya:
(i) Berkhatan merupakan tuntutan fitrah dan salah satu syiar Islam.
(ii) Sebagai menyempurnakan tuntutan syara‘ yang berasaskan kepada sunnah Nabi Ibrahim
‘alaihissalam.
(iii) Untuk membezakan antara orang-orang Islam dengan penganut-penganut agama lain.
Namun begitu sekarang ini orang-orang bukan Islam ada juga yang sudah mula berkhatan.
(iv) Sebagai suatu ikrar kesetiaan penghambaan terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan
patuh segala perintahNya dan tunduk di bawah hukum dan kekuasaanNya.
Dari sudut kesihatan pula:
(i) Untuk membersihkan zakar, memperelokkannya, mencantikkan bentuknya dan
menambahkan kelazatan semasa hubungan kelamin.
(ii) Untuk mengawasi kesihatan tenaga batin serta memelihara diri daripada dihinggapi
penyakit kelamin, kanser dan lain-lain penyakit.
Demikianlah di antara hikmah dan kelebihan yang diperolehi oleh orang-orang yang berkhatan.
Dengan ini juga tergambar kepada kita akan keindahan Islam serta rahsia-rahsia di sebalik syariatnya.
HIDUP DENGAN AL-QURAN
Sewaktu kecil dulu, orang tua-tua selalu cakap : kalau tak khatam al-quran 30 juzuk, nanti tak boleh berkhatan.
Rasanya, itulah petua orang-orang dahulu yang diguna pakai untuk mentarbiyah anak-anak supaya membaca al-quran dan mengkhatamnya. Apa lagi, sebab takut tak dikhatankan, masing-masing berlumba-lumba untuk menghabiskannya.
Walaupun seolah terpaksa, namun kadang-kadang perlu juga dibuat begitu. Itupun masih ada yang malas. Iya! Budaya membaca al-quran. Nampak remeh, namun ramai yang mengabaikannya.
Pengalaman di bumi Mesir
Pengalaman berada di bumi mesir, banyak yang boleh dijadikan pengajaran dan juga panduan. Contohnya, pada suatu hari sewaktu di dalam bas yang begitu sesak dengan penumpang, saya terlihat seorang mak cik sedang membaca al-quran dalam keadaan berdiri.
Terdetik di hati saya ”huh! bagusnya makcik tu”.
Pada petangnya, dalam perjalanan pulang ke rumah, di dalam keretapi, saya melihat seorang pak cik sedang membaca al-quran dengan gaya bersahaja juga dalam keadaan berdiri. Tindak balas yang sama juga saya berikan kepadanya atas kesungguhan beliau membaca al-quran tanpa menghiraukan orang ramai disekelilingnya.
Beberapa minggu yang lalu, di atas jejambat, saya terlihat seorang polis yang sedang bertugas di pos kawalannya, masih sempat lagi membaca al-quran. Kalau mereka ini sedang membaca majalah atau komik, sedah tentu terdetik di hati kita: eh! dah takde tempat lain agaknya nak baca semua tu.
Di Mesir juga, saya sempat memerhati polis-polis yang mengawal keselamatan samaada di jalan raya atau tempat-tempat tertentu, kebanyakannya mereka menjaga solat mereka. Dari satu sudut kadang-kadang kita dapat lihat seperti mereka ini seolah telah melanggar etika kerja mereka sebagai seorang polis, namun atas sebab tanggungjawab sebagai seorang Muslim, mereka tidak mengaibaikan kefardhuan solat itu.
Apa tidaknya, senjata-senjata yang mereka pegang, ditinggalkan begitu sahaja di sebelah dinding masjid untuk seketika.
Kalau di Malaysia mungkin ianya telah menyalahi etika atau undang-undang dalam akta keselamatan. Namun begitu, bagi masyarakat Mesir, sudah menjadi kebiasaan, bagi orang seperti saya yang melihat mereka cara hidup mereka, amatlah kagum walaupun dari satu aspek yang lain saya tidak berapa setuju.
Orang kata buang yang keruh, ambillah yang jernih. Cara hidup beginilah yang sepatutnya kita contohi tidak kira di mana posisi kita berada baik sebagai rakyat biasa sehinggalah kepada pemimpin negara.
Kita patut bertanya kepada diri kita sendiri, mengapa terlampau banyak sangat gejala-gejala sosial, jenayah dan bermacam-macam lagi perkara-perkara mungkar telah berlaku di negara kita. Jika difikirkan, bukankah negara kita adalah sebuah negara Islam?
Dan apa yang kita dapat lihat juga, bagaimana institusi polis di Malaysia sering dikaitkan dengan gejala rasuah, kezaliman dan sebagainya. Bukankah ianya telah menjatuhkan intergriti polis sebagai satu badan yang betanggungjawab untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara?
Dalam hal ini, mungkin skopnya lebih umum dengan tajuk yang saya ketengahkan. Namun tiadalah bezanya kerana ianya saling kait mengait diantara satu sama lain. Persoalannya di sini, benarkah polis-polis di Malaysia kurang menerapkan cara hidup Islam di dalam tugas mereka?
Saya serahkan kepada semua untuk menilainya. Kerana apa yang saya dapat lihat di Mesir, polis-polisnya jauh berbeza, dan dari satu sudut mungkin boleh dikatakan polis Malaysia adalah lebih baik. Namun, dari satu sudut melalui perspektif saya khususnya dalam bab cara hidup Islam, saya dapat lihat kebanyakan polis-polis di Mesir lebih baik dan patut di puji.
Yang pasti, sebenarnya kita semua perlu kembali kepada cara hidup Islam yang sebenar. Dan salah satu darinya ialah budaya membaca al-quran.
Di manakah Al-Quran dalam kehidupan kita seharian?
Berbalik kepada fokus yang hendak saya sampaikan tadi iaitu membaca al-quran dan kebetulan pula semalam, saya sempat menghadiri satu sesi tazkirah dan memang kebetulan juga tajuk tazkirah yang disampaikan oleh seorang ustaz itu berkisarkan kehidupan manusia dengan al-quran.
Kupasan tajuk yang ringan namun menginsafkan. "Bersama-sama dengan al-quran", antara ungkapan yang diucapkan olehnya (pentazkirah). Bila dikoreksi kembali, sejauh manakah kebersamaan hidup kita ini dengan al-quran.
Skop membaca ini masih kecil jika dibandingkan dengan mengamalkannya. Secara logiknya, kalau membaca pun kita tidak dapat buat, apatah lagi untuk mengamalkannya?
Saya sering memuhasabah, dan apa yang saya dapat lihat ialah hari ini dalam tidak sedar kita sering silap dalam meletakkan prioriti sesuatu perkara. Kalau ditanya, boleh atau tidak kita membaca majalah, sudah tentu jawapannya boleh. Bagaimana pula dengan membaca al-quran? apatah lagi!
Tetapi, kita lebih berminat untuk membaca majalah. Hari ini, kita seharusnya koreksi kembali, bahawa salah satu punca kemaksiatan dan kemungkaran bermaharajalela di muka bumi adalah disebabkan tiadanya jiwa atau roh islam itu sendiri.
Jiwa kita kosong bahkan ianya diisi dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Contohnya, membaca majalah-majalah hiburan, menghabiskan masa ke program-program maksiat seperti konsert-kensert artis yang terang-terang telah melanggar batas-batas syara’, realiti yang tidak dapat disangkal lagi.
Perkara ini jelas menginsafkan saya. Apa tidaknya, kalau kita sanggup berkorban masa untuk perkara-perkara yang sia-sia atau lebih teruk lagi kepada perkara-perkara maksiat yang sudah tentu mendapat kemurkaan Allah s.w.t mengapa tidak kita berkorban saja masa kita untuk membaca al-quran. Ianya adalah satu sumber untuk kita mendapatkan kekuatan dari aspek kerohanian. Iya! kekuatan rohani.
Mungkin kemampuan kita tak dapat menandingi orang-orang terdahulu seperti imam As-Syafei yang mampu mengkhatamkan al-quran sebanyak dua kali sehari. Lebih mengkagumkan ialah beliau menghabiskannya di dalam solat pada bulan puasa. Subhanallah!
Hari ini kita nak baca satu ayat pun kadang-kadang susah bahkan tidak terdetik lansung dalam hati ini ada niat untuk membacanya, Nauzubillah min zalik. Kalau kita menunaikan tanggungjawab kefardhuan solat lima waktu masih lagi bernasib baik, tapi bagaimana kalau solat fardhu pun kita tidak tunaikannya. Satu ayat bahkan satu huruf pun kita tidak menyebutnya.
Inilah salah satu amalan atau cara hidup muslim yang sebenar disamping menunaikan tanggungjawab yang lain. Mungkinlah jika hendak dibandingkan dengan aktiviti-aktiviti yang lain, tak dapat untuk dibandingkan sekiranya kita mengharapkan habuan material semata-mata.
Maka, di sinilah tahap keimanan dan kepercayaan kita terhadap janji-janji Allah diuji. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak pernah mungkir janji. Bila disebut soal ganjaran atau kelebihan maka orang yang selayaknya untuk menerima ganjaran itu sudah tentu orang yang berbuat kebaikan.
Dan kelebihan orang yang bersama-sama dengan al-quran telah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w bahawa baginda menyeru kepada kita semua supaya membaca al-quran kerana dengannya ia akan memberikan syafaat kepada kita di hari akhirat nanti.
Selain itu, Rasulullah s.a.w juga memberitahu bahwa sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-quran akan diganjari dengan satu kebaikan dan setiap kebaikan itu diganda dengan sepuluh kebaikan. Begitulah kasihnya Allah swt terhadap hambanya.
Namun, oleh sebab hati kita sudah diikat dengan habuan dunia, maka kita lupa bahkan seolah tidak mempercayai janji-janji Allah itu, hasilnya, hidup kita jauh dengan al-quran.
Persoalannya : adakah ianya ada dalam pemikiran kita tika ini? Astaghfirullah!!! Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi maha penyayang.
Sebenarnya tiada alasan untuk kita umat Islam lari daripada menunaikan tanggungjawab kita terhadap al-quran, kalau membaca itu sudah kita anggap berat apatah lagi untuk mengamalkannya. Alasan tidak pandai membaca bagi saya sudah tidak relevan lagi pada hari ini. Kalau nak seribu daya, kalau taknak beribu alasannya.
Inilah masalah yang sering kita hadapi bahkan ianya sudah menjadi satu penyakit yang sinonim dikalangan umat Islam. Mahu tapi ego, atau mahu tapi malu? Kalau marah orang memanggil kita bodoh, tapi mengapa kita tidak marah bodohnya diri kita kerana tidak mahu menjadi pandai? Fikirkan sejenak.
Tanggungjawab kita pada Al-Quran
Seterusnya, dalam sesi tazkirah tersebut, ada juga menyebut tentang kewajipan yang patut kita tunaikan dalam hidup bersama al-quran iaitu menjadikan bacaan al-quran itu sebagai wirid harian kita. Sekurang-kurangnya ada ayat al-quran yang kita baca setiap hari. Ini lebih baik jika dibandingkan tidak ada lansung ataupun daripada lidah kita dibasahkan dengan lirik-lirik lagu yang tidak bermanfaat.
Jika mampu sekurang-kurangnya dalam masa tiga puluh hari itu kita dapat mengkhatamkan al-quran sebanyak sekali khatam. Jika kita mampu lebih dari itu lagi sekurang-kurangnya, setiap tiga hari kita khatam seperti mana yang diceritakan agaimana Rasulullah s.a.w menjawab pertanyaan Ibnu Umar tentang tempoh mengkhatamkan membaca al-quran.
Kemudian dijelaskan pula bahawa kewajiban yang perlu kita tunaikan ialah mempelajari bacaan al-quran dengan betul. Inilah tanggungjawab kita dalam memperbaiki dan mempercantikkan bacaan kita.
Walaubagaimanapun, kita tidak diberatkan sehingga sesuatu perkara itu menjadi penghalang untuk kita membacanya.
Contohnya bagi orang yang lidahnya susah untuk menyebut atau membaca al-quran makanya Rasulullah s.a.w ada menyebutkan perihal orang yang sebegini dan baginda menyeru supaya untuk diteruskan membaca al-quran kerana bagi mereka ada ganjarannya juga.
Seterusnya, kita juga hendaklah terkesan dengan bacaan kita atau dengan kata yang lain ialah memerhati dan menyelami maksud-maksud setiap ayat yang kita baca. Kita boleh jadikan kisah bagaimana Saidina Umar sebagai contoh ikutan di mana beliau pernah tidak sedarkan diri selama sebulan kerana membaca syat yang berkaitan dengan azab Allah s.wt.
Hari ini, kita nak menangis pun belum tentu. Dan tanggungjawab kita yang seterusnya ialah kita hendaklah menjaga hafalan serta mengulang ayat-ayat al-quran yang telah dan pernah kita hafal.
Untuk akhirnya yang paling penting sekali ialah mengamalkan isi-isinya. Ketahuilah sesungguhnya al-quran itu boleh menjadi hujah bagi kita, tidak kurang juga al-quran juga boleh menjadi musuh kita di akhirat nanti. Nauzubillah min zalik.
Oleh sebab itulah, al-quran itu bukan sahaja untuk di baca semata-mata. Akan tetapi ianya perlu disertai dengan penghayatan serta perlaksanaan dan inilah yang menjadi kewajiban bagi kita semua.
Begitulah sedikit panduan serta peringatan yang boleh dikongsi bersama supaya kita ini tidak tergolong dikalangan orang-orang akan menyesal suatu hari nanti.
Remeh yang menginsafkan.
Begitulah realiti yang kita sedang lalui pada hari ini. Dalam tak sedar kita telah mengabaikan tanggungjawab yang asas sebagai umat Islam. Budaya hidup bersama al-quran. Mudah-mudahan kita membudayakan hidup kita dengannya, bukan kita membudayakan al-quran dengan hidup dan kehendak kita.
Islam itu yang seharusnya memerintah, bukan kita yang memerintah Islam sepertimana yang kita dapat lihat pada hari ini.
Wallahu ta’ala a’lam.
Hadiah Dari TUHAN
KORBAN 1430H
Pemuda PAS Gombak Tumbangkan Seekor Lembu
GOMBAK SETIA, 29 November – Pemuda PAS Gombak “menumbangkan” seekor lembu sempena sambutan Aidil-Adha dan ibadah korban pada tahun 1430H ini.
Gambar sebelum kejadian: Ustaz Farhan sedang berunding dengan sang lembu.
Bertempat di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Gombak Setia, program ini merupakan anjuran bersama Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak dan PAS Kawasan Gombak pada hari ketiga Aidil Adha.
Hasil daripada rundingan tersebut, akhirnya sang lembu “bersetuju” untuk dikorbankan…
Ibadah qurban seekor lembu ini disertai oleh ahli-ahli Pemuda dan ahli PAS Kawasan Gombak dan telah diraikan dengan kehadiran ahli dan petugas PAS dan Pemuda dari seluruh kawasan Gombak.
Sebelum acara ke seterusnya, Ustaz Farhan sempat memberikan tazkirah kepada lembu dan petugas-petugas…
Walaupun masing-masing masih kepenatan setelah terlibat dengan ibadah qurban di tempat/surau/masjid masing-masing pada hari sebelumnya, dan juga hanya seekor lembu yang ditumbangkan, namun kemeriahan bertemu dalam program PAS dapat dirasai oleh sekelian yang hadir.
Gambar ketika kejadian: Sang lembu pasrah dengan ketentuan Ilahi…. Beliau sempat mengucap….
Walaupun pada permulaannya kelihatan sedikit ‘goyang’ untuk menumbangkan lembu tersebut, namun setelah dibantu dan diberi tunjuk ajar oleh Ketua Urusan Ulama’, Ustaz Farhan, proses berikutnya berjalan dengan lancar. Sebelum lembu disembelih, Ustaz Farhan sempat menyampaikan sedikit tazkirah ringkas berkaitan ibadah qurban yang dilaksanakan.
Semoga ibadah qurban ini diterima oleh Allah..amiin..
Gambar selepas kejadian… Innalillah …. Sdra Muthanna menunjukkan aksinya..
Lagi gambar selepas kejadian… Aksi daripada Sdra Azizul
Sang lembu yang syahid sedang dilapah dengan rakusnya.
Jumpa lagi tahun hadapan dengan aksi-aksi yang lebih menarik!
Hasil korban yang disedekahkan kepada penduduk tempatan.
Berita dan gambar diambil dan diedit daripada : http://pemudapashk.blogspot.com
ABU UBAIDAH AL-JARRAH
Nabi Muhammad telah bersabda:
Nama sebenar beliau ialah Amir bin Abdullah bin Al-jarrah berasal daripada keturunan bani Quraisy yang terhormat.Beliau seorang yang kurus,tinggi,berwajah ceria,selalu merendah diri dan pemalu.Beliau juga disenangi oleh masyarakat kerana sifatnya.Beliau terkenal dengan panggilan Abu Ubaidah.
Beliau telah menyertai pelbagai jenis peperangan bersama nabi antaranya termasuklah perang badar,uhud,yarmuk,perang kota fihl dan berjaya menakluk kawasan yang luas daripada wilayah parsi dan menakluk semula kawasan yang ditakluk Rom. Beliau juga telah menghadapi ujian yang getir,antaranya beliau terpaksa bertarung dengan ayahnya didalam perang badar.Didalam perang ini beliau telah berjaya membunuh ayahnya,hal ini telah menyebkan beliau sedih dan berdukacita.
Maka Allah berfirman di dalam Al-quran,surah mujadalah,ayat 22
Maka legalah hati Abu Ubaidah dengan turunnya ayat ini. Beliau juga seorang yang gagah dan jujur.Hal ini dapat dilihat melalui peristiwa didalam perang uhud dimana salah satu anak panah yang dilepaskan musuh telah tersangkut pada rahang Rasullah.Abu Ubaidah telah mencabut anak panah itu dengan giginya sendiri sehingga giginya tercabut.Maka Rasulullah telah memberinya gelaran gagah dan jujur.
Sifat jujurnya juga dapat dilihat ketika rombongan dari Najran datang menemui Rasullah.Mereka meminta baginda menghantar seorang sahabat yang paling boleh dipercayai bagi menyelesaikan pertengkaran antara mereka dan mengajar mereka mengenai agama Islam.Baginda telah berjanji untuk menghantar orang yang paling dipercayai,gagah dan jujur.
Saidina Umar al-Khatab berharap dialah orang itu tetapi org yang dimaksudkan ialah Abu Ubaidah. Abu Ubaidah juga seorang yang zuhud dan cintakan Akhirat.hal ini dpt dibuktikan ketika khalifah Umar al-Khatab mengunjungi rumahnya di Baitulmaqdis.Apa yang ada didalam rumahnya hanyalah sebilah pedang,perisai dan pelana kuda.Beliau juga panglima yang menakluk Baitulmaqdis daripada tentera Rom.
Beliau meninggal ketika berumur 58 tahun di syam dan dikebumikan dikebumikan di kawasan yang pernah dibebaskannya daripada kekuasaan Rom.Punca kematiannya ialah wabak penyakit taun yang menyerang Syam.
*dipetik daripada novel Abu Ubaidah penakluk parsi
**penambahan daripada editor
1. Abu Ubaidah diislamkan oleh Abu Bakar sendiri. Antara sahabat yang telah diislamkan oleh Abu Bakar adalah ; Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah, Zubair Al-Awwam, Saad bin Abi Waqqas, Uthman bin Affan dan Abu Ubaidah Al-Jarrah.
2. Sewaktu pemerintahan Umar Al-Khattab, beliau pernah menggantikan Khalid Al-Walid dalam sebuah ekspedisi peperangan atas arahan Umar.
3. Negeri Syam dalam takrifan peta moden adalah negara Palestin, Jordan, Syria dan Lebanon.
4.Wabak penyakit taun yang dimaksudkan adalan "To'un 'Umwas" yang berasal dari sebuah perkampungan di Palestin. Penyaktin to'un tersebut telah menyebabkan +/- 20 000 muslimin syahid. Mengapa syahid? Berdasarkan hadith :
(Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: " Mati kerana penyakit taun merupakan syahid bagi setiap orang muslim " Hadis Dalam Sahih Muslim
Dinding peringatan yang terletak bersebelahan dengan maqam.
Sebagai tanda bangunan masjid yang lama.
MENJELANG BULAN KORBAN
Firman Allah dalam surah Al-Fajr, ayat 1-3
Ibnu kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam pertama di bulan zulhijjah, beliau mengmbil pandnagan daripada Ibn Abbas, Ibnu Zubair, Mujahid dan selainnya. Manakala yang ganjil itu ialah hari arafah.
Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:
"Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini - iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).”
Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,
“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).
Ibnu Hibban di dalam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda,
Manakala kelebihan hari Arafah (9 Zulhijjah) pula disebut oleh Rasulullah S.A.W ketika menafsirkan ayat ke-3 dari surah Al-Buruj
Didalam hadith lain pula, Sabda Baginda SAW lagi
1. Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya :
2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya - terutamanya pada hari ‘Arafah - . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi :
Dari Abu Sa’id al Khudri Radhia Allah ‘anhu berkata : ‘Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud :
Hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya :
Imam Al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah Radhia Allah ‘anhum kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq Rahimahullah meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli feqah) di kalangan Tabi’in (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu “[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]“. Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud :
“(Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas ni’matNya menghidayat kamu)”.
4. Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwatkan oleh Abu Harairah Radhia Allah ‘anhu, Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (muttafaq ‘alaihi).
5. Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, mebaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).
6. Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah.
7. Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihis Solatu was Salam setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘Alaihis Solatu was Salam tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.
8. Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah Radhia Allah ‘anha bahawa Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”
dan di dalam riwayat lain :
“Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”.
Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya :
“(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”.
Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.
9. Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan, janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan ma’siat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu.
10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintahNya, menjauhi laranganNya, mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya.
CARA MENANGKIS GONCANGAN UKHUWAH
1. Tabayyun yang bererti mencari penjelasan dalam setiap maklumat yang diterima dan mencari bukti kebenaran informasi yang diterima. Allah swt berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." (QS 49:6)
2. 'Adamus Sukhriyyah, ertinya tidak memperolok-olokkan orang atau kelompok lain. Firman Allah swt: "Wahai orang-orang yang beriman janganlah satu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain (karena) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang memperolok-olokkan)." (QS 49:11). Mampukah kita untuk meninggalkan tradisi sukhriyyah dan perasaan ana khairun minhu (saya lebih baik daripadanya), yaitu perasaan 'sombong' seperti yang dimiliki iblis? Inilah persoalan yang perlu ditanya pada diri.
3. Tidak mencela orang lain. Ini ditegaskan dengan firman-Nya: 'Dan janganlah kamu mencela diri sendiri'. Mencela sesama muslim, oleh ayat ini dianggap mencela diri sendiri, sebab pada hakikatnya kaum muslimin dianggap satu kesatuan. Apalagi jika celaan itu berkait dengan kedudukan dan kebendaan di dunia. Allah sendiri menyuruh Rasul dan orang-orang yang mengikutinya untuk bersabar atas segala kekurangan orang-orang mukmin. (Lihat QS, 18:28)
4. Meninggalkan panggilan dengan sebutan-sebutan yang tidak baik terhadap sesama muslim. Ini berdasarkan firman Allah swt: "Dan janganlah kamu saling memanggil dengan sebutan-sebutan (yang buruk)." (QS 49:11) Tanabuz dalam bentuk yang paling parah adalah berupa pengkafiran terhadap orang yang beriman. Pada kenyataannya masih saja ada orang atau kelompok yang dengan begitu mudahnya menyebut kafir kepada orang yang tidak tertarik untuk masuk ke dalam kelompok tersebut.
5. Ijtinabu Katsirin minadzdzan di mana Allah swt berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan dari prasangka, karena sebagian prasangka itu dosa." (QS 49:12) Pada dasarnya seorang muslim harus berbaik sangka terhadap sesamanya, kecuali jika ada bukti yang jelas tentang kesalahan tersebut.
6. Tidak mencari-cari kesalahan dan aurat orang lain. Perbuatan ini amat dicela Islam. Allah swt amat suka bila kita berusaha menutup aib saudara kita sendiri. Firman Allah swt: "Dan janganlah kamu sekalian mencari-cari kesalahan (dan aurat) orang lain." (QS 49:12)
7. Allah swt menegaskan: "Dan janganlah kamu sekalian menggunjing sebagian lain.Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati?..." Ghibah sebagaimana yang dijelaskan Rasulullah saw adalah menceritakan keburukan dan kejelekan orang lain. Ketika seseorang menceritakan kejelekan orang lain, maka ada dua kemungkinan yang terjadi. Pertama, jika yang diceritakannya benar-benar terjadi maka itulah ghibah. Kedua, jika yang diceritakannya itu tidak terjadi bererti ia telah memfitnah orang lain. Begitu besarnya dosa ghibah, sampai Allah SWT menyamakan orang yang melakukannya dengan orang yang memakan bangkai saudaranya sendiri.
Wallaahu'alam
RENUNGAN
Masa
Kalendar Hijrah
AMANAH PRESIDEN
Kepimpinan Ulamak
.:Bersama Kepimpinan Ulamak:.
TOK GURUKU
Hiwar
LEADERSHIP
PAUTAN GOMBAK
-
-
JAMBORI NISA' SELANGOR 201015 years ago
-
-
0x8b5ad3466 months ago
-
Pertandingan PS2 sempena Euro 201214 years ago
-
UNITY
Pas For All
.:Jom Sertai Pas:.
PAUTAN PAS GOMBAK
- http://pemudagombak.com
PAUTAN PAS
Blog Archive
Labels
- bulan islam (1)
- isu semasa (1)
- renungan (2)
- tokoh islam (1)